Sabtu, Januari 21, 2017

KEJAYAAN ADLYKA PERLU DAPAT PENGIKTIRAFAN

oleh SHAHBUDIN EMBUN (sudah disiarkan dalam Berita Harian)

Tidak salah untuk menjadikan seseorang yang terlibat dalam bidang seni sebagai ikon.Kejayaan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang pernah menawan Asia dalam beberapa Festival Filem Asia menyebabkan beliau menjadi ikon seniman yang dibanggakan. Begitu juga dengan beberapa lagi artis kita seperti Datuk Siti Nurhaliza, Kumpulan Raihan, Yuna, Datuk Sheikh dan Allahyarham Sudirman yang pernah mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Kejayaan mereka boleh dijadikan sebagai penyuntik semangat kepada generasi hari ini untuk menempa kejayaan sehingga merentasi sempadan negara kita.

Selain itu, ahli sukan negara kita juga tidak kurang hebatnya. Kejayaan Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David dalam bidang sukan masing-masing sehingga menjadi jaguh dunia nombor satu juga merupakan satu kejayaan yang akan terpahat dalam sejarah dunia.Nama-nama yang disebut ini menjadi sanjungan kita semua dan mereka berhak mendapat pengiktirafan yang diberikan oleh pihak kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri.

Namun pada hari ini, ada juga mereka yang baru bertapak dalam bidang masing-masing sudah mendapat pengiktirafan sehingga ada yang bergelar Datuk walaupun jasa mereka dalam bidang masing-masing masih boleh dipertikaikan. Dalam bahasa mudah, mereka ini belum berhak mendapat status legenda dan nama mereka pun hanya dikenali di negara kita sahaja.

Inilah realitinya. Golongan yang terlibat dalam bidang seni dan sukan akan terus disanjung. Bagaimana pula dengan mereka yang berjaya harumkan nama negara dalam bidang lain. Adakah mereka akan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya dan adakah masyarakat kita tidak ambil peduli dengan sumbangan serta kejayaan yang telah dicurahkan. Dalam bahasa mudah, apa yang dilakukan oleh golongan ini tidak memberi kesan dalam kehidupan seharian mereka.

Sudah sampai masanya untuk kita mengubah persepsi masyarakat khasnya dari generasi muda hari ini. Itu sebabnya kejayaan Adlyka Annuar, penuntut ijazah Kedoktoran dalam bidang Astrofizik, di Pusat Astronomi Ekstragalaktik, Jabatan Fizik, Universiti Durham, United Kingdom dalam bidang penyelidikan saintifik di luar negara tentang penemuan “Supermassive Black Holes” perlu mendapat perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya.

Kejayaan inilah yang seharusnya diperluaskan lagi. Pasti ramai di antara kita yang tidak tahu pun apakah signifikasi penemuan tersebut dan mungkin tidak pernah dengar langsung tentang kajian yang dilakukannya itu. Dalam bahasa mudah, adakah kajian itu akan memberikan kesan dalam kehidupan seharian kita. Namun itu bukan isunya. Apa yang lebih penting ialah penemuan ini merupakan satu kejayaan yang amat bermakna dalam dunia sains dan kita mempunyai seorang saintis yang telah sama-sama mencipta nama dan memainkan peranan penting dalam penemuan yang bersejarah itu.

Adlyka Annuar ialah nama yang perlu dijadikan sebagai ikon kepada generasi hari ini. Kejayaannya perlu dicontohi dan dijadikan sebagai semangat kepada anak-anak muda dan para pelajar untuk membuktikan yang Malaysia mampu melahirkan para sainstis yang bertaraf dunia!

Semasa ditemuramah dalam Majalah Sains, sebuah majalah online, Adlyka telah menjelaskan bahawa dia berharap kejayaannya itu akan memberi inspirasi kepada anak-anak muda negara kita untuk menceburi bidang Astronomi dan Astrofizik, iaitu sebuah bidang yang dianggap umum tidak mempunyai prospek masa depan yang cerah di negara kita.

Mungkin dengan kejayaan Adlyka, para saintis di negara kita boleh sama-sama memaju dan membangunkan lagi bidang Astronomi dan Astrofizik agar negara kita dapat melahirkan lebih ramai lagi saintis dan akan memasyurkan lagi nama negara di persada antarabangsa.

