Khamis, September 24, 2009

RASUL PUN ADA DI KALANGAN ORANG MELAYU?


Orang Melayu memang hebat. Kalau dahulu 25 orang Rasul ,Allah pilih di kalangan orang Arab, kini ada pula orang Melayu yang mengaku jadi Rasul sedangkan Nabi Muhammad adalah nabi terakhir. Nampak sangat betapa jahilnya orang Melayu hingga percaya ada lagi nabi selepas Nabi Muhammad.

Jika tak percaya masakan ketua ajaran sesat "Rasul Melayu", Abdul Kahar Ahmad mempunyai pengikut. Beliau menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap lima pertuduhan pindaan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 di Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam petang tadi.


Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad bagaimanapun menetapkan 2 Okt untuk mendengar rayuan peguam bela tertuduh, Musa Awang dan hujahan pendakwaan yang diwakili Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abdul Shukor Abd Hamid serta pegawai pendakwa daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Muhamad Nazri Basrawi kerana mahkamah kesuntukan masa berikutan waktu pejabat berakhir pada pukul 5 petang.

Abu Zaky turut membenarkan permohonan Musa supaya Abdul Kahar, 59, dibebaskan dengan jaminan RM10,000 serta 10 penjamin penjawat awam Jusa C bagi kelima-lima pertuduhan berkuatkuasa petang ini dan sekiranya gagal membayar jaminan, tertuduh akan terus ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Berhubung isu jaminan itu, Abu Zaky berkata mahkamah mengambil kira bahawa tertuduh sebelum ini pernah diikat jamin dengan dua penjamin penjawat awam tetapi dia tetap gagal hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kesnya tanpa sebarang alasan.

"Mengenai faktor anak-anak tertuduh yang sanggup menjamin bapanya dan bertanggungjawab terhadap kehadiran tertuduh pada tarikh seterusnya, mahkamah memutuskan anak-anak tertuduh sepatutnya memberi kerjasama pada peringkat awal semasa kes bermula agar tertuduh hadir di mahkamah, tetapi mahkamah berpendapat tiada kerjasama diberikan.

"Kalau dibenarkan ikat jamin risikonya amat tinggi dan dibimbangi akan menimbulkan persepsi negatif terhadap mahkamah dan kepada institusi agama sendiri. Bagaimanapun mahkamah benarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin penjawat awam Jusa C bagi setiap pertuduhan berkuatkuasa petang ini. Kalau gagal (bayar jaminan) tertuduh hendaklah ditahan di Penjara Sungai Buloh," katanya.

Pertuduhan terhadap Abdul Kahar menyebut, dia didapati telah menjelaskan doktrin palsu dengan menyatakan bahawa sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar sahaja dan ibadah Haji sekarang ini adalah sia-sia dan merugikan.

Tertuduh juga didapati mengisytiharkan diri sebagai Rasul Orang Melayu sedangkan pengisytiharan itu adalah palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam.

Bagi tuduhan ketiga Abdul Kahar didapati menyebarkan pendapat yang bertentangan dengan fatwa iaitu mengaku dirinya Rasul yang diutuskan oleh Allah untuk orang Melayu, menyatakan bahawa sembahyang lima waktu tidak wajib memadai hanya melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran dan menyatakan bahawa ibadah Haji itu tidak perlu ditunaikan di Mekah serta boleh dikerjakan di mana-mana sahaja di bumi Allah.

Pertuduhan keempat menyebut, tertuduh didapati menghina pihak berkuasa agama dengan mengingkari dan melanggar arahan Mufti yang mana dia masih menjelaskan amalan serta mengajar ajaran Kahar Bin Ahmad di hadapan tiga orang bernama Hanif Taslin, Nurhelmi Ikhsan dan Mohammad Nabil Abu Naim yang difatwakan pada 23 Mei 1991 sebagai menyeleweng daripda ajaran agama Islam.

