Isnin, Februari 22, 2016
NAJIB TAK MUDAH TUNDUK SERANGAN FITNAH DAN TOHMAHAN
oleh SHAHBUDIN EMBUN
(sudah tersiar dalam Berita Minggu, 21 Februari 2016)
21 Februari 1976 merupakan tarikh bermulanya penglibatan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam bidang politik. Pada usia 23 tahun ketika itu ,beliau telah memenangi kerusi Parlimen Pekan yang kosong, berikutan kematian Tun Abdul Razak pada 14 Januari 1976. Tidak lama selepas itu, sewaktu pentadbiran AllahyarhamTun Hussien Onn, Najib telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos dan merupakan Timbalan Menteri paling muda dilantik dalam sejarah pentadbiran Malaysia iaitu pada usia 25 tahun.
Sejarah terus tercatat apabila Najib dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada usia 29 tahun. Dan sepanjang 40 tahun penglibatan Najib dalam bidang politik, beliau telah menempa pelbagai lagi kejayaan baik di peringkat UMNO mahupun pentadbiran kerajaan . Dan tidak kira dalam apa jua jawatan dan tanggungjawab yang diamanahkan di bahu beliau, Najib telah melaksanakannya dengan cemerlang.
Namun bukan pencapaian peribadi seperti itu yang menjadi kebanggaan Najib. Sebagai pemimpin, beliau lebih mementingkan apakah yang boleh disumbangkan lagi kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
Najib pernah menegaskan bahawa beliau tidak akan mengecewakan ahli UMNO dan rakyat Malaysia dalam menunaikan tanggungjawabnya mentadbir negara. "Semua pemimpin menghadapi cabaran dan apabila dah masuk ke gelanggang, jangan kita keluar di tengah-tengah perlawanan, saya tidak akan berundur, Insya-Allah. Kita akan bergerak maju ke depan," Itulah kata-kata yang terus membakar semangat Najib untuk terus berjuang membawa negara kita maju ke hadapan.
Apa yang pasti Najib akan berjuang bermati-matian demi mempertahankan perjuangan yang diwarisi oleh para pemimpin sebelumnya. "Kalau orang nak hancurkan parti, mestilah serang pemimpinnya. Kalau sudah hilang kepercayaan pada pemimpin, maka mudahlah parti itu tumbang pada bila-bila masa," Itulah yang dirumuskan oleh Najib ketika ada pihak yang cuba menjatuhkan UMNO .
Sepanjang 40 tahun ini juga, Najib telah melalui asam garam dan merasai pelbagai peristiwa pahit manis dan sepak terajang dalam kerjaya politiknya.Keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu serta tuduhan tentang dana politik dari pelbagai pihak merupakan ujian dan dugaan yang terpaksa dilalui oleh Perdana Menteri Malaysia ini.
Semua yang dilalui ini memberikan beliau satu pengajaran dan pengalaman yang tidak ternilai harganya. Benarlah kata orang, pengalaman adalah sebaik-baik guru dan pengalaman seperti inilah yang menjadikan Najib lebih matang dan tenang serta tidak pernah hilang pertimbangan dalam menghadapi pelbagai krisis,dugaan dan cabaran.
Itulah sebabnya juga kita semua tidak terkejut bagaimana Najib boleh mengekalkan ketenangan dan kesabaran walaupun berdepan dengan pelbagai tohmahan dan fitnah dari mereka yang ingin menjatuhkannya.Sifat ketenangan yang dimiliki oleh Najib tidak bermakna beliau kalah, bahkan menggambarkan sifat seorang pemimpin yang hebat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang telah mengenali Najib sejak 30 tahun lalu merupakan orang yang paling layak memberikan komen tentang keperibadian dan kewibawaan Najib sebagai pemimpin.Menurut Zahid Hamidi, Najib memiliki kesabaran yang sangat luar biasa dan keistimewaan inilah yang telah ditakdirkan Allah kepada beliau untuk berada pada kedudukan sekarang.
Menurut Zahid Hamidi lagi, “Beliau sabar, tidak nampak gundah langsung walaupun dicabar dengan pelbagai keadaan”
Di sebalik ketenangan yang dimiliki oleh Najib, tersimpan semangat waja yang perlu ada pada pemimpin yang hebat. Tidak semua pemimpin boleh bertahan dengan apa yang dilalui oleh Najib dan pastinya ramai yang akan mengundurkan diri.
Namun bagi Najib, sikap mudah mengalah tidak pernah ada dalam kamusnya.Bagi Najib yang mempertahankan prinsip berani kerana benar, akan terus berdiri teguh menentang segala tohmahan dan fitnah , yang merupakan agenda pihak yang tidak ingin melihat beliau memimpin negara menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020 nanti.
Inilah masanya untuk rakyat Malaysia berganding bahu memberikan sokongan kepada Najib untuk meneruskan pelbagai program yang akan memberikan kesejahteraan kepada rakyat Malaysia umumnya.Di samping itu, penglibatan rakyat dan sokongan yang tidak berbelah bahagi pastinya akan membantu usaha Najib meningkatkan pertumbuhan ekonomi sebagaimana yang disasarkan oleh beliau dalam pelbagai program transformasi yang diperkenalkan kepada kita semua.
Langgan:
Catatan (Atom)