Rabu, Julai 23, 2014
EMAK DALAM KENANGAN
Semalam tepat 6.15 petang emak,Hajah Zainun binti Haji Abdullah, 73 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya di hadapan dua orang adik, Noridah Saidi dan Dr Noor Laily Shakimah kerana menghidap penyakit buah pinggang, kencing manis dan jantung. Saya berada di Kuala Lumpur ada temujanji dengan kawan untuk berbuka puasa terpaksa bergegas ke Hospital Putrajaya dan tak jadi berbuka puasa dengan kawan saya. Jalan jem dari Kuala Lumpur ke Putrajaya menyebabkan saya sampai di situ hampir jam 8 malam. jenazah emak sudah berada di bilik mayat. Semua adik sudah ada di situ, Mahir, Noridah, Dr Noor Laily, Saifuddin kecuali Noor Hafilah yang terus balik ke rumah emak di Balok, Kuantan. Emak sudah banyak kali masuk hospital. Tetapi kemasukannya kali ini bermula Selasa lalu amat sekejap sahaja. Di hari pertama emak dimasukkan ke Hospital Serdang, emak kata dia nak balik dah. Rupa-rupanya maksud nak balik dah, dia akan meninggalkan keenam-enam anaknya buat selama-lamanya. Adik Dr Noor bekas doktor di hospital Putrajaya yang sedang buat Masters di UM tidak puas hati dengan layanan doktor di Hospital serdang. maka Adik Noor pindahkan emak ke Hospital putrajaya yang lebih efisien. Tiga malam emak berada di Hospital Putrajaya, emak menghembuskan nafas terakhir di situ. terima kasih kepada wakil menteri komunikasi (Datuk Seri Ahmad shabery Cheek), Haji Mustafa Abdul Rahman yang sempat melawat emak di hospital serdang. Malah beliau turut hadir di rumah mayat bersama Amlisani rakan FB dari Puchong. Emak boleh dianggap sebagai ibu mithali kerana semua enam anaknya lulusan universiti. Saya lulusan Universiti Malaya, Noridah ITM Shah Alam (sekelas dengan Sunarti Kibat), Saifudin dari Northern IIinois University, Noor hafilah ITM Shah Alam (akauntan) dan Dr Noor Laily (medic dari USM Kubang kerian).Man KRU yang berada di kubur di Balok tanya kenapa emak dikebumikan di Balok, Kuantan dan bukan di pasir Gajah, Kemaman. Emak dan ayah saya, Haji Saidi bin Haji Abdul Latif telah duduk di Balok sejak tahun 1965 lagi. Jadi mereka dapat tanah lot di Balok di zaman Datuk Pak Ngah Aziz jadi ADUN Beserah. Aruah ayah aktif dalam Umno cawangan Balok dan pernah jadi pegawai khas Datuk jamal nasir ketika Datuk jamal jadi ADUN beserah. Saya dari kecil dibela oleh datuk dan nenek saya,Haji Abdullah Omar dan Hajah Zaharah Haji yusof di pasir Gajah. Pasir Gajah adalah gabungan orang Jambi dan orang Kelantan. Datuk saya dari kecil berhijrah dari Bachok Kelantan ke pasir Gajah dengan ayahnya Che Omar. Di kemaman jodohnya bertemu dengan anak Cikgu Haji Yusof kemasik, Zaharah. tanya orang kemaman semua orang kenal Cikgu Haji yusof yang bukan sahaja seorang guru agama malah seorang pendikar. Anak muridnya ramai di seluruh Terengganu. apabila Cikgu Haji Yusof meninggal dunia pada tahun 1974, ribuan anak muridnya menghantarnya ke kubur sehingga jalan raya di Kemasik jem. itulah moyang saya yang Tok Mulu dalam kenalinya. Begitu juga Kisfi pernah berguru dengan moyang saya. Emak saya, zainun anak sulung datuk saya lahir di pasir Gajah pada 7 ogos 1940 ketika Perang jepun. Emak sekelas dengan Pak Wei Cotek. Pada tahun 1955, datuk saya mendapat jawatan Penghulu. Mukim pertama yang mana beliau bertugas di Kijal. Di sinilah ayah saya, saidi yang berhijrah dari padang pak Amat, pasir putih menemui emak saya, Zainun. Mereka bernikah di Kijal ketika datuk saya bekerja di situ. Sebagai penghulu, datuk saya bekerja di semua mukim, Kijal, hulu jabor, pasir semut, binjai, pasir raja, belara, manir dan gelugor. Apabila datuk pencen pada tahun 1980, datuk menetap semula di Pasir Gajah. Datuk ada 10 orang anak tetapi semua anak lelakinya meninggal dunia sejak kecil. maka saya yang dilahirkan di Jabor diambil oleh datuk saya sebagai anaknya sendiri. Sehimgga sekolah rendah saya tak tahu Saidi dan zainun itu ayah dan emak saya kerana mereka saya panggil Abang Di dan kak nun sementara datuk saya dan nenek dipangggil ayah dan cik. Sebab itu saya dibesarkan oleh datuk dan nenek manakala adik adik saya seramai lima orang duduk dengan ayah dan emak. Pada mulanya ayah saya bekerja sebagai penoreh getah ketika datuk saya menjadi penghulu mukim jabor. Dia belajar kelas malam ambil SRP dan SPM. dengan kelulusan SPM gred tiga dia mohon jadi pembantu luar FELCRA. Pada tahun 1972 sehinggalah pencen pada tahun 1990 ayah saya bekerja dengan FELCRA dari pembantu luar ke jawatan penyelia dan akhirnya Pengurus FELCRA Kuala Embomg di Sekayu, Kuala Berang. Ketika bekerja di Kuala berang ayah saya berulang antara Balok dan kuala berang. Apabila beliau pencen pada tahun 1990, beliau terus menetap di Balok sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 2002. 12 tahun kemudian emak saya pula mengikut jejak langkah ayah menjadikan kami enam beradik yatim piatu menjelang enam hari raya Aidilfitri. Sudah tentu hari raya tahun ini kami sambut dengan rasa sedih kerana selama ini rumah emak di balok ini menjadi tempat kami berkumpul pada hari raya. Biasanya saya sambut hari raya pertama di rumah mertua di pasir gajah manakala di sebelah malam kami pergi ke Balok dan biasanya pada hari raya kedua kami berkumpul di kubur menziarahi kubur nenek dan ayah di situ. Sudah jadi tradisi tahunan Umno cawangan Balok mengadakan majlis menziarahi kubur beramai-ramai di pagi hari raya kedua. malah aruah emak sudah merancang kami balik raya tahun ini kerana pada hari raya kedua emak mahu mengadakan tahlil untuk aruah ayah. Rupa-rupanya hari raya kedua tahun ini kami menziarahi kubur nenek Hajah Zaharah, kubur ayah dan kubur emak. Alfatihah untuk aruah emak hajah Zainun.
Langgan:
Catatan (Atom)