Memaparkan catatan dengan label bn. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bn. Papar semua catatan

Khamis, Julai 11, 2019

BN KALAH BAWAH NAJIB NAK BERI NASIHAT PULAK

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini menyifatkan, pelantikan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) sebagai 'langkah ke belakang'.

“Kita (BN) kalah di bawah siapa Apa bentuk nasihat yang dia boleh berikan kepada kita,” kata bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO itu kepada pemberita di lobi Parlimen ketika ditanya mengenai perkara itu.

“Saya rasa ia langkah ke belakang,” katanya.

Setiausaha Agung BN Tengku Adnan Tengku Mansor dalam satu kenyataan semalam berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan keputusan sebulat suara Dewan Tertinggi BN.

Ketika ditanya perkara sama, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dengan ringkas menjawab: “Tiba-tiba saya tidak suka di mana saya berada”.

-- BERNAMAv

Rabu, Julai 18, 2018

BN PERLU BERI LALUAN KEPADA PAS DI SUNGAI KANDIS

SHAH ALAM: Wajarkah BN (Umno) beri laluan kepada PAS untuk menentang PKR pada PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini? Menjelang tiga hari lagi penamaan calon PRK Sungai Kandis pada 21 Julai ini, Umno belum buat keputusan untuk masuk atau tidak dalam PRK tersebut.

Namun demikian Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah membayangkan sama ada BN atau PAS yang akan menentang PKR. Katanya, BN perlu bekerjasama dengan PAS supaya berlaku pertandingan dua penjuru dengan PKR pada PRK tersebut.

Bagi saya, Umno tak perlu bertanding dan beri laluan kepada PAS berdasarkan lapan faktor. Pertama, jika BN tak masuk bertanding PRK ia bukan perkara baharu kepada BN kerana ia pernah tak masuk PRK Chempaka selepas kematian Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Kedua, Umno baharu bertukar pucuk pimpinan parti. Jika BN masuk dan kalah, maka imej Presiden baharu akan tercemar.

Ketiga, imej Pengerusi Perhubungan Umno Selangor yang baharu, Datuk Seri Ismail Shabery Yaacob pun turut tercemar kerana kekalahan itu menunjukkan ahli Umno Selangor menolak beliau.

Keempat, berdasarkan keputusan PRU 14, undi BN dan PAS tak dapat mengalahkan undi PKR. Arwah Mat Shuhaimi Shafie mendapat 23,998 undi manakala jumlah undi calon BN, Datuk Ir Kamaruzzaman Johari (11,518) dan undi calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) sebanyak 19,091 undi masih kurang 4,901 undi. Ini bermakna bila letak seorang sahaja calon sama ada BN atau PAS ia hanya dapat mengurangkan majoriti PKR dari 12,480 undi.

Kelima, DUN Sungai Kandis terletak di bawah parlimen Kota Raja yang dimenangi Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. Maka dengan peruntukan menteri, agak sukar bagi BN untuk menang PRK Sungai Kandis.

Keenam, PRK Sungai Kandis bukan ukuran rakyat menolak manifesto Pakatan Harapan kerana 100 hari belum berakhir lagi walaupun ia dapat mengurangkan majoriti calon PKR.

Ketujuh, pembangkang kena bersatu sama ada BN atau PAS yang tanding kerana ahli PKR juga akan berbalah sama ada calon MB, Amiruddin Shaari (proksi Datuk Seri Azmin Ali)  atau calon proksi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding.

Kelapan, dengan majoriti yang besar yang diperolehi pada PRU lalu, maka BN agak sukar untuk menumbangkan calon PKR. Justru itu apa salahnya BN beri laluan kepada PAS untuk lawan PKR kerana PAS sudah 61 tahun membangkang sedangkan BN baru dua bulan membangkang.

Berdasarkan lapan faktor ini maka wajarlah BN tidak bertanding pada PRK Sungai Kandis.

Selasa, Jun 12, 2018

BN SUDAH JATUH DITIMPA TANGGA

KUCHING, 12 Jun (Bernama) -- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hari ini sebulat suara mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN).

Pengerusi BN Sarawak yang juga Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika mengumumkan perkara tersebut berkata keempat-empat parti tersebut akan mewujudkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

PBB, SUPP, PRS dan PDP telah sebulat suara membuat keputusan untuk meninggalkan BN dan membentuk gabungan baharu parti yang berasaskan Sarawak dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak.

"Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan secara mendalam dan mengambil kira perkembangan politik saat ini pasca Pilihan Raya Umum ke-14. GPS akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan demi kepentingan negara dan hak negeri dan hak berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia," katanya.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat BN Sarawak di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, Petra Jaya dekat Kuching di sini hari ini.

Mesyuarat lebih sejam itu turut dihadiri Presiden PRS, Tan Sri James Jemut Masing, Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing, Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian dan Setiausaha Agung BN Sarawak, Datuk Alexander Nanta Linggi .

Pada Pilihan Raya ke-14 lalu, BN Sarawak menguasai 19 kerusi Parlimen yang disumbangkan oleh PBB 13 kerusi, PRS (tiga), PDP (dua) dan SUPP (satu) daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata keputusan menubuhkan sebuah gabungan politik baharu juga dilihat tepat dengan situasi semasa.

"Kami percaya, sudah tiba masanya dan sesuai untuk negeri Sarawak memulakan satu platform politik yang baharu untuk bergerak ke depan menghadapi cabaran selaras dengan keperluan aspirasi yang berubah-ubah dan tuntutan daripada pelbagai keratan rentas penduduk Sarawak. Sarawak adalah sebuah negeri yang unik dengan berbilang kaum, budaya dan agama," katanya.

Abang Johari berkata keputusan empat parti komponen itu akan dimaklumkan kepada BN pusat dalam tempoh terdekat sambil berterima kasih atas sumbangan BN selama ini kepada Sarawak.

"Kita juga akan maklumkan (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) RoS (berkenaan GPS) dan juga Speaker Dewan Rakyat. Seperti yang saya maklumkan tadi, kita akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan (Pakatan Harapan) kerana kita berada di dalam sistem Persekutuan, namun kami tidak akan menyertai mereka, kami masih bebas dan mempunyai blok sendiri," katanya.

Ketika ditanya sama ada sebuah lagi parti asal Sarawak iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang dipimpin oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan eDagang Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh akan turut menganggotai GPS, Abang Johari berkata perkara tersebut akan diputuskan selepas semua perkara selesai.

