Isnin, September 25, 2017
BN PERLU BERSEDIA HADAPI PERTANDINGAN DUA PENJURU
BERA 22 Sept. – Barisan Nasional (BN) perlu bekerja ke arah berdepan pertandingan satu lawan satu bagi menghadapi pembangkang terutama Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendekatan itu akan menguatkan lagi BN untuk bersiap sedia menghadapi apa jua situasi sekalipun pada PRU-14.
“Fokus yang perlu diberikan keutamaan oleh BN adalah bekerja ke arah berdepan pertandingan satu lawan satu.
“Jika berdepan pertandingan tiga penjuru, itu merupakan bonus kepada BN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat dan kenduri kampung di Masjid Kampung Jelam, Durian Tawar di sini hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, soal dosa dan pahala hanya ditentukan oleh Allah SWT dan bukannya manusia biasa termasuk Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Kita tidak hairan apabila Dr. Mahathir mendakwa undi Pas sama dengan mengundi BN dan ahli serta pemimpin Pas akan menanggung dosa yang dilakukan oleh BN. Bukan kita menentukan dosa dan pahala.
“Dari segi sejarah pun, Dr. Mahathir beberapa kali mempersendakan Nabi Muhammad SAW seperti isu janggut nabi,” jelasnya.
Beliau dalam pada itu mempersoalkan adakah menyokong Pakatan Harapan diketuai DAP mendapat pahala.
“Ini kerana, umum mengetahui DAP merupakan parti anti Islam dan kenyataan pemimpinnya juga banyak yang menentang Islam,” katanya.
Beliau berkata, ini bermakna, parti Melayu dalam gabungan Pakatan Harapan bersekongkol dengan parti yang mahu menghancurkan Islam.
“Saya tidak mahu menghukum tetapi rakyat boleh fikir sendiri,” ujarnya.
Menurutnya, itulah sebenarnya Dr. Mahathir yang kini sedang digunakan oleh Pakatan Harapan untuk menyerang UMNO.