Selasa, November 28, 2017

MOHD JIDIN YAKIN BN MENANG LIMA KERUSI DI BAHAGIAN SETIU

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie yakin BN dapat mengekalkan lima kerusi dalam bahagian tersebut pada PRU akan datang.

Menurut beliau, kemunculan dua parti baru Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PBPM) dan Parti Amanah Negara (PAN) tidak dapat menggugat kekuatan BN di parlimen tersebut.

"Kedua dua parti itu tidak mampu mencabar BN kerana pencabar utama BN dalam PRU akan datang tetap parti PAS," katanya kepada MH Online ketika ditemui di Restoran Al Raziq di sini petang tadi.

Pada PRU 2013, BN mengekalkan empat kerusi DUN dan satu kerusi parlimen di Setiu selain dari parlimen Besut. Pada PRU tersebut BN menang 17 kerusi manakala PAS menang 15 kerusi di seluruh Terengganu.

Di DUN Jabi Mohd Iskandar Jaafar menang dengan majoriti 782 undi. Beliau mendapat 7,735 undi manakala calon PAS, Azman Ibrahim mendapat 6,953 undi.

 Di DUN Permaisuri, Mohd Jidin Shafee yang kembali bertanding di DUN tersebut menang dengan majoriti 2,928 undi. Beliau yang memungut 9.188 undi mengalahkan dua calon Wan Mokhtar Wan Ibrahim (6,260 undi-PKR) dan Mohd Yusof Majid (1,920 undi- Calon Bebas).

Di DUN Langkap, Sabri Mohd Noor mewakili BN menang dengan majoriti 3,022 undi mengalahkan calon PAS, Hassan Karim yang mendapat 5,403 undi. Sabri yang bertanding di situ buat kali pertama mendapat 8.425 undi.

Di DUN Batu Rakit, Calon BN Bazlan Abdul Rahman menang dengan majoriti 1,635 undi. Beliau memperolehi 7,008 undi manakala calon PAS, Che Ghani Che Ambak mendapat 5,373 undi.

Manakala di kerusi parlimen Setiu, calon baharu BN, Che Mohamad Zulkifly Jusoh menang dengan majoriti 7,943 undi. Beliau memungut 33,198 undi mengalahkan calon PAS, Omar Sidek yang mendapat 25,255 undi.

Mohd Jidin yang juga Exco Kerajaan Negeri yakin pengundi Setiu akan mengekalkan BN bagi empat kerusi DUN dan kerusi parlimen kerana mereka tidak terpengaruh dengan isu yang dibawa oleh pihak pembangkang seperti 1MDB dan isu kos sara hidup.