Dalam pada itu, Abang Johari menafikan ada bertemu Pemangku Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

"Saya hanya bertemu dengan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) atas kapasiti beliau sebagai Perdana Menteri, itu sahaja," katanya.

Sebagai rekod BN Sarawak membentuk kerajaan negeri selepas menang 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan semasa Pilihan Raya Negeri ke-11 yang diadakan pada 2016.

Ahad, Mei 27, 2018

KERAJAAN NEGERI BN DISERU BEKERJASAMA DENGAN KERAJAAN PH

TEMERLOH, 27 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri bawah Barisan Nasional (BN) diseru bekerjasama dengan kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan mereka terus menerima bantuan untuk membangunkan negeri ini.

Anggota Parlimen Temerloh Anuar Tahir berkata menjadi pembangkang untuk kali menyebabkan BN dalam keadaan tersepit dalam mendapatkan dana bagi mentadbir negeri terutama menjelaskan hutang yang mencecah berbilion ringgit.

"Kerajaan negeri berhutang lebih satu bilion...kalau nak hutang lagi nak kena bincanglah, kerajaan PH tidak akan menganiaya rakyat, sebagai wakil rakyat PH saya sendiri bekerjasama dengan kerajaan negeri BN."

"Kita akan mencari titik temu di mana boleh bekerjasama...kalau mereka sudi bekerjasama ia lagi baik," katanya pada sidang media selepas mengadakan program bertemu pengundi di Pekan Sehari Temerloh di sini hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Anuar berkata beliau mengalu-alukan lebih ramai penduduk Temerloh untuk tampil menyatakan pendapat tentang pembangunan yang diperlukan di kawasan itu.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian dan pendapat yang diterima setakat ini, ramai penduduk Temerloh mahukan sebuah institusi pengajian tinggi yang berlainan daripada daerah lain di negeri ini..

Ahad, Mei 13, 2018

JASAMU TETAP DIKENANG NAJIB

KUALA LUMPUR:  Pada jam 11.44 pagi semalam boss MH Online, Hidayat Fansuri whatsapp saya beritahu pada jam 3 petang  ada sidang akhbar pemuda, wanita dan puteri Umno. Maka kami buat keputusan untuk hadiri sidang akhbar tersebut.

Apabila kami dari semua media sampai di tingkat 39 PWTC kami diarah tunggu di tingkat empat kerana sidang akhbar akan diadakan di situ. Sambil menunggu sidang akhbar bermula ramai exco pemuda, wanita dan puteri turut masuk ke bilik tersebut.

Saya tertanya tanya apa hal pulak sidang akhbar turut dihadiri orang lain. Tiba tiba masuk Setiausaha Akhbar Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Tengku Saifuddin ke dalam bilik tersebut. Kami tertanya tanya kenapa Tengku Saifuddin turut sertai sidang akhbar yang akan dibuat pemuda, wanita dan puteri.

15 minit kemudian masuk presiden, timbalan presiden, naib presiden, ketua pemuda, ketua wanita, setiausaha agung dan ketua penerangan Umno barulah kami tahu bahawa ia bukan sidang akhbar pemuda, wanita dan puteri Umno.

Rupa-rupanya Najib mahu buat pengumuman penting selepas mempengerusikan mesyuarat biro politik Umno.

Najib Tun Razak  melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta susulan prestasi buruk BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

"Mengambil kira keadaan semasa...dan memandangkan UMNO dan BN telah mengalami kekalahan yang amat berat (dalam PRU14), maka saya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN mengambil keputusan meletakkan (kedua-dua) jawatan itu serta-merta."

"Ini adalah kerana mengikut prinsip, sesiapa yang menjadi ketua sesebuah parti dan parti itu gagal dalam pilihan raya, maka tanggungjawab moral mestilah diterima sepenuhnya oleh orang berkenaan," katanya.

Najib berkata Biro Politik itu juga bersetuju supaya Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO manakala Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, juga Naib Presiden UMNO, menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN.

Beliau turut memberi jaminan tidak akan meninggalkan parti itu.

PRU14 menyaksikan penguasaan 60 tahun BN di persada pemerintahan negara berakhir apabila hanya menang 79 daripada 222 kerusi Parlimen.

BN turut hilang kuasa di Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak dan Sabah.

Ketika Najib umumkan perletakan jawatannya tiba tiba air mata saya gugur. Naib ketua puteri Umno, Zahida Rafique yang duduk di hadapan saya sedar air mata saya gugur. Saya sedih kerana Najib terpaksa melepaskan jawatan apabila gagal mempertahankan kerajaan BN. Pada PRU 2013, BN gagal dapat majoriti dua pertiga dan pada PRU14, BN tewas buat kali pertama dalam sejarah Perikatan dan BN menguasai negara selama 61 tahun.

Tapi Najib berjiwa besar tidak menangis apabila mengumumkan perletakan jawatannya. Selepas BN tewas pada 9 Mei lalu, saya telah menulis dalam blog ini meminta Najib berundur pada 10 Mei 2018. Baca http://catatanzabidi.blogspot.my/2018/05/kedegilan-najib-berundur-sebabkan-bn.html

Selepas itu barulah ketua pemuda Terengganu, Johari Abu Bakar dan lain lain ketua pemuda negeri desak Najib berundur. Najib telah memimpin Umno selama 10 tahun. Jasamu tetap dikenang Najib mengetuai Umno dan kerajaan BN. Semoga Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dapat memulihkan semula Umno dalam tempoh lima tahun akan datang. Hanya orang yang kuat iman sahaja tidak akan  melompat menyertai Parti Bersatu atau PKR.

Sabtu, Mei 12, 2018

APABILA BN BUKAN LAGI KERAJAAN PUSAT

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya kerajaan simple majoriti. Untuk memerintah dengan stabil, PH memerlukan majoriti dua pertiga. Maka rundingan sedang dibuat oleh pihak PH untuk membeli ahli- ahli parlimen BN.

Di Sabah, Ketua Penerangan Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar selaku ADUN Kemabong telah melompat menyertai Warisan. Tindakan beliau selaku bekas pegawai khas Datuk Seri Shafie Apdal tidak menghairankan jika beliau mengikut bekas bossnya itu demi pembangunan rakyat Kemabong.

