Selasa, Disember 30, 2008

SUDAH TIGA BULAN USIA BLOG SAYA


Hari ini genap tiga bulan blog saya. Hari ini ada seramai 18,057 orang pengunjung. Ini bermakna secara purata 6,000 pengunjung setiap bulan. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang sudi membaca blog saya. Ada yang menghantar ulasan dan saya siar semua walaupun sudah ditapis ulasan sekarang.


Atas dasar demokrasi, saya siar semua walaupun ada ulasan yang menghentam saya. Ada seorang kawan marahi saya kerana tulis satu rencana menghentam bossnya di YPK, Toh Puan Zaimah yang akan naik pangkat sebagai Timbalan Pengarah YPK mulai 1 Januari 2009.Kawan saya kata tak baik berdendam dengan Zaimah. Sebenarnya bukan saya berdendam dengan dia. Saya tulis kisah benar peranan saya supaya dia tidak dipecat pada tahun 2000. Jika tidak dah lama dia dipecat dari YPK. Sepatutnya dia ucap terima kasih kepada saya kerana menyuruh Pengarah YPK tukarnya ke IBU.


Saya tidak ada dendam kepadanya. Sebaliknya saya ucapkan tahniah kerana memang dia layak jadi Timbalan Pengarah YPK. Cuma saya ingin berpesan bila naik pangkat, gunakanlah kuasa itu secara adil dan jangan pentingkan kroni. Khabarnya adik ipar pun bekerja di YPK juga. Jadi orang bersungut, orang lain minta kerja dengan YPK tak dapat, bila ada hubungan saudara mara dalam YPK mudah pula dapat. Oleh itu berlakulah adil kerana kuasa ini dipinjam oleh Allah semata-mata.


Siapa buat cadangan supaya Pengarah YPK (Arwah Datuk Azman Muda) calonkan pegawai YPK untuk dapat pingat PJK setiap tahun dalam miting pegawai-pegawai YPK pada tahun 1998 kalau bukan saya? Syukurlah kerana ramai pegawai YPK sudah dapat PJK tetapi biarlah yang dapat ikut senioriti Jangan pilih kroni saja.


Saya pernah cadangkan kepada seorang kawan yang mengetuai sebuah persatuan untuk mencalonkan ahli-ahlinya untuk dapat PJK setiap tahun tetapi kawan saya itu tak minat pasal yang penting dia sudah dapat AMT yang dicalonkan oleh Menteri Besar ketika itu, Idris Jusoh. Katanya, buat apa orang lain dapat pingat? Mentaliti seperti ini yang patut dibuang oleh seorang presiden persatuan.
Juga saya ingin ucapkan tahniah kepada anak saya, Muhammad Zahir Amir yang dapat 9A dalam PMR yang diambilnya di Sekolah Menengah Agama Tok Jiring, Kuala Terengganu. Zahir adalah anak saya dengan bekas isteri kedua saya, arwah Noriah dan Zahir adalah adik satu emak kepada DJ Radio Terengganu, Farah Fauzi.

RTC DAPAT LESEN UNTUK BERTANDING


Akhirnya Rahim Thamby Chik (RTC) dapat cukup pencalonan untuk bertanding Naib Presiden UMNO pada 24 Mac ini selepas UMNO Bahagian Seremban mencalonkannya pada hari Ahad lalu. Beliau merupakan calon kesembilan dan terakhir yang dapat lesen untuk bertanding.


Ini bermakna sembilan orang akan bertanding, Menteri Pelajaran, Hishamuddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Shafie Afdal; Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin; Menteri Luar, Dr. Rais Yatim; Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar;bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr.Jamaluddin Jarjis (JJ); bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Isa Samad dan Pengerusi RISDA, RTC.


Yang menariknya dua orang bekas ketua pemuda bertanding iaitu RTC dan Dr. Zahid bersama penyandang ketua pemuda, Hishamuddin. Siapakah yang jadi pilihan para perwakilan? Adakah calon baru atau calon lama?


