Rabu, April 15, 2009

LAJIM NAFI KECEWA TIDAK DILANTIK MENTERI


Ahli parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Haji Okin menafikan bahawa beliau kecewa kerana tidak dilantik menteri dalam rombakan kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Razak minggu lalu.


Beliau dikekalkan sebagai timbalan menteri tetapi ditukarkan ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari Kementerian Pengangkutan.


"Kuasa melantik menteri adalah kuasa Perdana Menteri. Tidak benar dakwaan bahawa saya kecewa tidak dilantik menteri penuh mewakili Sabah," katanya kepada blogger Memo Belakang ketika ditemui di majlis penyerahan tugas dari bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ong Ka Chuan kepada menteri baru, Kong Cho Ha di pejabatnya di Kuala Lumpur Isnin lalu.


Ahli parlimen Kimanis, Datuk Anipah Aman yang menolak tawaran Pak Lah sebagai timbalan menteri selepas pilihanraya umum 2008 dilantik sebagai Menteri Luar dari Sabah yang baru selain Shafie Afdal yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.


"Walaupun saya menang ahli majlis tertinggi UMNO di tempat kelapan dan Anifah tidak bertanding jawatan majlis tertinggi, tetapi kemenangan itu tidak kena mengena dengan perlantikan menteri kerana ia adalah kuasa prerogatif Najib," katanya.


Sehubungan dengan itu, beliau bersyukur kepada Allah kerana mengekalkannya sebagai timbalan menteri di kementerian yang baru. Kementerian itu pernah menonjolkan beberapa ahli parlimen sebagai timbalan menteri termasuk Osu Sukam dan Azizah Mohd. Dun.


"Saya seronok bekerja di Kementerian Pengangkutan kerana menterinya, Ong Tee Keat memberi kepercayaan penuh kepada saya. Saya berharap menteri baru, Kong Cho Ha akan memberi kepercayaan yang sama seperti yang pernah diberi oleh Presiden MCA kepada beliau.


Katanya, ini adalah kali kedua beliau dari UMNO diberi peluang berkhidmat di bawah menteri dari MCA.


"Bila menjadi timbalan menteri dari UMNO yang diketuai oleh menteri dari MCA, ahli-ahli UMNO memberi harapan yang tinggi kepada saya untuk mengadu hal kerana mereka tidak mungkin mengadu terus kepada menteri sebaliknya saya yang menjadi jambatan di antara mereka dengan kementerian," katanya lagi.

DUN TERENGGANU PATUT DIBUBAR


Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bertindak luar biasa apabila tidak menghadiri hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuala Terengganu semalam.


Bagaimanapun, mereka akan menghadiri hari ketiga persidangan tersebut hari ini.


ADUN terlibat ialah Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Muhammad Ramli Nuh (Tepuh), Mohd. Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi) dan Mohd. Pehimi Yusof (Kota Putera).


Rosol berkata, kesemua ADUN berkenaan telah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu hari ini dan mengambil keputusan untuk menghadiri sidang DUN hari ini.


Katanya, keputusan itu dicapai selepas mengambil kira jaminan keselamatan yang diberikan oleh pihak polis bagi membolehkan mereka menghadiri persidangan tersebut.


''Selain itu, kami juga akur dengan arahan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri agar kami menghadiri sidang tersebut," katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Beliau diminta mengulas mengenai arahan Najib supaya kesemua ADUN terlibat menghadirkan diri ke sidang DUN selama tiga hari itu yang berakhir esok.


Tindakan mereka semalam itu dipercayai mempunyai kaitan dengan sistem pesanan ringkas (SMS) berbentuk ancaman yang diterima Rosol, Abdul Halim dan Zakaria berhubung kemelut politik di negeri ini.


Ia dipercayai susulan kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said untuk mengambil tindakan tegas termasuk memecat ADUN BN jika mereka membentangkan usul tidak percaya terhadap beliau pada persidangan ini.


Berikutan itu, hanya tiga wakil rakyat BN hadir pada sesi soal jawab itu yang didominasi oleh lapan ADUN Pas selain kehadiran 10 Exco kerajaan negeri serta Menteri Besar.


Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan lapan daripadanya diwakili pembangkang.
Kelibat 10 ADUN BN berkenaan tidak kelihatan apabila Dewan bermula kira-kira pukul 9.30 pagi, sebaliknya kesemua mereka berada di Felda Residence di sini untuk sesi sidang akhbar bersama kecuali Idris.


Ketiadaan mereka mendapat perhatian Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (PAS-Ladang) yang bertanyakan perkara itu kepada Yang Dipertua DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.


Tengku Putera bagaimanapun berkata: ''Apabila saya masuk Dewan, saya lihat kesemua mereka tiada di tempat masing-masing. Selepas ini, saya akan tanya mereka."


Bagaimanapun, selepas mendapat jaminan polis mengenai keselamatan mereka, kelibat dua daripada 10 ADUN berkenaan iaitu Idris dan Mohd. Pehimi muncul pada pukul 3.20 petang semasa sesi soal jawab diteruskan.


Sementara itu, Rosol pada sidang akhbar di Felda Residence berkata, mereka membuat laporan polis selepas dinasihat berbuat demikian.


''Kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarga, kami membuat laporan polis bagi mengelak kejadian buruk berlaku,'' ujar Rosol.


Beliau berkata, SMS yang diterimanya adalah dari nombor berkomputer manakala Abdul Halim dan Zakaria dari nombor peribadi seorang pegawai tinggi kerajaan negeri yang dikenali.


Menurutnya, keputusan tidak hadir ke persidangan itu telah dimaklumkan kepada Setiausaha DUN kira-kira pukul 8.30 pagi melalui SMS.


Rosol yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Terengganu berkata, SMS itu dipercayai berkaitan dengan ura-ura kononnya wakil rakyat BN akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar pada sidang DUN kali ini.


Katanya, mereka akan menghadiri persidangan tersebut selepas keselamatan mereka dijamin.
Rosol menegaskan, beliau tidak pernah merancang atau berbincang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.


''Di sini saya ingin jelaskan bahawa kita tidak pernah berbincang, bertemu dan tidak pernah mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu.


''Jadi saya tidak tahu di mana punca yang menyatakan bahawa akan berlaku undi tidak percaya pada sidang DUN kali ini,'' katanya.



Pada hemat saya, Ahmad Said patut menasihati Pemangku Raja untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri lantaran tindakan 10 ADUN ini. Dengan adanya pilihanraya umum yang baru, dapatlah Ahmad Said selaku Pengerusi BN yang baru memilioh 10 calon BN yang baru menggantikan 10 pemberontak ini.



Apa lagi yang mereka mahu? Adakah ia mahu memalukan Ahmad Said atau memalukan Najib yang baru jadi Presiden UMNO? Oleh itu Ahmad Said kena berani bubar Dewan dan mengadakan pilihanraya umum untuk memilih 32 orang calon yang pro kepadanya. Rakyat yang rugi jika 10 pemberontak ini terus berada dalam Dewan Undangan Negeri. Ia memberi peluang kepada PAS untuk menguasai Terengganu pada pilihanraya umum akan datang. Tambahan pula rakyat Terengganu marah kerana Terengganu hanya ada seorang menteri dan tidak seorang pun yang layak jadi timbalan menteri.


Tindakan segera Ahmad Said membubarkan Dewan Undangan Negeri amat diperlukan untuk membersihkan 10 orang pemberontak dan penderhaka kepada Sultan Terengganu.