Sabtu, Julai 17, 2010

EMPAT ADUN TIDAK HORMATI TPM


Kegagalan empat wakil rakyat kawasan Setiu menghadiri persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu seolah-olah tidak menghormati Timbalan Perdana Menteri yang merasmikan majlis itu, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Seputeh di sini, beliau berkata majlis itu masih perlu dihadiri meskipun mereka mempunyai masalah dalaman.

"Itu bukan cara kita. Sekurang-kurangnya kita mesti menghormati perasmi, lebih-lebih lagi Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menghormati bahagian kita kerana bahagian lebih penting daripada diri kita sendiri serta menghormati parti. Siapalah kita kalau tidak kerana parti," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika diminta mengulas kekecewaan Muhyiddin apabila ADUN kawasan Jabi, Ramlan Ali, ADUN Permaisuri Abd Halim Jusoh, ADUN Langkap Asha'ari Idris dan ADUN Batu Rakit Khazan Che Mat tidak hadir pada persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu semalam.

Berkongsi kekecewaan dengan Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno, Hishammuddin berkata pihaknya akan menasihatkan keempat-empat wakil rakyat berkenaan.

"Kita akan sedarkan pihak berkenaan, kedudukan dan jawatan yang mereka pegang datang daripada sokongan orang ramai, datang daripada pengiktirafan terhadap parti. Apa juga alasan diberi mereka, boleh mencemarkan dan menjejaskan Setiu sendiri," katanya.

MUHYIDDIN KECEWA SIKAP EMPAT ADUN


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam melahirkan rasa kecewa dengan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu yang dipulaukan oleh empat wakil rakyat di kawasan itu.

Mereka adalah ADUN Jabi, Ramlan Ali; ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh; ADUN Langkap, Asha'ari Idris dan ADUN Batu Rakit, Khazan Che Mat.

"Empat wakil rakyat tak hadir, saya pun dukacita jugalah, saya tak sebelahi mana-mana pihak dalam soal politik, tapi sebagai timbalan presiden saya rasa agak kecewa.

"Mungkin ada masalah tertentu, mungkin ada hubungkait dengan jawatan dan pimpinan. Apa yang saya nak tekankan, apa saja isu dan permasalahan yang timbul antara kita, mesti kita selesaikan dengan bijaksana," katanya kepada Bernama.

Turut hadir, ahli parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie yang juga ketua Umno bahagian Setiu, Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Awang, Ketua UMNO Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid dan ketua Umno bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.

Timbalan Presiden Umno itu juga mengingatkan ahli Umno supaya menyelesaikan segera permasalahan atau pergeseran yang berlaku sesama mereka dalam usaha mengembalikan semula kekuatan dan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Katanya, perpaduan dalam parti itu perlu segera diperkukuhkan kerana ia menyumbang bagi mengukuhkan kedudukan parti dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Muhyiddin disambut kehadirannya bagi merasmikan mesyuarat tersebut.

"Kalau ada isu dan rasa tak puas hati, tersinggung atau dipinggirkan, apa saja perasaan dan sentimen yang merenggangkan hubungan dan memberi impak kepada usaha memperkukuhkan parti, hal sebegini perlu diselesaikan secepat mungkin.

"Saya sebut ini bukan saja untuk Setiu, malah juga di tempat-tempat lain," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu.

Dalam masa yang sama, kata beliau, anggota Umno sendiri perlu ikhlas dengan niat sebenar untuk menjadi anggota parti itu sama ada benar-benar ingin berjuang kepada parti atau sebaliknya.

"Sepatutnya jadi anggota Umno kita serah apa yang ada pada kita, jiwa dan raga demi untuk perjuang nasib Orang Melayu dan Islam di negara kita. Kita ada pilihan, tak ada orang marah kalau tak jadi anggota Umno," katanya.

Katanya menjadi kewajipan dan tanggungjawab semua pihak sama ada di peringkat pimpinan dan akar umbi untuk mengekalkan hubungan baik dan mencari jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang timbul.

"Bermuhasabahlah kita, dengan mengambil langkah yang bijaksana untuk selesaikan masalah kita. Lagi cepat selesai, lagi baik kerana tanggungjawab kita nak bela dan beri perhatian nasib bangsa kita dan dalam masa sama kita tidak abai tanggungjawab untuk pimpin masyarakat lain kerana kita jadi kerajaan," katanya.

Muhyiddin berkata Umno perlu bangkit semula dalam situasi mencabar terutama selepas keputusan mengejutkan pada Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

Katanya, usaha perlu dilipat ganda untuk menebus balik negeri-negeri yang terlepas ke tangan pembangkang dan mengembalikan kedudukan dua pertiga Barisan Nasional di parlimen.

"Senario hari ini, kita bukan lagi menghadapi cabaran tetapi ancaman dan kedudukan kita boleh tergugat kalau kita tak jaga.

"Pokoknya, usaha yang boleh kita lakukan untuk kukuhkan parti, jika kuat, rakyat lebih yakin dengan kita, mana yang duduk di tepi-tepi, mereka akan kembali yakin kepada kita, pimpinan dengan semangat baru, mereka akan kembali sokong kita," katanya.

APA DAH JADI?





Apa dah jadi dengan UMNO Bahagian Setiu? Empat ADUN tidak hadiri majlis perasmian mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Setiu yang dilakukan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan sri Muhyiddin yasin petang semalam.

Merekaialah ADUN langkap, Ashaari Idris; ADUN batu Rakit, khazan che mat; ADUN permaisuri, Abdul Halim Jusoh dan ADUN Jabi, Cikgu Ramlan. Mesti ada sebab kenapa mereka tidak hadir. Mungkin mereka tidak puas hati dengan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Mohd. Jidin Shafee.

Pagi semalam ketika berada di The Mall, ada rakan beritahu empat ADUN itu tidak akan hadir mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Setiu. bagi saya, walaupun mereka tidak puas hati dengan Ketua Bahagian, sewaktu perasmian sepatutnya mereka hadir. Bila Muhyiddin balik, baliklah empat orang ini. Apa yang berlaku amat memalukan kerana mereka tidak menghormati kehadiran timbalan Perdana Menteri ke Setiu.

Yang lebih memalukan dua orang ADUN itu ialah dua orang Exco, Ashaari dan Khazan che Mat. oleh itu Menteri Besar, Datuk Ahmad said wajar menggugurkan dua orang Exco ini kerana tidak mengormati kedatangan Timbalan Perdana Menteri. Mereka berempat jangan diberi peluang bertanding lagi dalam pilihanraya umum akan datang. Buat malu wakil rakyat BN bertindak macam budak-budak. Nak marah kepada Jidin pun, carilah masa lain untuk lepas geram. Jangan malukan Tan Sri Muhyiddin.