Jumaat, Mei 04, 2018

111,702 ANGGOTA PDRM UNDI POS ESOK



KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Seramai 111,702 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengundi awal pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) esok di seluruh negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata daripada jumlah itu, seramai 5,660 pegawai dan anggota akan mengundi awal di Bukit Aman manakala selebihnya di 14 kontinjen PDRM dan Ibu Pejabat Polis di seluruh negara.

"Selain itu, turut terlibat dalam undi awal adalah 7,695 pegawai dan anggota PDRM yang telah bersara.

"Mereka ini adalah pegawai dan anggota yang belum lagi menukar daftar pemilih sebagai pengundi biasa," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata pegawai dan anggota terlibat akan mula mengundi mulai 9 pagi hingga 5 petang.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata seramai 5,854 pegawai dan anggota PDRM terlibat dalam proses mengundi secara pos PRU14, termasuk 20 anggotanya yang terlibat dalam misi pengaman di Sudan mulai hari ini.

"Undi pos sudah bermula hari ini iaitu melibatkan 1,796 pegawai dan anggota di Bukit Aman manakala selebihnya di kontinjen seluruh negara.

Sementara itu katanya sejak 28 April hingga 3 Mei lalu sebanyak 860 laporan polis diterima PDRM melibatkan PRU14, kebanyakannya melibatkan kes khianat.

"Setakat ini kita menahan 17 suspek iaitu 15 daripadanya untuk diambil keterangan manakala dua lagi masih ditahan masing-masing melibatkan satu kes di Johor dan Sabah," katanya.

Ketika ditanya adakah polis akan memanggil Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan kes sabotaj pesawat yang sepatutnya membawa beliau ke Langkawi pada 27 April lepas, Mohamad Fuzi berkata setakat ini pihaknya belum belum berbuat demikian, namun akan memanggil bekas perdana menteri itu jika ada keperluan.

Dr Mahathir yang ketika itu hendak menaiki pesawat menuju ke Langkawi bagi proses penamaan calon PRU14 mendakwa pesawat terbabit mungkin disabotaj.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAMM), bagaimanapun menolak dakwaan itu.

-- BERNAMA


DENGAN RAFIZI RAZALI BERANI BERDEBAT APATAH LAGI DENGAN SYED SADDIQ

MUAR, 2 Mei (Bernama) -- Penyandang kerusi Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim hari ini menyahut cabaran calon PKR daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk berdebat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata tiada masalah untuk beliau berdebat jika ia membawa faedah kepada Parlimen Muar.

"Saya sebagai wakil rakyat memang melayan semua orang, jika debat itu memberi faedah dan menjadi keutamaan kepada mereka, beritahu sahaja di mana dan bila," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk dan komuniti nelayan di Sungai Balang dekat sini, hari ini.

Bagaimanapun, Razali berkata beliau belum menerima surat jemputan daripada calon muda itu.

Isnin lepas, Syed Saddiq mempelawa Razali berdebat pada hujung minggu ini dengan topik siapa pilihan pengundi untuk membentuk kerajaan di Putrajaya.

Syed Saddiq juga mengajak calon PAS yang bertanding di parlimen itu Abdul Aziz Talib dan akan menghantar surat kepada Razali dan Abdul Aziz.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Razali juga melihat replika kapal layar yang dibuat daripada kira-kira 250 bendera BN.

Replika yang juga diperbuat daripada buloh itu dibina seorang nelayan Nor Azmi Kenang, 41, sebagai kejutan kepada Razali yang sering melawat jeti berkenaan.

Nor Azmi berkata kapal pembinaan kapal yang dibina bersama beberapa lagi rakannya itu mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan.

"Ia sebagai tanda sokongan dan meraikan sistem demokrasi di negara. Ia juga sebagai penghargaan kepada wakil rakyat BN yang memberikan khidmat terbaik di kawasan ini," katanya.

-- BERNAMA