Khamis, April 11, 2013
KAMARUDDIN LAWAN SHABERY CHEEK DI KEMAMAN
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan Kamarudin Chik, yang berasal dari Kuala Terengganu sebagai calon parti itu di kerusi Parlimen Kemaman pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu pada satu majlis di sini lewat malam tadi, berkata Kamarudin, 47, dipilih kerana memenuhi kriteria, antaranya anggota parti yang setia dan tidak mudah khianat kepada parti.
"Di Kemaman ini ada 1,000 lebih layak jadi calon (PKR)...ada tokoh lama, baru tapi saya bincang dan kaji kita nak orang tempatan, kita nak orang berkelayakan, kita nak orang muda yang bertenaga.
"Sebab itu kita pilih orang Terengganu menetap di Kemaman...kita tidak mahu berlaku seperti 2008, khianat sebelum pilihan raya dan khianat selepas pilihan raya tak dapat jadi calon, kriteria penting kita adalah orang yang taat dan tidak belot dan tidak khianat parti," katanya
Kamarudin yang menjadi anggota PKR sejak 1998 ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata beliau hanya maklum namanya dicalonkan kira-kira pukul 4 petang semalam.
Pada pilihan raya umum 2008, calon Barisan Nasional (BN) yang kini Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengalahkan calon PKR Fariz Musa dengan majoriti 12,683 undi di kerusi Parlimen Kemanan. - Bernama
BN CALONKAN IBRAHIM ALI DI PASIR MAS?
Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali akan mempertahankan kerusi Parlimen itu yang dimenanginya pada pilihan raya umum ke-12 (PRU-12).
"Atas tiket apa saya akan bertanding itu tunggulah hari penamaan calon atau sebelum hari itu. Saya tidak mahu buat sebarang spekulasi, tunggulah saya akan umumkan," katanya ketika membuat pengumuman itu pada sidang akhbar di Kota Bharu.
Katanya, sekiranya beliau dipilih bertanding atas tiket BN, sudah tentu ia merupakan satu penghormatan besar buat dirinya yang mahu terus berbakti kepada pengundi Pasir Mas.
Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini mengumumkan di Putrajaya bahawa hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) ditetapkan pada 5 Mei manakala tarikh penamaan calon ialah 20 April. Ia susulan pembubaran Dewan Rakyat 3 April lepas.
Ibrahim berkata beliau telah membuat persiapan untuk terus menabur bakti kepada warga Pasir Mas yang menurutnya mahu beliau terus mewakili mereka.
Sehubungan itu, beliau akan 'bercuti' daripada menjalankan tanggungjawab sebagai Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia mulai hari ini hingga tamat PRU-13, dan tugas itu akan dipangku timbalannya, Datuk Abdul Rahman Bakar.
Sebagai rekod, pada pilihan raya umum lalu, Ibrahim yang bertanding atas tiket PAS menang kerusi Parlimen Pasir Mas mengalahkan calon BN, Ahmad Rosdi Mahamad dengan majoriti 8,991 undi.
Langgan:
Catatan (Atom)