Rabu, Februari 07, 2018

KDN KAJI GUNA SATU PENGENALAN DIRI BIOMETRIK UNTUK SEMUA AGENSI

KULAI, 6 Feb (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melihat kemungkinan menggunakan satu platform pengenalan diri biometrik yang boleh digunakan untuk semua agensi di bawah kementerian itu.

Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata sistem pengenalan biometrik di pintu masuk negara dilihat bukan sahaja dapat merekod data keluar masuk pelawat tetapi juga membanteras aktiviti jenayah seperti pemerdagangan manusia dan penjenayah lintas sempadan.

"Matlamat akhir untuk KDN ialah memastikan bahawa semua agensi dalam KDN termasuk Jabatan Imigresen menggunakan platform pengenalan diri biometrik yang sama.

"Kalau ada syarikat seperti AirAsia yang ada sistem biometrik boleh diguna pakai, kita terbuka dengan cadangan tersebut tetapi kena pastikan integrasi dalam sistem yang ada sekarang," kata beliau selepas melancarkan Fast Clearance Experience System (Faces) iaitu sistem pengecaman wajah di pintu perlepasan AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, di sini hari ini.

Buat masa ini, KDN sedang menjalankan Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) yang membabitkan keselamatan biometrik imbasan jari, mata (retina) dan wajah, yang kini dilaksanakan Jabatan Imigresen.