Kini BN bukan lagi kerajaan pusat. Maka jika dia kekal dengan BN rakyat Kemabong  akan rugi. Tiga orang ADUN BN yang melompat parti Warisan menyebabkan kedudukanTan Sri Musa Aman yang telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah kelmarin goncang. Shafie dikatakan sedang menunggu Yang Dipertua Negeri Sabah memanggilnya untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri yang baharu.

Di Sarawak, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Taib Mahmud dikatakan telah berunding dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya PPB meninggalkan BN dan menyertai PH.

Akan tetapi Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak, Chong Chieng Jen tidak bersetuju dengan desas-desus PBB mungkin meninggalkan BN dan menyertai gabungan parti pemerintah yang baru.

"Kami tidak akan terima sebarang parti BN Sarawak untuk menyertai kami, termasuklah PBB.

"Menerima PBB ke dalam HARAPAN samalah seperti Umno menyertai HARAPAN di peringkat nasional," kata Chong dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata HARAPAN Sarawak telah berjuang melawan rejim kerajaan negeri BN yang 'korup' itu dan membenarkan mereka menyertai gabungan parti pemerintah persekutuan itu akan 'membersihkan' perbuatan 'korupsi' BN Sarawak.

Dalam masa dua minggu ini pelbagai senario politik akan berlaku. Jika benar PBB meninggalkan BN maka memang sukar mencari kawan yang setia seperti lagu D.J. Dave "Kawan Yang Setia" berkumandang di kaca televisyen. BN akan kenal siapa kawan yang setia apabila tewas di peringkat pusat.

Bukan senang mengetuai kerajaan negeri yang tidak selari dengan kerajaan pusat. Demi rakyat negeri apa salahnya ia meninggalkan pakatan yang lama asalkan pembangunan untuk rakyat dapat diteruskan.

Isnin, April 09, 2018

BN SENTIASA DENGAR RINTIHAN RAKYAT

SEREMBAN, 7 April (Bernama) -- Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha mendengar dan memenuhi segala kehendak rakyat dalam segenap aspek kehidupan seharian, kata Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata pada peringkat negeri, satu jawatankuasa unit penyelesaian masalah ditubuhkan bagi menerima, mengklasifikasi serta menyelesaikan masalah yang diadu rakyat.

"Kita usaha sedaya upaya atasi isu rakyat yang ada kaitan dengan kehidupan seharian mereka. Saya rasa rakyat merasa selesa dan mereka faham terutamanya dasar-dasar yang telah kita buat, kita laksanakan dengan sebaik mungkin."

"Saya amat yakin rakyat dapat merasainya dan isu-isu berkaitan dengan kehidupan seharian rakyat memang jadi keutamaan kita," katanya dalam temubual khas bersama Bernama di sini.

Mohamad yang juga menteri besar berkata menerusi jawatankuasa itu, semua aduan akan dinilai dan dikategorikan sama ada ia berasaskan keperluan atau kehendak.

"Ada juga rungutan yang berasaskan kepada kemahuan dan ada berasaskan keperluan. Misalnya orang nak ke ladang nak menoreh getah dan dia punya jambatan putus disebabkan banjir...itu kita terus buat."

"Tetapi kalau nak buat dewan besar, itu kemahuan. Kalau tak ada dewan pun tak terganggu kehidupan seharian," katanya

Sabtu, Februari 24, 2018

500,000 RAKYAT PULANG KALAU BN TAWAN KELANTAN

GUA MUSANG, 23 Feb (Bernama) -- Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yakin Barisan Nasional (BN) mampu membawa pulang lebih 500,000 rakyat Kelantan yang berhijrah ke negeri lain kerana faktor kerja, untuk menabur bakti di negeri itu jika BN diberi mandat mentadbir Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Tengku Razaleigh berkata beliau yakin BN mampu membangunkan kembali Kelantan merangkumi semua aspek seperti pendidikan, ekonomi dan infrastruktur, sama seperti yang dinikmati oleh negeri-negeri lain ketika Malaysia sedang menuju ke arah status negara maju.

"Sejak lebih 20 tahun lepas rakyat Kelantan terpaksa berhijrah ke negeri-negeri lain kerana PAS tidak mampu membangunkan Kelantan sekali gus gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini.

"PRU14 ini adalah pertimbangan terbaik untuk rakyat menyokong BN kerana hanya BN sahaja yang mampu memulihkan keadaan itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Dewan Orang Ramai di Pos Brooke, di sini hari ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Ab Aziz Yusof, Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Yahaya Mamat dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu Hashim Alang Abdul Hamid.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada PRU14, Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO bahagian tersebut berkata perkara berkenaam masih dalam pertimbangannya.

Katanya, beliau sudah menjadi Anggota Parlimen Gua Musang selama 45 tahun dan tidak pernah tewas pada pilihan raya umum yang ditandinginya.

"PRU14 merupakan penggal ke-12 saya bertanding dan ada beberapa pemimpin BN yang datang jumpa saya minta saya terus bertanding lagi pada kali ini. Saya akan pertimbangkannya," katanya.

-- BERNAMA

Sabtu, Januari 27, 2018

BANYAK PARTI BERTANDING BERI KELEBIHAN KEPADA BN

GUA MUSANG, 25 Jan (Bernama) -- Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan banyak parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memenanginya.

Beliau berkata ini kerana parti yang bertanding itu bakal berdepan dengan pecahan undi terutama apabila calonnya yang tiada pengaruh.

Katanya parti pembangkang yang bakal bertanding pada PRU14 adalah daripada serpihan parti asal yang belum mendapat keyakinan rakyat khususnya penduduk luar bandar untuk menyokong parti tersebut.

"Kita (BN) sudah terbukti mendapat sokongan majoriti pengundi pada PRU sebelum ini dan saya yakin BN kekal menerima sokongan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Meranto di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, yakin BN tiada masalah untuk mencapai kemenangan namun sama ada akan mendapat majoriti yang lebih besar atau tidak bergantung kepada sokongan rakyat terhadap BN.

Mengenai tindakan pembangkang yang banyak menyentuh peribadi pemimpin negara terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Tengku Razaleigh berkata perjuangan pemimpin parti politik hendaklah berdasarkan kepada pembelaan rakyat dan bukan soal peribadi yang di luar tatacara politik.

