Selasa, Disember 30, 2008

SAMBUT MENANTU DI BATU GAJAH



Maaf sudah tiga hari saya tak update blog ini kerana kebetulan Ahad lalu (28 Disember) saya berada di Batu Gajah, Perak menghantar anak saya, Siti Zuhairatun ke rumah pengantin lelaki, Hairul Faizal Haji Ahmad di Kampung Batu 3, Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah.
Meriah juga majlis kenduri yang diadakan oleh besan saya, Haji Ahmad, seorang bekas polis. Dia pesan kepada saya suruh pengantin datang awal ke rumahnya jam 12.30 tengah hari kerana di sebelah Perak biasanya sebelah petang orang sudah kurang datang kenduri. Kami sampai jam 1.30 tengah hari kerana mak andam datang lambat menyolek pengantin lelaki dan perempuan.
Ketika kami sampai orang masih ramai. Bila kami pulang pada jam 3.30 petang, orang sudah kurang. Di Terengganu lain, sampai jam 6 petang masih ramai yang datang kenduri tetapi cara orang Perak lebih suka datang awal kenduri. Seperti biasa majlis diserikan dengan karaoke. Kami rombongan lelaki tidak lepaskan peluang berkaraoke dengan adik ipar, Fauzi, biras saya, Kak Ma dan anak saudara, Nana turut menyanyi. Saya turut menyumbangkan tiga buah lagu Biar Bulan Bicara, Lamunan Terhenti dan Usang.
Pendek kata majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki amat meriah walau pun kami datang dengan empat buah kereta sahaja. Mak saudara saya, Hajah Zawiah dan suami, Syed Sarifuzen yang tidak dapat pergi ke Kemaman dua minggu lepas turut datang dari Kuala Ketil, Kedah.
Adat orang Terengganu bila sambut menantu tetamu wanita akan bersalam dengan menantu perempuan dan bila bersalam akan hulur wang kepada menantu perempuan dan wang itu jadi milik pengantin perempuan. Tetapi saya tak tahu adat sambut menantu perempuan di Perak macam mana. Ketika adik perempuan saya nikah dengan orang Kelantan bila pergi ke rumah mertuanya di Kota Bharu, Kelantan terkejut bila menerima wang yang banyak dalam majlis sambut menantu. Adat orang Kelantan sama dengan orang Terengganu.
Maka selesailah majlis perkahwinan anak saya bermula dengan akad nikah di Kuala Lumpur pada 15 November, kenduri di Kemaman pada 13 Disember dan sambut menantu di Batu Gajah pada 28 Disember. Terima kasih kepada semua yang sudi hadir terutamanya kepada ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali; ahli parlimen Kuala Nerus, Datuk Nasir Tan Sri Ibrahim; calon EXCO pemuda UMNO, Datuk Hazali Tan Sri Abu Hassan; bekas Ketua UMNO Bahagian tenom, Datuk Rizalman Abdullah dan penulis buku politik terkenal, Syed Husein Al Atass. Terima kasih daun keladi.