Mungkin ada yang menganggap apa yang disarankan ini sebagai satu satu angan-angan sahaja. Namun perlu diingatkan bahawa Adlyka mula berminat untuk menceburi bidang ini setelah menonton filem Apollo 13 dan Armageddon. Siapa yang menyangka dua filem tersebut telah membuka mata anak kelahiran Muar ini untuk menjadi seorang saintis yang berjaya.Semuanya bermula dari angan-angan dan kitalah yang perlu memastikan ianya menjadi satu realiti.

Mungkin apa yang membanggakan kita semua ialah Adlyka telah menyatakan bahawa dia tidak sabar untuk pulang ke Malaysia dan memberi sumbangan kepada kemajuan sains di negara kita.

Itulah sebabnya adalah menjadi harapan kita semua agar pelbagai lagi dana pembiayaan penyelidikan dan pendidikan disediakan kepada mereka yang berminat dalam bidang ini. Dengan adanya dana seperti ini, pastinya dapat membantu para pelajar yang bakal menjadi para saintis, bersama-sama membangunkan lagi bidang penyelidikan sains ,yang pastinya akan memberi manfaat kepada pembangunan dan kemajuan negara kita Malaysia.



BN TERENGGANU PERLU TONJOL LEBIH RAMAI CALON MUDA

Tiga bulan lepas dalam majlis pemukiman penceramah KKMM di Kuala Lumpur, Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia Jamawi Jaafar berharap pada PRU14 lebih ramai calon muda ditonjolkan sebagai calon BN. Katanya kalau dibandingkan dengan calon Pakatan Harapan, mereka dibarisi oleh calon muda sedangkan majoriti calon BN adalah calon berumur.

Harapan ini patut diamalkan juga di Terengganu dengan membariskan calon muda pada PRU akan datang. Kita lihat sejarah dua bekas MB Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dan Datuk Seri Ahmad Said mereka dipilih jadi calon ketika berusia 32 tahun (Wan Mokhtar) dan 33 tahun (Ahmad Said).

Justru itu MB sekarang, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman wajar memberi peluang kepada calon yang belum mencapai usia 40 tahun sebagai calon BN. Terengganu dilihat mempunyai ramai pemimpin muda yang boleh ditonjolkan sebagai calon.

Di Dungun, Muhamad Suza Amsyari dilihat sebagai generasi Y yang berkebolehan. Beliau yang dekat dengan belia dan mempunyai rangkaian yang rapat dengan kepimpinan Umno di Dungun. Anas Hazizil Muhamad adalah seorang pemimpin muda di Kuala Terengganu. Beliau pemimpin muda yang menonjol dan baik hati.

Seorang lagi anak muda di Kuala Terengganu yang wajar diberi perhatian ialah Haji Zaki Mat Yakim, Beliau amat dekat dengan mahasiswa di seluruh Malaysia. Di Besut pula Zahari Mat aktif mendekati anak perantau Besut. Walaupun bertugas di Kuala Lumpur beliau sering balik ke Besut buat program bersama penduduk setempat.

Hulu Terengganu apa kurangnya dengan Ketua Pemuda Umno Terengganu, Johari Abu Bakar. Ketua pemuda yang tidak lokek dengan senyuman Di Kemaman, Ahmad Fikry Ibrahim adalah ketua pemuda yang tegas dan baik hati.  Ahli jawatankuasa pemudanya rela mempertahankan beliau ketika beliau dikatakan menolak tawaran untuk menjadi pegawai khas MB apabila jawatannya sebagai Pegawai Pembangunan DUN Chukai tidak disambung semula.

Seorang lagi anak muda di Hulu Terengganu yang menonjol ialah Ahmad Badrul Hisham Mokhtar. Orangnya sopan, jujur dan suka menolong orang dan rapat dengan ADUN Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Di Setiu Cikgu Ramlan Isa ada potensi kerana rangkaian politik beliau yang kuat. Di Marang Saiful Bahari Baharddin selalu turun padang bersama masyarakat.Di Kuala Nerus Muhamad Rosdi Mat Zin rajin buat program. Keupayaan beliau mengendalikan program program amat menyerlah.

Oleh itu Razif selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu wajar memberi peluang kepada lebih ramai calon muda pada PRU akan datang.