-- BERNAMA

Ahad, Januari 14, 2018

BN BUKAN TAKUT KEPADA MAHATHIR

KUALA LUMPUR: Blogger-blogger pro pembangkang menulis kononnya BN takut kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selepas Pakatan Harapan (PH) menamakan beliau sebagai bakal PM apabila  PH menangi PRU14. Sebenarnya BN atau Umno bukannya takut kepada Mahathir sebaliknya BN kekalkan tradisi yang diajar oleh Mahathir dahulu.

Cuba ingat kembali apabila Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menyertai Parti Semangat 46 pada tahun 1989. Bukankah Mahathir suruh anak-anak buahnya menyerang Ku Li ? Malah dalam perhimpunan agung Umno 1989 setiap perwakilan dari semua negeri menghentam Ku Li.

Tradisi yang diajar oleh Mahathir itu diteruskan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun 1999. Mahathir kerah semua jentera Umno menghentam Anwar dengan mengedar pelbagai video yang kononnya Anwar melakukan hubungan  homosex. Oleh itu jangan kata kepada Umno kelam kabut apabila Mahathir diumumkan sebagai calon PM kerana Umno meneruskan tradisi yang diajar oleh Mahathir.

Umno berhak mempertahankan diri kerana Mahathir mahu menghapuskan Umno yang diasaskannya pada tahun 1988. Mahathir secara terbuka menyerang Umno dan BN maka Mahathir kini adalah musuh nombor satu Umno.

Berjayakah kali ini Mahathir menumbangkan Umno setelah Mahathir mengarahkan mahkamah mematikan Umno lama yang ditubuhkan pada tahun 1946? Umno asal ditumbangkan melalui mahkamah oleh Mahathir. Kini Mahathir mahu tumbangkan Umno yang ditubuhkannya pada tahun 1988 melalui PRU.

Ku Li cuba menumbangkan BN sebanyak dua kali melalui PRU 1990 dan 1995. Akhirnya Ku Li sedar bahawa orang Melayu tetap mahu bersama Umno. Maka Ku Li kembali kepada Umno.

Bukan mudah Mahathir mahu menumbangkan Umno kerana ahli Umno sudah tahu bahawa Parti Bersatu tidak akan menang besar menewaskan BN. Sebaliknya DAP yang dapat 35 kerusi akan menjadi parti yang dominan dalam PH kerana Bersatu, Parti Amanah dan PKR tidak dapat menumbangkan Umno lebih lebih lagi dalam pertandingan tiga penjuru bersama PAS.

PRU14 paling sengit dalam sejarah PRU di Malaysia. Maka Umno dan BN tiada pilihan terpaksa menyerang Mahathir habis habisan dalam PRU kali ini kerana beliau mahu menguburkan Umno yang beri kekayaan kepada keluarganya selama 22 tahun menjadi PM.

Oleh itu BN perlu mengemukakan lebih ramai calon muda dalam PRU14.  Orang lama yang sudah menjadi wakil rakyat BN selama dua penggal wajar beri laluan kepada orang baharu. Pilih calon yang diterima akar umbi dan bukannya kerana calon itu sahabat pemimpin atasan. BN perlu berubah. Jika tidak ia akan rebah.

Semoga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak mendengar suara akar umbi yang mahu calon yang bersih, berwibawa, mesra rakyat dan baik akhlaknya.


Selasa, November 28, 2017

MOHD JIDIN YAKIN BN MENANG LIMA KERUSI DI BAHAGIAN SETIU

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie yakin BN dapat mengekalkan lima kerusi dalam bahagian tersebut pada PRU akan datang.

Menurut beliau, kemunculan dua parti baru Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PBPM) dan Parti Amanah Negara (PAN) tidak dapat menggugat kekuatan BN di parlimen tersebut.

"Kedua dua parti itu tidak mampu mencabar BN kerana pencabar utama BN dalam PRU akan datang tetap parti PAS," katanya kepada MH Online ketika ditemui di Restoran Al Raziq di sini petang tadi.

Pada PRU 2013, BN mengekalkan empat kerusi DUN dan satu kerusi parlimen di Setiu selain dari parlimen Besut. Pada PRU tersebut BN menang 17 kerusi manakala PAS menang 15 kerusi di seluruh Terengganu.

Di DUN Jabi Mohd Iskandar Jaafar menang dengan majoriti 782 undi. Beliau mendapat 7,735 undi manakala calon PAS, Azman Ibrahim mendapat 6,953 undi.

 Di DUN Permaisuri, Mohd Jidin Shafee yang kembali bertanding di DUN tersebut menang dengan majoriti 2,928 undi. Beliau yang memungut 9.188 undi mengalahkan dua calon Wan Mokhtar Wan Ibrahim (6,260 undi-PKR) dan Mohd Yusof Majid (1,920 undi- Calon Bebas).

Di DUN Langkap, Sabri Mohd Noor mewakili BN menang dengan majoriti 3,022 undi mengalahkan calon PAS, Hassan Karim yang mendapat 5,403 undi. Sabri yang bertanding di situ buat kali pertama mendapat 8.425 undi.

Di DUN Batu Rakit, Calon BN Bazlan Abdul Rahman menang dengan majoriti 1,635 undi. Beliau memperolehi 7,008 undi manakala calon PAS, Che Ghani Che Ambak mendapat 5,373 undi.

Manakala di kerusi parlimen Setiu, calon baharu BN, Che Mohamad Zulkifly Jusoh menang dengan majoriti 7,943 undi. Beliau memungut 33,198 undi mengalahkan calon PAS, Omar Sidek yang mendapat 25,255 undi.

Mohd Jidin yang juga Exco Kerajaan Negeri yakin pengundi Setiu akan mengekalkan BN bagi empat kerusi DUN dan kerusi parlimen kerana mereka tidak terpengaruh dengan isu yang dibawa oleh pihak pembangkang seperti 1MDB dan isu kos sara hidup.


Jumaat, Oktober 27, 2017

BAJET 2018 SENJATA AKHIR BN HADAPI PRU

PUTRAJAYA, 26 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan kerajaan telah memberi banyak subsidi tidak langsung dan tidak dinyatakan dalam pelbagai bidang tapa disedari rakyat.

"Malah, ada terlalu banyak subsidi sedemikian daripada segi penjagaan kesihatan, pendidikan tinggi dan tarif yang kerajaan tidak mendapat (sebarang) pujian pun,"kata Perdana Menteri pada sesi talimat media untuk pengarang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Ghani dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri yang akan membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat esok, turut memberi contoh kira-kira RM24 bilion telah disediakan untuk sektor penjagaan kesihatan biar pun kutipan bagi perkhidmatan itu adalah RM600 juta.

