Isnin, September 27, 2010

HISHAMUDDIN TUDUH NAZRI ADA AGENDA


Tohmahan kononnya Tun Dr. Mahathir Mohamad ingin kembali menjadi Perdana Menteri terbukti tidak benar sama sekali dengan penafian bekas Perdana Menteri itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penafian tersebut jelas menyangkal fitnah yang dilemparkan pihak tertentu sebelum ini.

"Apabila tuan punya badan sudah sahkan, jelas apa yang digembar-gemburkan sebelum ini tidak berada pada landasannya, tidak berpijak pada bumi yang nyata.

"Mungkin perkara ini dibuat kerana pihak tertentu mempunyai tujuan tertentu, jangan pula kita mengikut rentak mereka ini, lebih-lebih lagi jika ia tidak benar. Saya percaya rakyat yang matang tahu membezakan antara yang benar dan tidak," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Kepong di Taman Metropolitan, Kepong petang semalam.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kepong, Senator Datuk Rezuan Abdul Hamid.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri diminta mengulas mengenai penegasan Dr. Mahathir bahawa beliau tidak mempunyai keinginan untuk kembali menjadi Perdana Menteri sebagaimana dibimbangi oleh sesetengah pihak.

Bekas Perdana Menteri itu menyatakan demikian semasa berucap di hadapan hampir 20,000 penduduk terdiri daripada pelbagai kaum pada Perhimpunan Melayu Perkasa anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Pasir Mas, Kelantan, Sabtu lalu.

Dr. Mahathir yang menegaskan usianya telah pun menjangkau 85 tahun, turut menujukan penjelasannya itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Kedah, Datuk Badri Yunus menyangkal tuduhan Mohamed Nazri yang menuduh Utusan Malaysia mempunyai agenda berhubung isu Perkasa termasuk cuba membawa balik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Kenyataan Mohamed Nazri itu dibuat dalam portal berita propembangkang, The Malaysian Insider.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan kepentingan dan kebajikan pengundi parti itu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Selain ahli UMNO terdapat ramai lagi penghuni kota merupakan pelajar dan rakyat negara ini yang datang mencari rezeki. Apabila tiba masanya (pilihan raya umum) mereka ini akan balik mengundi di kampung masing-masing termasuk Parlimen Sembrong, iaitu kawasan saya.

"Rapatkan persefahaman antara kita, dekati mereka dan terangkan dasar kerajaan kerana apabila kembali ke kawasan masing-masing mereka akan turut membawa bersama perspektif positif atau negatif yang bakal diterjemahkan semasa mengundi," katanya.