Ahad, September 25, 2016

PM DUA PENGGAL UNTUK RAIH SOKONGAN

KOTA BHARU, 24 Sept (Bernama) -- Cadangan agar tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dihadkan dua penggal sahaja hanya untuk meraih sokongan semata-mata, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Katanya cadangan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu hanya tertakluk kepada parti berkenaan sahaja kerana beliau tiada hak untuk mencadangkan perkara itu kepada parti lain.

"Kadang-kadang ada jenis orang yang suka mencadangkan kepada orang lain untuk membuat sesuatu tetapi dia sendiri tidak berbuat seperti apa yang dicadangkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Oghe Tere (Orang Ketereh) di Bukit Marak di sini, hari ini.

Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh turut yakin rakyat tidak tertarik dengan cadangan berkenaan.

Kelmarin, Mukhriz dilapor berkata parti itu akan mencadangkan supaya tempoh perkhidmatan perdana menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja sekiranya kerajaan baharu ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-14, bagi mengelak krisis pentadbiran.

DR SALLEH BIDAS MEDIA BARAT TIDAK LAPOR SAMAN 1MDB DITOLAK

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membidas Wall Street Journal (WSJ) dan media Barat lain kerana tidak melaporkan tentang penolakan saman yang difailkan di Amerika Syarikat terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Salleh berkata "anehnya", penolakan saman itu semalam digelapkan media berbanding gembar-gembur yang ditimbulkan mereka serta kontroversi yang tercetus apabila ia difailkan pada 11 Ogos 2016.

"Saman oleh konco-konco Tun (Dr) Mahathir itu menjadi berita dan mencetuskan kontroversi di peringkat global apabila ia difailkan pada 11 Ogos (2016). Tetapi, anehnya, WSJ dan media Barat lain tidak melaporkan bahawa semalam, saman itu ditolak," katanya dalam kenyataan hari Sabtu.

Saman bersama itu difailkan bekas setiausaha politik Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang, dan bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa terhadap 1MDB, Goldman Sachs, penerbit filem, Riza Aziz dan syarikatnya, Red Granite Pictures.

Saman itu dikatakan diketepikan pada tengah hari Jumaat, tetapi tiada alasan diberi tentang penolakannya.

Salleh berkata penolakan saman itu, yang menurut beliau, memang tidak berasas sejak mula lagi, juga membuktikan ia semata-mata untuk mencari publisiti bagi memanipulasi persepsi orang ramai.

Menurut beliau, ia juga adalah sebahagian daripada rancangan Dr Mahathir untuk mensabotaj 1MDB dan merosakkan ekonomi Malaysia bagi menyingkirkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

"Dan semua ini adalah atas sebab politik peribadi, semata-mata untuk memberi manfaat kepada anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Tun Mahathir tentu kecewa apabila setiap cubaannya untuk meruntuhkan demokrasi Malaysia telah gagal. Mereka akan terus gagal. Satu daripada kehebatan seseorang pemimpin sebenar ialah tahu bilakah beliau patut berundur secara diam-diam," katanya.

Salleh berkata walaupun banyak cubaan dilakukan Dr Mahathir untuk memperkecil-kecilkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional, tetapi ia tetap mendapat pengiktirafan badan antarabangsa, termasuk Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ketua Pengarah UNESCO, Irina Bokova dalam satu kenyataan baru-baru ini memuji kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mengambil pendirian tegas terhadap ekstremisme keganasan melalui pendidikan dan langkah bersifat terangkum, yang dianggap UNESCO sebagai langkah pencegahan jangka panjang paling berkesan bagi menentang pihak yang mengancam untuk memecahbelahkan masyarakat.

Beliau juga memuji Malaysia kerana menjadi contoh kepada negara daripada pelbagai peringkat pendapatan.

Katanya Malaysia menjadi bukti bahawa sikap menghormati kepelbagaian merupakan suatu sumber kekuatan dan negara ini menerajui usaha menggalakkan pengajaran agama bagi memupuk toleransi serta sikap saling menghormati dan saling memahami.

Kata Salleh: "Tumpuan kerajaan tidak akan terpesong oleh cubaan Tun (Dr) Mahathir yang semakin terdesak. Perdana menteri akan terus berkhidmat kepada rakyat dan memberi keutaman terhadap keselamatan serta kemakmuran mereka."

-- BERNAMA