Selain itu, tarif elektrik negara ini juga adalah antara yang terendah di dunia disebabkan subsidi yang diberikan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata rakyat sebenarnya mendapat habuan daripada pengurangan cukai korporat dan individu menerusi pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Mengulas cadangan pihak pembangkang dalam Bajet Alternatif untuk memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan GST, beliau berkata GST sebaliknya dapat mengurangkan secara drastik jumlah individu dan syarikat yang mengelak cukai di bawah SST sebelum ini serta hasil aktiviti 'ekonomi gelap'.

Najib berkata, keberanian kerajaan untuk melaksanakan GST serta rasionalisasi subsidi juga telah membolehkan negara ini mendapat penarafan 'A-' dengan unjuran stabil oleh agensi-agensi penarafan yang bertindak menurunkan penarafan itu bagi negara-negara lain.

Ketika menjawab pertanyaan sejauh mana kekurangan cukai korporat di Singapura berbanding Malaysia, beliau berkata kos menjalankan perniagaan di republik itu jauh lebih tinggi dan menyebabkan banyak firma antarabangsa memindahkan operasi mereka ke Malaysia berikutan kos yang lebih rendah.

Mengulas Bajet 2018, Perdana Menteri berkata, pengiraan itu adalah berdasarkan unjuran purata harga minyak mentah US$50 setong berbanding US$45 bagi Bajet 2017 dan defisit fiskal berkurangan sedikit daripada 3.0 peratus yang diunjur untuk 2017.

Sambil menyifatkan isu kos sara hidup itu sengaja diperbesarkan, beliau berkata Bajet itu akan mengetengahkan banyak pendekatan untuk menangani isu berkenaan.

Bajet itu akan turut menyenaraikan produk serta inisiatif berkaitan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang pada masa sama memaparkan aspirasi rakyat berdasarkan beberapa siri dialog yang diadakan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan, wujud kekangan terhadap apa yang boleh dilaksanakan kerajaan kerana setiap pendekatan itu perlu dipertimbangkan dengan sewajarnya.

"Tidak wujud perkara seperti 'habuan' percuma kerana semua perkara perlu diambil kira untuk menyokong langkah terbabit.

"Misalnya, jika anda mahukan pendidikan tinggi, anda perlu membayar di segi cukai lebih tinggi. Semua negara yang menawarkan pendidikan tinggi secara percuma (pada masa sama) turut mengenakan kadar cukai yang tinggi iaitu 45-50 peratus. Oleh itu anda perlu membuat pilihan,"katanya.

Najib turut membidas pembangkang yang disifatkan beliau sebagai menabur janji kosong dan tidak boleh ditunaikan atas alasan mahu menawarkan pendidikan percuma serta menyusun semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mencecah RM40 bilion.

Mengulas pengurangan perbelanjaan pembangunan dalam peruntukan Bajet itu, beliau berkata kerajaan tidak boleh terus melaksanakan usaha merangsang ekonomi kerana perlu mengurangkan defisit.

Bagaimanapun, Bajet 2018 akan membabitkan usaha pengembangan secara sederhana dengan pelbagai program dalam tahap kemampuan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, transformasi kerajaan juga menyaksikan sektor swasta muncul sebagai pemacu pertumbuhan dengan menguasai dua pertiga daripada pelaburan berbanding sektor awam.

Najib berkata, antara buktinya termasuk kehadiran Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma di Malaysia pada 3 November ini sempena majlis perasmian Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang menyediakan platform fizikal dan maya untuk kemudahan PKS memanfaatkan pertumbuhan ekonomi internet dan aktiviti e-Dagang rentas sempadan.

-- BERNAMA

Isnin, September 25, 2017

BN PERLU BERSEDIA HADAPI PERTANDINGAN DUA PENJURU



BERA 22 Sept. – Barisan Nasio­nal (BN) perlu bekerja ke arah berdepan pertandingan satu lawan satu bagi menghadapi pembangkang terutama Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.


Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendekatan itu akan menguatkan lagi BN untuk bersiap sedia menghadapi apa jua situasi sekalipun pada PRU-14.


“Fokus yang perlu diberikan keutamaan oleh BN adalah bekerja ke arah berdepan pertandingan satu lawan satu.

“Jika berdepan pertandingan tiga penjuru, itu merupakan bonus kepada BN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat dan kenduri kampung di Masjid Kampung Jelam, Durian Tawar di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, soal dosa dan pahala hanya ditentukan oleh Allah SWT dan bukannya manusia biasa termasuk Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kita tidak hairan apabila Dr. Mahathir mendakwa undi Pas sama dengan mengundi BN dan ahli serta pemimpin Pas akan menanggung dosa yang dilakukan oleh BN. Bukan kita menentukan dosa dan pahala.

“Dari segi sejarah pun, Dr. Mahathir beberapa kali mempersendakan Nabi Muhammad SAW seperti isu janggut nabi,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu mempersoalkan adakah menyokong Pakatan Harapan diketuai DAP mendapat pahala.

“Ini kerana, umum mengetahui DAP merupakan parti anti Islam dan kenyataan pemimpinnya juga banyak yang menentang Islam,” katanya.

Beliau berkata, ini bermakna, parti Melayu dalam gabungan Pakatan Harapan bersekongkol dengan parti yang mahu menghancurkan Islam.

“Saya tidak mahu menghukum tetapi rakyat boleh fikir sendiri,” ujarnya.

Menurutnya, itulah sebenar­nya Dr. Mahathir yang kini sedang digunakan oleh Pakatan Harapan untuk menyerang UMNO.

Khamis, September 07, 2017

BAIK UNTUK BN JIKA PKR TERUS BERGADUH SESAMA SENDIRI

PUTRAJAYA, 7 Sept (Bernama) -- Adalah sesuatu yang baik bagi Barisan Nasional (BN) sekiranya percakaran dalaman terus melanda PKR, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri
Mohamed Nazri Aziz.

"Bergaduhlah lagi. Dedahkan keburukan sendiri kepada umum...itu baik untuk kami," kata Mohamed Nazri, yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO, ketika diminta mengulas tentang perbalahan antara pemimpin dan anggota PKR kebelakangan ini.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan bermulanya pencalonan bagi Anugerah Pelancongan Malaysia 2016-2017 di kementeriannya, di sini hari ini.