Lima orang adalah muka baru iaitu Hishamuddin, Dr. Zahid, Shafie dan Khaled dan Dr. Jamaluddin.Manakala yang pernah menang Naib Presiden ialah Isa Samad dan Dr. Rais pernah kalah lima undi kepada Tengku Rithaudeen pada tahun 1981. Itulah prestasi Dr. Rais yang terbaik dalam pertandingan Naib Presiden.


Siapa pula pilihan Najib yang bakal menjadi Presiden UMNO? Adakah Hishamuddin, Dr. Zahid, Shafie? Bagaimana pula Dr. JJ?Dapatkah Shafie mencatat sebagai orang Sabah pertama terpilih sebagai Naib Presiden UMNO? Terpulanglah kepada para perwakilan untuk membuat keputusan. Adakah perwakilan Johor akan undi ketiga-tiga calon dari Johor, Hishamuddin, Syed Hamid dan Khaled? Ini bermakna undi Johor akan berpecah kepada tiga orang calonnya. Begitu juga undi Negeri Sembilan akan berpecah dua di antara Dr. Rais dan Isa.


Jika undi Perak solid kepada Dr. Zahid, maknanya Dr. Zahid akan dapat undi lebih tinggi dari Hishamuddin. Siapa yang dapat tempat ketiga belum pasti sama ada Isa atau RTC atau Khaled atau Shafie. Jadi semua calon kena bekerja kuat untuk menang. Jangan sampai tertangkap main politik wang sudahlah.

SAMBUT MENANTU DI BATU GAJAH



Maaf sudah tiga hari saya tak update blog ini kerana kebetulan Ahad lalu (28 Disember) saya berada di Batu Gajah, Perak menghantar anak saya, Siti Zuhairatun ke rumah pengantin lelaki, Hairul Faizal Haji Ahmad di Kampung Batu 3, Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah.
Meriah juga majlis kenduri yang diadakan oleh besan saya, Haji Ahmad, seorang bekas polis. Dia pesan kepada saya suruh pengantin datang awal ke rumahnya jam 12.30 tengah hari kerana di sebelah Perak biasanya sebelah petang orang sudah kurang datang kenduri. Kami sampai jam 1.30 tengah hari kerana mak andam datang lambat menyolek pengantin lelaki dan perempuan.
Ketika kami sampai orang masih ramai. Bila kami pulang pada jam 3.30 petang, orang sudah kurang. Di Terengganu lain, sampai jam 6 petang masih ramai yang datang kenduri tetapi cara orang Perak lebih suka datang awal kenduri. Seperti biasa majlis diserikan dengan karaoke. Kami rombongan lelaki tidak lepaskan peluang berkaraoke dengan adik ipar, Fauzi, biras saya, Kak Ma dan anak saudara, Nana turut menyanyi. Saya turut menyumbangkan tiga buah lagu Biar Bulan Bicara, Lamunan Terhenti dan Usang.
Pendek kata majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki amat meriah walau pun kami datang dengan empat buah kereta sahaja. Mak saudara saya, Hajah Zawiah dan suami, Syed Sarifuzen yang tidak dapat pergi ke Kemaman dua minggu lepas turut datang dari Kuala Ketil, Kedah.
Adat orang Terengganu bila sambut menantu tetamu wanita akan bersalam dengan menantu perempuan dan bila bersalam akan hulur wang kepada menantu perempuan dan wang itu jadi milik pengantin perempuan. Tetapi saya tak tahu adat sambut menantu perempuan di Perak macam mana. Ketika adik perempuan saya nikah dengan orang Kelantan bila pergi ke rumah mertuanya di Kota Bharu, Kelantan terkejut bila menerima wang yang banyak dalam majlis sambut menantu. Adat orang Kelantan sama dengan orang Terengganu.
Maka selesailah majlis perkahwinan anak saya bermula dengan akad nikah di Kuala Lumpur pada 15 November, kenduri di Kemaman pada 13 Disember dan sambut menantu di Batu Gajah pada 28 Disember. Terima kasih kepada semua yang sudi hadir terutamanya kepada ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali; ahli parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim; calon EXCO pemuda UMNO, Datuk Hazali Tan Sri Abu Hassan; bekas Ketua UMNO Bahagian tenom, Datuk Rizalman Abdullah dan penulis buku politik terkenal, Syed Husein Al Atass. Terima kasih daun keladi.