Rabu, November 22, 2017

UNDI BELAH BAHAGI BUKTI DEMOKRASI TERUS SUBUR

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Keputusan undi belah bahagian Rang Undang-Undang Perbekalan (RUU) 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) semalam menunjukkan sistem demokrasi terus subur di Dewan Rakyat dan ia tidak sepatutnya dipolitikkan oleh mana-mana pihak.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata semua anggota Parlimen perlu menghormati keputusan ini kerana proses yang dijalankan mengikut prosedur yang dibenarkan di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Cubaan pembangkang untuk menggagalkan RUU itu melalui undi belah bahagian nyata tidak berjaya apabila anggaran perbelanjaan untuk kementerian tersebut telah diluluskan dengan majoriti mudah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat semalam kecoh apabila penggubal undang-undang daripada kedua-dua pihak berperang mulut kerana tidak berpuas hati dengan keputusan undi belah bahagian.

Kekecohan itu tercetus apabila G. Manivannan (PKR-Kapar) bangun sebaik sahaja Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainudin menggulung perbahasan RUU Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Manivannan telah mencadangkan supaya undi belah bahagian diadakan untuk menentukan sokongan terhadap RUU Perbekalan tersebut dan cadangan itu kemudian diterima oleh Timbalan Speaker Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

RUU Perbekalan untuk kementerian itu berjaya diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian bantahan.

-- BERNAMA