Ahad, Januari 31, 2016

RAJINIKANT PELAKON ASIA KEDUA TERMAHAL SELEPAS JACKIE CHAN



Sempena Hari Thaipusam minggu lepas, Astro 131 menayangkan filem Tamil Lingaa lakonan Rajinikant, Supertar filem Tamil yang mendapat bayaran kedua termahal di Asia selepas Jackie Chan pada tahun 2007 dengan bayaran sebanyak RM24 juta.

Lingaa diterbitkan pada tahun 2014 arahan K.S. Ravikumar. Ia dibintangi Rajinikant, Anushka Shetty, Sonakshi Sinha, Santhanam, Jagapati Babu dan Karunakaran. Filem itu dishooting di Mysore pada Mei 2014 dan ditayangkan pada 12 Disember 2014 sempena harijadi Rajinikant. Ia dialihbahasa ke dalam bahasa Telegu dan Hindi dengan tajuk yang sama, Lingaa.

Cerita Lingaa amat menarik kerana ia mengisahkan pemeriksa ampangan (Ponvannan) di kampung Solaiyur dibunuh oleh ahli parlimen (Jagapathi Babu) kerana enggan menulis laporan kononnya empangan yang dibina 75 tahun lalu sudah tidak boleh digunakan lagi. Ahli parlimen tersebut mahu empangan itu dirobohkan untuk membina empangan yang baru, yang mana beliau akan mendapat komisen yang besar.

Ponvannan yang dibunuh sempat membuang pen drive laporan ampangan itu ke dalam kawasan kuil yang tidak pernah dibuka di sebelah ampangan tersebut. Ponvannan sebelum meninggal dunia sempat berpesan kepada ketua kampung (K Viswanath) supaya kuil itu dibuka semula.

K Viswanath berpendapat kuil itu mesti dibuka oleh keturunan Raja Lingeswaran yang membina empangan tersebut. Maka cucu ketua kampung itu, Anushka Shetty, seorang wartawan tv mencari keturunan Raja Lingeswaran di bandar iaitu Lingaa (Rajinikant).

Rajinikant memegang dua peranan sebagai datuk dan cucu. Lingaa memanglah cucu Raja Lingeswaran tetapi dia adalah seorang pencuri kerana keluarganya merempat selepas datuknya yang kaya menjual semua hartanya.Rajinikant berjaya dibawa ke Kampung Solaiyur oleh Anushka Shetty selepas melaporkan kegiatan curi Rajinikant kepada polis. Bimbang ditangkap polis, maka Rajinikant bersama dua kawannya bersetuju ikut Anuskha Shetty ke kampungnya.

Rajinikant dan kawan kawannya bercadang mencuri batu linggam yang terdapat dalam kuil itu tetapi ketika mereka melompat masuk ke dalam kuil usang itu, pengawal keselamatan ampangan nampak dan memberitahu orang kampung. Bila orang kampung membuka kuil tersebut, mereka nampak Rajinikant dan dua kawannya sedang sembahyang danmelakukan pooja kepada batu Lingam itu.

Ketua kampung gembira melihat cucu Raja Lingeswaran itu dan di sini beliau menceritakan bagaimana datuk Lingaa mendirikan ampangan tersebut untuk kegunaan orang orang kampung di zaman British. Raja Lingeswaran merupakan raja negeri Kodiyur tetapi pergi ke England belajar dalam bidang kejuruteraan. tetapi oleh kerana mahu belajar selok belok pentadbiran, Raja Lingeswaran menyertai Indian Civil Service (ICS) sebagai pegawai daerah Solaiyur.

Penduduk kampung menghadapi masalah air. Maka beliau sebagai pegawai daerah mencadangkan pembinaan empangan tetapi ditolak oleh pegawai British. Beliau letak jawatan dan membina empangan sendiri dengan menjual harta bendanya. Gabenor British memberi kebenaran kepadanya membina empangan sempena hari jadi Raja Lingeswaran yang mengundang Gabenor ke istananya. Tujuan Gabenor memberi kebenaran itu kerana dia tahu mana ada orang India mampu membina empangan sendiri tanpa pertolongan kerajaan British.

Raja Lingeswaran difitnah oleh pegawai British kononnya beliau pengintip kerajaan British. Maka beliau dihalau oleh orang kampung dan beliau telah menjual semua harta bendanya dan hidup dalam kemiskinan bersama isterinya Sonaskshi Sinha. Menyedari kisah sebenar, orang kampung memujuk Raja Lingesawaran balik ke Solaiyur tetapi beliau dengan tegas menolaknya dan sejak itu kuil yang dibina Raja Lingeswaran di tepi empangan itu tidak pernah dibuka kecuali oleh keturunan beliau sendiri.

Lingaa terkejut apabila mengetahui datuknya seorang dermawan dan dia mahu mencari pembunuh pemeriksa empangan tersebut dengan mencari pen drive yang dicampak ke dalam kawasan kuil usang itu. Lingaa temui pen drive itu yang membuktikan empangan yang dibina sejak 75 tahun lalu amat teguh. Lingaa pun memburu ahli parlimen yang mahu mengebom empangan tersebut kerana beliau berhasrat membina empangan baru yang memberinya komisen berjuta juta.

Lingaa balik semula ke bandar selepas berjaya membunuh ahli parlimen itu dengan Anushka Shetty dan Lingaa berikrar akan kembali semula ke kampung itu setelah membuat jasa seperti datuknya.

Filem ini menarik kerana ia gabungan zaman British dan moden di mana unsur patriotik semangat rakhyat India membina empangan itu turut diterapkan tanpa mengenal kasta, agama dan keturunan. Stuntman Hollywood Lee Whittaker diambil untuk berlakon adegan adegan stunt dalam filem ini. Ia melibatkan pergaduhan di atas belon besar.

Aktres British Lauren J. Irwin turut berlakon sebagai isteri pemungut hasil tanah dan pelakon Amerika, William Orendorff berlakon sebagai Gabenor British.

Filem Lingaa mencapai box office di mana pada minggu pertama ia mengutip RM30 juta di India dan RM52 juta di seluruh dunia.


Rajinikant, 66 tahun disambut besar besaran ketika shooting filem terbarunya di Melaka tahun lepas.Sebagai nama besar dalam industri filem Tamil, beliau memang dikagumi oleh pelakon Hindustan, Shah Rukh Khan yang memberi penghormatan kepada Rajinikant dalam filem Chennai Express (2013).