Memaparkan catatan dengan label rtc. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rtc. Papar semua catatan

Selasa, Disember 30, 2008

RTC DAPAT LESEN UNTUK BERTANDING


Akhirnya Rahim Thamby Chik (RTC) dapat cukup pencalonan untuk bertanding Naib Presiden UMNO pada 24 Mac ini selepas UMNO Bahagian Seremban mencalonkannya pada hari Ahad lalu. Beliau merupakan calon kesembilan dan terakhir yang dapat lesen untuk bertanding.


Ini bermakna sembilan orang akan bertanding, Menteri Pelajaran, Hishamuddin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Shafie Afdal; Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin; Menteri Luar, Dr. Rais Yatim; Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar;bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr.Jamaluddin Jarjis (JJ); bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Isa Samad dan Pengerusi RISDA, RTC.


Yang menariknya dua orang bekas ketua pemuda bertanding iaitu RTC dan Dr. Zahid bersama penyandang ketua pemuda, Hishamuddin. Siapakah yang jadi pilihan para perwakilan? Adakah calon baru atau calon lama?


Lima orang adalah muka baru iaitu Hishamuddin, Dr. Zahid, Shafie dan Khaled dan Dr. Jamaluddin.Manakala yang pernah menang Naib Presiden ialah Isa Samad dan Dr. Rais pernah kalah lima undi kepada Tengku Rithaudeen pada tahun 1981. Itulah prestasi Dr. Rais yang terbaik dalam pertandingan Naib Presiden.


Siapa pula pilihan Najib yang bakal menjadi Presiden UMNO? Adakah Hishamuddin, Dr. Zahid, Shafie? Bagaimana pula Dr. JJ?Dapatkah Shafie mencatat sebagai orang Sabah pertama terpilih sebagai Naib Presiden UMNO? Terpulanglah kepada para perwakilan untuk membuat keputusan. Adakah perwakilan Johor akan undi ketiga-tiga calon dari Johor, Hishamuddin, Syed Hamid dan Khaled? Ini bermakna undi Johor akan berpecah kepada tiga orang calonnya. Begitu juga undi Negeri Sembilan akan berpecah dua di antara Dr. Rais dan Isa.


Jika undi Perak solid kepada Dr. Zahid, maknanya Dr. Zahid akan dapat undi lebih tinggi dari Hishamuddin. Siapa yang dapat tempat ketiga belum pasti sama ada Isa atau RTC atau Khaled atau Shafie. Jadi semua calon kena bekerja kuat untuk menang. Jangan sampai tertangkap main politik wang sudahlah.

Isnin, Disember 22, 2008

RTC PERLU SATU LAGI PENCALONAN


Persidangan perwakilan UMNO Bahagian Tenom semalam mencalonkan Hishamuddin Tun Hussein, Syed Hamid Albar dan Rahim Tamby Chik (RTC) untuk jawatan Naib Presiden UMNO.


Ini bermakna bekas Ketua Menteri Melaka ini memerlukan satu lagi pencalonan untuk dibolehkan bertanding jawatan tersebut. Seperti kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Isa Samad, RTC tidak ada masalah untuk mendapatkan lesen untuk bertanding.


Sehingga kini dua bahagian belum bersidang lagi iaitu Larut dan Seremban. Ini bermakna RTC perlu dapat dua pencalonan kerana jika mana-mana pencalonan ditolak, beliau ada kuota yang cukup untuk bertanding. Selamat maju jaya RTC.

Ahad, Disember 14, 2008

RAHIM MAKIN HAMPIR


Pengerusi RISDA, Rahim Tamby Chik atau RTC semakin hampir untuk muncul sebagai calon Naib Presiden UMNO. Semalam mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah mencalonkan beliau selain Menteri Pelajaran, Hishamuddin dan Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar.


Ini bermakna RTC memerlukan dua pencalonan lagi untuk dapat lesen untuk bertanding. Ada tiga bahagian lagi belum bersidang, Larut, Tenom dan Seremban. Berdasarkan senario ini, peluang untuk RTC dapat lesen untuk bertanding amat cerah.


RTC selaku bekas Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pemuda UMNO (1993-1994) tidak ketinggalan untuk bersaing dengan lapan calon lain iaitu Hishamuddin, Syed Hamid Albar, Khaled Nordin, Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Isa Samad, Dr. Rais Yatim, Dr. Jamaluddin Jarjis dan Shafie Afdal.


Nasib RTC tidak sebaik bekas pegawai khasnya, Ali Rustam yang sudah menjadi naib presiden sejak tahun 2004 lalu. Ini bermakna anak muridnya sudah mendahuluinya jadi naib presiden sedangkan RTC belum tentu menang pada bulan Mac depan.


Akan tetapi untuk mendapatkan dua pencalonan lagi, saya tidak nampak RTC tidak boleh dapat kerana beliau akan kejar juga untuk pastikan pencalonan itu walaupun harga yang terpaksa dibayar agak tinggi.


Ahad, Disember 07, 2008

RTC PERLUKAN TIGA PENCALONAN LAGI


Mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pengkalan Chepa semalam telah mencalonkan bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Tamby Chik (RTC) untuk jawatan Naib Presiden UMNO bersama Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin dan Menter Pelajaran, Hishamuddin Hussein.


Nampaknya RTC makin hampir mendapat kuota untuk bertanding Naib Presiden UMNO. Beliau perlukan tiga pencalonan lagi. Sehingga kini empat bahagian belum bermesyuarat iaitu Tenom, Larut, Tanah Merah dan Seremban.


Saya rasa RTC akan mendapat lesen untuk bertanding. Harganya untuk dapatkan tiga pencalonan lagi mungkin semakin mahal daripada empat bahagian yang belum bermesyuarat. Beliau kena dapatkah empat pencalonan penuh kot-kot ada lagi bahagian yang ditolak pencalonannya kerana digantung di saat-saat akhir.


Oleh itu RTC yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO pada tahun 1993 ini perlu bekerja kuat untuk dapatkan empat pencalonan ini. Jika beliau lepas, ini bermakna sembilan orang yang layak bertanding. Enam dari selatan, Hishamuddin, Syed Hamid Albar, Khaled, Dr. Rais Yatim, Isa Samad dan RTC.


Manakala seorang dari Pantai Timur, Dr. Jamaluddin Jarjis, seorang dari Utara iaitu Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan seorang dari Sabah, Shafie Afdak. Selamat maju jaya kepada RTC. Semoga beliau dapat empat lagi pencalonan.