Rabu, Ogos 16, 2017

PIAWAIAN SERAGAM DURIAN AKAN DIWUJUDKAN

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Satu piawaian seragam berkenaan durian akan diwujudkan bagi memastikan ketulenan dan kualiti raja buah itu sentiasa berada di tahap terbaik seperti sepatutnya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata piawaian yang akan diwujudkan dengan kerjasama Jabatan Standard Malaysia itu antara lain bertujuan mengelak pembeli daripada tertipu dengan jenis buah dan harga yang diletakkan penjual.


Ketika ini, katanya, penjual dan pembekal 'bebas' menamakan jenis buah dan harga kerana tiada pihak yang berperanan mengesahkan perkara itu, kecuali durian yang di bawah pengurusan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Beliau berkata pembeli mengadu mereka sering tertipu dengan taktik penjual yang meletakkan label jenis durian yang mendapat permintaan tinggi dan mahal seperti D24 atau Musang King untuk meraih keuntungan.

"Sekarang tiada siapa yang bertindak mengesahkan sama ada ia durian Musang King, D24 atau apa saja. Tujuan mewujudkan satu standard atau piawaian khusus memastikan setiap durian yang dilabelkan adalah durian yang betul," katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama usahawan durian di kementeriannya di sini hari ini.....