Ahad, Ogos 27, 2017

ANDAIAN 15 PERATUS UNDI MELAYU BERALIH KEPADA PEMBANGKANG JAUH TERSASAR

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan andaian 10 hingga 15 peratus undi Melayu akan beralih kepada pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 sebagai jauh tersasar daripada fakta sebenar.

Merujuk kepada analisis yang dibuat oleh Anggota Parlimen Serdang Ong Kian Ming daripada DAP, Salleh berkata analisis perubahan undi Melayu yang lebih tepat perlu didasari senario PRU dari 1988 hingga 1990 kerana sejarah perpecahan politik Melayu bermula pada waktu itu.

"Pada tahun 1988, UMNO berpecah setelah Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Tengku Razaleigh bertanding merebut jawatan Presiden UMNO. Selepas pemilihan itu, kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah keluar daripada UMNO dan menubuhkan parti Semangat 46 (S46).

"Dalam PRU 1990, S46 bergabung dengan PAS, HAMIM, DAP dan PBS, namun adakah pakatan pembangkang memenangi pilihan raya tersebut. Jawapannya tidak," katanya dalam catatan blognya, hari ini.

Salleh berkata kemerosotan undi Melayu hanya 2.4 peratus berbanding PRU 1986 dengan S46 memenangi hanya lapan daripada 61 kerusi parlimen yang ditandingi dan 19 kerusi dewan undangan negeri daripada 152 kerusi yang ditandingi.