Selasa, Disember 30, 2008

RTC DAPAT LESEN UNTUK BERTANDING


Akhirnya Rahim Thamby Chik (RTC) dapat cukup pencalonan untuk bertanding Naib Presiden UMNO pada 24 Mac ini selepas UMNO Bahagian Seremban mencalonkannya pada hari Ahad lalu. Beliau merupakan calon kesembilan dan terakhir yang dapat lesen untuk bertanding.


Ini bermakna sembilan orang akan bertanding, Menteri Pelajaran, Hishamuddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Shafie Afdal; Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin; Menteri Luar, Dr. Rais Yatim; Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar;bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr.Jamaluddin Jarjis (JJ); bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Isa Samad dan Pengerusi RISDA, RTC.


Yang menariknya dua orang bekas ketua pemuda bertanding iaitu RTC dan Dr. Zahid bersama penyandang ketua pemuda, Hishamuddin. Siapakah yang jadi pilihan para perwakilan? Adakah calon baru atau calon lama?


Lima orang adalah muka baru iaitu Hishamuddin, Dr. Zahid, Shafie dan Khaled dan Dr. Jamaluddin.Manakala yang pernah menang Naib Presiden ialah Isa Samad dan Dr. Rais pernah kalah lima undi kepada Tengku Rithaudeen pada tahun 1981. Itulah prestasi Dr. Rais yang terbaik dalam pertandingan Naib Presiden.


Siapa pula pilihan Najib yang bakal menjadi Presiden UMNO? Adakah Hishamuddin, Dr. Zahid, Shafie? Bagaimana pula Dr. JJ?Dapatkah Shafie mencatat sebagai orang Sabah pertama terpilih sebagai Naib Presiden UMNO? Terpulanglah kepada para perwakilan untuk membuat keputusan. Adakah perwakilan Johor akan undi ketiga-tiga calon dari Johor, Hishamuddin, Syed Hamid dan Khaled? Ini bermakna undi Johor akan berpecah kepada tiga orang calonnya. Begitu juga undi Negeri Sembilan akan berpecah dua di antara Dr. Rais dan Isa.


Jika undi Perak solid kepada Dr. Zahid, maknanya Dr. Zahid akan dapat undi lebih tinggi dari Hishamuddin. Siapa yang dapat tempat ketiga belum pasti sama ada Isa atau RTC atau Khaled atau Shafie. Jadi semua calon kena bekerja kuat untuk menang. Jangan sampai tertangkap main politik wang sudahlah.