Kebelakangan ini, PKR dilanda perbalahan dalaman, termasuk yang terbaru berkaitan rundingan antara parti itu dengan PAS.

Sebelum itu , Datuk Seri Mohamed Nazri telah mengumumkan mengenai pencalonan Anugerah Pelancongan Malaysia 2016/2017 di pejabatnya, di sini, hari ini.

 Nazri berkata, “Sokongan dan komitmen yang diberikan oleh para penggiat industri di Malaysia dan rakan-rakan kongsi kami di luar negara telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan profil pelancongan Malaysia. Anugerah Pelancongan Malaysia 2016/2017 ini merupakan tanda penghargaan kami kepada mereka.”

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mempelawa semua orang untuk menghantar pencalonan bagi individu dan organisasi yang layak menerimanya mengikut kategori masing-masing. Saya berharap agar anugerah ini akan menerima sambutan yang baik daripada masyarakat umum kerana ia merupakan satu tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka yang telah bekerja keras untuk mendukung standard pelancongan di dalam negara ini,” katanya.

Dianjurkan setiap dua tahun sekali, Anugerah Pelancongan Malaysia yang berprestij ini merupakan edisi yang ke-20.

Anugerah ini merupakan penghargaan dan pengiktirafan yang diberikan kepada para penggiat industri pelancongan tempatan dan antarabangsa atas kecemerlangan mereka dalam membangunkan produk dan perkhidmatan yang inovatif. Ia juga bertindak sebagai insentif bagi para peserta untuk berusaha dengan lebih keras lagi untuk mencapai tahap profesional dan kualiti yang tertinggi dalam pembangunan produk dan perkhidmatan.

Ahli-ahli perdagangan pelancongan Malaysia dan antarabangsa serta media dipelawa untuk menghantar pencalonan bagi mana-mana 14 kategori seperti berikut:

i. Pengusaha Pelancongan Tempatan Terbaik;
a. Pengusaha Pelancongan ke Dalam Negeri
b. Pengusaha Pelancongan Domestik

ii. Pengusaha Pelancongan Antarabangsa Terbaik;
a. Pasaran Asia Tenggara
b. Pasaran Asia Selatan dan Asia Barat
c. Pasaran Asia Timur dan Asia Utara
d. Pasaran Amerika, Eropah dan Oceania
e. Pasaran Asia Timur dan Asia Barat
f. Pasaran Amerika, Eropah dan Oceania

iii. Rencana Pelancongan Terbaik;
a. Penerbitan Bercetak
i. Penerbitan Tempatan
ii. Penerbitan Antarabangsa

b. Dalam Talian
i. Tempatan
ii. Antarabangsa

iiii. Dokumentari Pelancongan dan Iklan Televisyen Terbaik Mengenai Malaysia;
a. Dokumentari
b. Iklan TV

v. Tarikan Pelancongan Terbaik;
a. Tarikan Semulajadi/Eko Pelancongan/Agro Pelancongan
b. Tarikan Buatan Manusia – Taman Tema
c. Tarikan Buatan Manusia – Tarikan Seni & Budaya

vi. Pakej Pelancongan Paling Berinovatif;
a. Unik (Di Luar Kebiasaan)
b. Minat Khas

vii. Perkhidmatan Hotel Terbaik;
a. 5 bintang (Bandar)
b. 5 bintang (Tempat Peranginan)
c. 4 bintang (Bandar)
d. 4 bintang (Tempat Peranginan)
e. 3 bintang (Bandar)
f. 3 Bintang (Tempat Peranginan)
g. NBOS Penginapan Lestari Hijau
h. Hotel Butik

viii. Pemandu Pelancong Terbaik;
a. Pemandu Pelancong Bandar
b. Pemandu Pelancong Alam Semula Jadi

ix. Pusat Beli-belah Terbaik;
a. Pusat Beli-Belah Integrasi
b. Pusat Beli-Belah Persendirian

x. Inap Desa Terbaik

xi. Spa Terbaik;
a. Spa Terbaik (Hotel/Resort)
b. Spa Terbaik (Premis Individu)

xii.Restoran Berinovasi;
a. Restoran Melayu
b. Restoran Cina
c. Restoran India
d. Restoran Etnik
e. Restoran Antarabangsa

xiii. Pusat Hiburan Terbaik

xiv.Syarikat Penerbangan Terbaik;
a. Domestik
b. Antarabangsa
c. Sewa Khas

Sebanyak dua kategori baru telah diperkenalkan untuk edisi ke-20 Anugerah Pelancongan Malaysia ini iaitu “Pusat Hiburan Terbaik” dan “Syarikat Penerbangan Terbaik.” Anugerah-anugerah ini ialah sebagai pengiktirafan kepada usaha sektor swasta atas pencapaian objektif bagi NKEA Pelancongan untuk mewujudkan “Zon Hiburan Khas” dan mempertingkatkan kesalinghubungan bagi pasaran-pasaran jarak sederhana demi memanfaatkan pasaran yang menghasilkan pendapatan yang tinggi.

Kategori “Dokumentari Pelancongan Terbaik Mengenai Malaysia” telah diberi nafas baharu dan kini dinamakan sebagai “Dokumentari Pelancongan dan Iklan Televisyen Terbaik Mengenai Malaysia”, manakala “Rencana Pelancongan Terbaik” akan menumpukan kepada rencana-rencana mengenai Malaysia yang dihasilkan oleh penulis tempatan dan antarabangsa di dalam media cetak dan juga dalam talian.

Borang rasmi Anugerah Pelancongan Malaysia boleh didapati dari pejabat-pejabat Tourism Malaysia dan 22 Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) di seluruh negara. Borang tersebut juga boleh dimuat turun dari laman web rasmi kami di www.tourism.gov.my and www.motac.gov.my .

Pencalonan boleh dibuat berdasarkan pencalonan untuk diri sendiri, dicalonkan oleh para penggiat industri pelancongan, atau orang awam. Borang pencalonan hendaklah disertakan dengan profil individu/syarikat/agensi serta dokumen-dokumen yang boleh menyokong penyertaan.

