Pengerusi RISDA, Rahim Tamby Chik atau RTC semakin hampir untuk muncul sebagai calon Naib Presiden UMNO. Semalam mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah mencalonkan beliau selain Menteri Pelajaran, Hishamuddin dan Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar.
Ini bermakna RTC memerlukan dua pencalonan lagi untuk dapat lesen untuk bertanding. Ada tiga bahagian lagi belum bersidang, Larut, Tenom dan Seremban. Berdasarkan senario ini, peluang untuk RTC dapat lesen untuk bertanding amat cerah.
RTC selaku bekas Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pemuda UMNO (1993-1994) tidak ketinggalan untuk bersaing dengan lapan calon lain iaitu Hishamuddin, Syed Hamid Albar, Khaled Nordin, Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Isa Samad, Dr. Rais Yatim, Dr. Jamaluddin Jarjis dan Shafie Afdal.
Nasib RTC tidak sebaik bekas pegawai khasnya, Ali Rustam yang sudah menjadi naib presiden sejak tahun 2004 lalu. Ini bermakna anak muridnya sudah mendahuluinya jadi naib presiden sedangkan RTC belum tentu menang pada bulan Mac depan.
Akan tetapi untuk mendapatkan dua pencalonan lagi, saya tidak nampak RTC tidak boleh dapat kerana beliau akan kejar juga untuk pastikan pencalonan itu walaupun harga yang terpaksa dibayar agak tinggi.