Bagi pertuduhan terakhir, Abdul Kahar didapati mempersendakan dengan perkataan amalan yang berhubung dengan Agama Islam iaitu menyatakan: "Sekiranya ada orang yang berbuat mungkar barulah boleh solat, mencegah kemungkaran ini adalah rukun, mentaati Allah itu adalah sujud, tidak perlu tonggang tonggek dan membebel seorang-seorang."

Tertuduh yang tidak bekerja didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah rumah beralamat No.44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Ulu Klang, Ampang, Gombak, antara 19 Mei dan 23 Jun 2005.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 8(a), 7 (1), 12(c), 10(b) dan 13 (1) enakmen itu membolehkan Abdul Kahar didenda RM21,000 dan dipenjara selama 13 tahun dan disebat.

Fakta kes menyebut tertuduh yang mendapat pendidikan sehingga darjah lima di sekolah Melayu, ditangkap pada 23 Jun 2005 oleh pegawai penguatkuasa JAIS berhubung semua kesalahan itu dan dia didapati telah menyebarkan pendapat serta ajaran yang bercanggah dengan ajaran Islam, lebih-lebih lagi ajaran 'Kahar Bin Ahmad' telah diwartakan sebagai ajaran salah oleh Mufti Selangor pada 23 Mei 1991.

Pada 8 April 1991, Abdul Kahar pernah didakwa mengikut Seksyen 150 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 1952 kerana tidak bersolat Jumaat dan dikenakan denda RM300 atau dua bulan penjara.

Tertuduh yang merupakan bekas pekerja Zoo Negara, pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 17 Ogos 2005 serta dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 dan sepatutnya dibicarakan pada 21 Sept 2005.

Dia bagaimanapun beberapa kali gagal hadir untuk dibicarakan pada tarikh-tarikh yang ditetapkan walaupun waran tangkap dikeluarkan, sehinggalah pada 16 Sept lepas apabila dia ditahan pasukan penguatkuasa Jais kira-kira pukul 9.45 pagi, di tempat persembunyian barunya di Sungai Long, Kajang sebelum dibawa ke mahkamah untuk mendapat perintah tahanan ke atasnya.

PENGARAH JAIPK PERLU LETAK JAWATAN


Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mendakwa masalah teknikal menjadi punca sebahagian imam, bilal dan siak masjid dan surau di negeri ini tidak menerima bonus pemberian kerajaan negeri sebelum Hari Raya Aidilfitri Ahad lalu.

Pengarahnya, Datuk Sheikh Mohamah Nor Mansor al-Hafiz berkata, masalah itu mungkin berlaku semasa proses pengagihan wang tersebut di peringkat pejabat agama daerah ke 579 masjid dan 30 surau.

Beliau berkata, JAIPk menerima waran daripada Pejabat Kewangan negeri pada 9 September dan mengagihkan kepada pejabat agama daerah pada 11 September.

''Pejabat agama daerah pula diarah memproses segera bayaran tersebut ke dalam akaun setiap masjid dan surau pada 16 September dan pada hemat saya, semua pegawai masjid berkenaan telah menerima sagu hati itu selewat-lewatnya pada 18 atau 19 September lalu.

''Saya hanya mengetahui ada pegawai masjid yang tidak terima bonus hari raya selepas dihubungi Pegawai Kewangan negeri pagi ini,'' katanya pada sidang akhbar di Ipoh semalam.

Sebelum ini, kerajaan negeri bersetuju memberi wang sagu hati Hari Raya berjumlah RM1.25 juta atau RM500 seorang kepada 2,496 imam, bilal dan siak di Perak.

Bagaimanapun pegawai masjid yang tidak menerima bonus hari raya itu telah mengadu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang kemudiannya bertanyakan perkara itu kepada Pegawai Kewangan negeri.

Sheikh Mohamad berkata, pihaknya kesal dengan masalah tersebut dan berjanji ia tidak berulang pada masa depan.

''Setakat ini, saya difahamkan sebahagian besar daripada mereka telah menerima sagu hati tersebut,'' katanya sambil memberitahu tidak mengetahui bilangan pegawai masjid yang lewat menerima bonus hari raya.

