Nampaknya pertandingan timbalan presiden UMNO pada tahun depan melibatkan tiga penjuru antara Muhyiddin Yassin, Ali Rustam dan Muhammad Muhd. Taib. Ali yang dapat 41 pencalonan semalam sudah layak manakala Muhammad memerlukan tiga pencalonan lagi.
Kemungkinan besar beliau akan mendapat tiga pencalonan lagi pada hari ini. Bila berlaku pertandingan tiga penjuru, bukanlah laluan mudah bagi Muhyiddin kerana dalam tempoh empat bulan akan datang, macam-macam boleh berlaku kepada para perwakilan.
Pencalonan tidak menggambarkan pengundian. Sudah banyak berlaku seorang calon dapat banyak pencalonan bila mengundi kalah. Tak tahu apa faktornya? Adakah wang? Calon B yang hulur lebih dari calon A mungkin menang.
Para perwakilan lebih suka ada pertandingan bagi jawatan timbalan presiden supaya Muhyiddin tidak boleh cakap besar. Yang kedua, bila ada pertandingan perwakilan dapat rasa wang dari ketiga-tiga calon sama ada Muhyiddin, Ali dan Muhammad.
Bagi jawatan Naib Presiden, hari ini Dr. Jamaluddin Jarjis dijangka mendapat cukup pencalonan bersama Dr. Rais Yatim. Ini bermakna pertandingan ini melibatkan lapan penjuru iaitu Hishamuddin, Khaled, Syed Hamid, Isa Samad, Dr. Ahmad Zahid, Shafie Afdal, Dr. Jamaluddin dan Dr. Rais. Biarlah perwakilan menentukan siapa yang layak duduk di tiga kerusi naib presiden itu.