Dateline adalah pada 30 September 2017

Borang penyertaan yang telah lengkap dan sebarang pertanyaan boleh diemelkan kepada apm2017@tourism.gov.my

Selasa, Ogos 29, 2017

AMBIGA RAMAL BN MENANG JIKA PERTANDINGAN TIGA PENJURU



KUALA LUMPUR: Datuk Ambiga Sreenevasan melahirkan kebimbangan bahawa BN bakal memperolehi semula majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang, yang telah dinafikan oleh gabungan pembangkang pada dua pilihan raya sebelum ini.

Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) itu berkata, senario berkenaan bakal menjadi kenyataan jika pemimpin Pakatan Harapan yang masih mahukan pertandingan tiga penjuru tersilap dalam perhitungan mereka.

Justeru, Ambiga memberi amaran supaya tidak mengambil risiko dan menasihati HARAPAN agar terus berunding dengan PAS untuk memastikan pertandingan satu sama satu pada pilihan raya.

"Saya tidak pernah menyokong pertandingan tiga penjuru kerana sebahagian besar kes pada masa lalu, kecuali di mana calon ketiga adalah Bebas, BN mempunyai kelebihan," katanya

Bekas presiden Majlis Peguam itu berkata terdapat kajian bagi membuktikan perkara itu, tetapi pada masa yang sama, beliau mengakui terdapat kajian yang menyatakan sebaliknya.

"Tetapi bagi saya, mengapa mengambil risiko sedangkan sejarah menunjukkan ini berhasil apabila pembangkang bersatu? Kenapa mahu ambil risiko dalam keputusan penting ini,” soalnya.

Ambiga juga menegaskan bahawa beliau tidak mencadangkan bahawa pembangkang harus bekerjasama dengan PAS.

"Cuba dan berunding untuk memastikan mereka tidak bertanding di kerusi yang HARAPAN bertanding. Jika rundingan gagal, biarlah. Tidak ada pilihan. Tetapi jika kita boleh menyelamatkan beberapa kerusi maka ini adalah berbaloi.




"Kebimbangan saya ialah jika mereka yang menolak pertandingan tiga penjuru itu silap, kita berisiko untuk menyerahkan BN majoriti dua pertiga yang tidak dapat kita pulihkan semula.

"Saya tahu masalah dengan PAS. Tetapi bagi saya, masalah adalah lebih besar jika BN mendapat dua pertiga. Bagi saya, risiko itu tidak berbaloi,” katanya.

Sabtu, Ogos 05, 2017

MAHDZIR OPTIMIS BN KEKAL MEMERINTAH SELEPAS PRU14

SEMPORNA, 5 Ogos (Bernama) -- Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO akan kekal memerintah kerajaan persekutuan dan negeri selepas pilihan raya umum ke-14 ini, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata perkara itu boleh direalisasikan jika pemimpin tertinggi sehingga ke akar umbi kukuh bersatu dalam kapal yang sama.

"Ada di luar sana (pihak pembangkang) yang bercita-cita mahu menjadi kerajaan tetapi saya tidak fikir anggota UMNO akan menyerah bulat-bulat begitu sahaja kepada mereka (pembangkang).

"Walaupun mereka cuba mencari jalan mahu menawan bukan sahaja di Semenanjung tetapi Sabah dan Sarawak," katanya ketika berucap merasmikan persidangan UMNO Bahagian Semporna di sini, hari ini.

Menurutnya, dari keberhasilan tanggungjawab kepada rakyat sama ada rakyat luar bandar dan bandar, banyak yang telah dilakukan kerajaan dalam semua aspek termasuk pendidikan, ekonomi, dan sosial.

Ahad, Mei 07, 2017

BN KENA TAPIS CALON BEBAS RASUAH



KUALA LUMPUR 6 Mei Barisan Nasional (BN) memberi jaminan tidak akan meletakkan calon yang mempunyai latar belakang tidak bersih dan terbabit rasuah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, parti itu menjadikan amalan memeriksa latar belakang calon sejak sekian lama dan tidak mengizinkan individu yang terpalit dengan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Jelasnya, BN pernah mencadangkan supaya perkara itu dilaksana dan diwajibkan bagi semua parti di negara ini, namun ditolak pembangkang.
“BN sudah buat sejak sekian lama, malah calon BN diwajibkan mengisytiharkan aset mereka jika mahu menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen.


“Saya sendiri semasa mahu menjadi wakil rakyat pada 2004, kena isytihar harta yang ada, apa yang saya buat, apa isteri saya buat, apa keluarga buat, semuanya kami isytihar.

“Jika calon ada masalah dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) atau SPRM ketika ini, kita akan panggil dia, siasat dan jika didapati benar, dia tidak akan dibenarkan menjadi calon,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan KL Extravaganza dan Malaysian Supermoto Championship di Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk M. Noor Azman Taib; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz; Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar; Pengerusi BN Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Chew Yin Keen; Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez.

Semalam, Utusan Malaysia menyiarkan laporan SPRM akan meng­heret pemimpin yang terlibat de­ngan rasuah dan salah guna kuasa ke muka pengadilan walaupun selepas mereka memenangi PRU-14.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad mengingatkan parti-parti politik agar tidak meletakkan ca­lon yang mempunyai latar belakang tidak bersih kerana pihak­nya pasti akan bertindak selepas pilihan raya nanti.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, beliau meminta para pengundi di Bandar Tun Razak mengembalikan sokongan kepada BN pada PRU-14.

“Wakil rakyat di sini tidak peduli kawasan ini dan yang mengambil berat adalah BNa . Setiap bulan saya datang ke sini pelbagai program pemimpin BN buat untuk rakyat,” katanya.

Ulasan saya, BN jangan cakap tidak serupa bikin. Dulu ada ADUN di Terengganu ditangkap rasuah oleh SPRM tapi masih dikekalkan sebagai calon dalam PRU 2013. Oleh itu kali ini SPRM kena tegas tapis calon calon BN yang bertanding supaya bebas rasuah.


Isnin, Mei 01, 2017

BN PUNYA PELUANG CERAH TAWAN KELANTAN

GUA MUSANG, 30 April (Bernama) -- Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata Barisan Nasional (BN) perlu segera mengatur strategi bagi memenangi lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas Menteri Kewangan itu berpendapat BN mempunyai peluang paling cerah untuk menamatkan penguasaan 27 tahun kerajaan PAS Kelantan pada PRU-14 akan datang.