Ditanya sama ada masalah berkenaan disebabkan terdapat unsur sabotaj bagi memburukkan imej kerajaan negeri, beliau menafikannya dan menganggap masalah itu langsung tidak berbangkit.

Komen saya ialah beginilah nasib imam, siak dan bilal di Perak dipermain-mainkan oleh jabatan mereka sendiri. Niat kerajaan BN untuk memberi elaun khas kepada mereka wajar diberi pujian tetapi dari segi perlaksanaan, hancur kerana tiada komitmen dan kesungguhan jabatan berkenaan.

Kesian imam, bilal dan siak masjid seluruh Perak yang terpaksa menerima bonus selepas hari raya sedangkan wang itu boleh dibelanjakan untuk persiapan hari raya. Saya cadangkan supaya Pengarah JAIPk meletakkan jawatan kerana gagal mengagihkan bonus ini dengan kadar segera.

LETAK FAIZAL CALON BN BAGAN PINANG


Ketua Pemuda Umno Bahagian Telok Kemang Mohd Faizal Ramli mempertahankan keputusan perwakilannya untuk menamakan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang Oktober ini.


Walaupun ada ura-ura yang menyatakan Isa tidak cukup kredibel kerana pernah diambil tindakan disiplin parti atas tuduhan politik wang, perwakilan melihat hanya Isa yang boleh menyatu-padukan masyarakat Port Dickson, katanya.


"Kami tidak melihat sebarang masalah yang timbul jika beliau dicalonkan kerana ini merupakan komitmen pada peringkat jentera parti dan komitmen yang diberikan oleh peringkat akar umbi kerana beliau mesra dengan masyarakat," katanya kepada Bernama di sini Rabu.


Beliau mendakwa bahagian itu sudah pun membuat tinjauan dan mendapati para penduduk termasuk dari keturunan bukan Melayu menerima Isa.


"Saya tak nampak bahawa isu-isu yang menjadi rekod Isa akan menjadi satu liabiliti kepada Umno dan BN dalam menghadapi pilihanraya kecil Bagan Pinang ini," katanya.


Beliau memberi contoh mantan Presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah diambil tindakan disiplin oleh Allahyarham Tuanku Abdul Rahman kerana menulis buku Malay Dilemma.


"Akibat desakan yang kuat dari akar umbi, Perdana Menteri kemudian Allahyarham Tun Abdul Razak membawa masuk Mahathir kembali dan beliau akhirnya muncul sebagai pemimpin yang hebat," katanya.


Katanya, pemilihan Isa sangat tepat kerana tokoh itu telah membuktikan kesetiaannya kepada parti walaupun telah diambil tindakan disiplin dan ini merupakan contoh yang baik kepada ahli lain.


Ini membuktikan kesetiaan itu merupakan satu perkara yang perlu kita utamakan, jadi bagi saya selaku Ketua Pemuda malah mungkin mewakili sebahagian Pemuda inilah yang patut menjadi idola kerana kita hendak mencari orang yang benar-benar setia pada parti," katanya.


Jika parti menolak suara perwakilan, beliau khuatir Umno akan melakukan kesilapan yang sama seperti parti LDP yang telah memerintah Jepun selama lebih dari 50 tahun tetapi akhirnya tewas.


Komen saya ialah kes Dr. Mahathir pada tahun 1969 tidak boleh disamakan dengan kes Isa pada tahun 2004. Kes Isa adalah terlibat dalam rasuah politik sedangkan Dr Mahathir hanya mengecam kepimpinan Tunku Abdul Rahman. Jika Dr. Mahathir dikenakan tindakan disiplin kerana melakukan rasuah politik, Tun Razak tidak bawanya kembali ke dalam UMNO.


Saya kira kalau letak Ketua Pemuda, Mohd Faizal Ramli sebagai calon BN, BN mampu menang kerana undi pos akan membantu kemenangannya walaupun majoriti undi mungkin merosot. Apa salahnya letak Faizal sebagai calon, kerana beliau adalah Exco pemuda UMNO Malaysia.