"BN mampu kembali mentadbir kerajaan negeri ini, tetapi perlu mengatur strategi mulai sekarang. Strategi yang diatur akan membolehkan BN merampas semula pemerintahan kerajaan daripada PAS yang dipegang sejak 1990, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Pada PRU13, PAS memenangi 32 kerusi DUN, BN 12 manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang satu kerusi DUN.

Veteran UMNO itu berkata keyakinan BN menawan semula negeri itu berdasarkan keinginan rakyat Kelantan yang mahukan pembaharuan selepas melihat kelemahan PAS mentadbir negeri ini dan gagal membawa sebarang perubahan sepanjang memerintah.

Dalam pada itu, beliau turut menyokong tindakan masyarakat Orang Asli di jajahan Gua Musang mempertahankan tanah yang mereka usahakan daripada diceroboh pihak luar.

"Kita faham kerajaan negeri bergantung kepada hasil balak tetapi perlu menjaga hak kaum berkenaan ke atas tanah mereka, " katanya.

Dilaporkan, terdapat kemelut di Gua Musang yang melibatkan masyarakat Orang Asli yang mendakwa mereka semakin terancam akibat aktiviti pembalakan sehingga mendirikan halangan di laluan masuk ke kawasan Hutan Simpan Kekal Balah, sejak September tahun lepas.

-- BERNAMA

Khamis, Mac 30, 2017

PARTI KOMPONEN BN TOLAK KERAJAAN BENTANG RUU355

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Kerajaan tidak akan membentangkan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Parlimen dan ia akan kekal sebagai RUU persendirian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya ini susulan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam tadi yang secara konsensus membuat keputusan mengenai perkara itu.

"BN membincangkan banyak perkara (pada mesyuarat ini) antaranya mengenai RUU 355, Dewan Tertinggi BN memutuskan bahawa kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355 selaras dengan dasar dan amalan kita bahawa BN membuat keputusan berdasarkan kepada konsensus.

"Justeru RUU ini akan terus menjadi RUU persendirian dan terserah kepada Speaker (Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia) untuk menentukan mengikut kepada Order Paper (aturan urusan mesyuarat)," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini malam tadi.


Katanya kerajaan menyerahkan kepada Pandikar Amin untuk menentukan kedudukan RUU itu, sama ada akan dibentangkan atau tidak, berdasarkan kepada peraturan dewan.

"Macam mana pun kita tidak akan bentangkan dan kita tidak akan menentukan dasar kita dalam soal ini kerana RUU ini adalah rang undang-undang persendirian," katanya.

Ditanya sama ada keputusan itu bermakna BN tidak akan menyokong RUU itu, Najib berkata ia bergantung kepada keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

RUU 355 pertama kali dibentangkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat pada Mei 2016 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah.

Anggota Parlimen Marang itu pada sesi terakhir Parlimen November lalu meminda usul itu dengan menaikkan hukuman penjara kepada 30 tahun, denda tidak melebihi RM100,000 dan maksimum 100 sebatan berbanding maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

-- BERNAMA

Ahad, November 20, 2016

PERTANDINGAN EMPAT PENJURU UNTUNGKAN BN



Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini mengumumkan akan meletakkan 50 calon bagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali yang akan turut bertanding menamakan kumpulan itu sebagai “Calon Barisan Bebas PERKASA”.

Jelasnya, mereka tidak akan menggunakan platform parti politik sebaliknya hanya bergerak sebagai NGO kerana mahu bertindak di luar radar politik tempatan.

“Kemungkinan PERKASA akan bariskan sekumpulan calon bebas yang dinamakan sebagai calon bebas PERKASA yang akan bertanding dalam PRU14.

“Tumpuan kawasan kita adalah majoriti Melayu yang akan ditandingi oleh BN, PAS dan Pakatan Harapan. Kita akan masuk kawasan itu. Kita percaya kawasan Melayu yang menang tidak akan jejaskan orang Melayu,” katanya.

Ibrahim berkata demikian kepada para pemberita semasa sidang media Persidangan Agung Tahunan Ke-7 PERKASA 2016 di Stadium Mini Titiwangsa, hari ini.

Ibrahim yang juga bekas ahli parlimen Pasir Mas sebelum ini mengumumkan akan bertanding pada PRU14.

Sambil mengibaratkan dirinya seperti ‘janda seksi’ berikutan beberapa parti politik sudah ‘melamarnya’ untuk bertanding melalui tiket parti masing-masing, tambahnya, tumpuan beliau sekarang adalah kepada PERKASA.


Ujar Ibrahim lagi, kini adalah masanya untuk memberikan pelbagai calon alternatif kepada rakyat untuk mengundi.

Katanya, sekiranya calon dari PERKASA memenangi PRU14, mereka akan membahaskan isu mengenai rakyat di Dewan Rakyat tanpa dibayangi parti politik.

“Calon bebas itu baik untuk jadi ahli Parlimen dan tidak terikat mana-mana parti.

“Pasal sistem di Malaysia ini, dia bergantung kepada parti menang. Jika jadi MP tak kira parti Umno, DAP, PAS kamu tak bebas.

“Ia bagus, ahli parlimen boleh bercakap dengan bebas. Kerana bila jadi MP tak kira Umno, DAP, PAS kamu tak free cakap semua benda,” katanya.

Katanya, calon-calon tersebut telah pun dikenal pasti dan di antara mereka sangat berkelayakan menjadi pemimpin rakyat.

Jelasnya, idea bagi bertanding itu dibuat selepas pihaknya didesak untuk menjadi parti politik.

“40 peratus minta kita jadi parti politik. Tapi kita tolak, sebab kita nak teruskan jadi NGO. Kita lihat parti politik hari ini, mereka berpakat dengan pelbagai kumpulan yang tidak kena dengan selera kita,” katanya.

Sementara itu Ibrahim ketika ditanya adakah menyalahi syarat Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk bertanding memandangkan PERKASA adalah sebuah NGO berkata:

“Mana langgar (syarat). Kita bertanding Bebas dan bukannya sebagai PERKASA kerana PERKASA adalah NGO.

“Jadi barisan calon kita dari NGO PERKASA. Prinsipnya calon bebas tapi guna simbol yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hanya pilih satu simbol,” katanya.

Ulasan saya, jika berlaku pertandingan empat penjuru antara BN, Pakatan Harapan, PAS dan Bebas yang didukung oleh Perkasa  maka
perpecahan pembangkang akan menguntungkan BN. Maka BN harus berterima kasih kepada keputusan Perkasa ini.