Isnin, Julai 20, 2009

APA NAK JADI?


Dua wartawan sebuah akhbar tempatan yang sering memaparkan isu-isu sensasi dipanggil polis bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berhubung laporan muka hadapan akhbar tersebut semalam yang bertajuk "Restoran Berahi".


Kedua-dua wartawan tersebut dipanggil memberi keterangan selama dua jam iaitu dari pukul 8 hingga 10 malam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPKKL Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya memanggil kedua-dua wartawan tersebut berhubung pendedahan berani mengenai sebuah restoran yang kononnya menyediakan pelayan wanita seksi untuk melayan pelanggannya semasa menjamu selera.


Wartawan itu juga mendakwa perkhidmatan itu hanya terbuka kepada ahli restoran itu dengan perkhidmatannya diadakan pada hujung minggu tertentu sahaja.


Ku berkata laporan yang dikeluarkan itu adalah palsu kerana siasatan mendapati restoran tersebut tidak wujud.Difahamkan gambar yang didedahkan wartawan tersebut diperoleh melalui internet dan restoran tersebut sebenarnya berada di sebuah negara jiran terdekat.


Ku berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana menyiarkan berita tidak benar dan berniat jahat.Akhbar itu berkata maklumat itu diperoleh berdasarkan e-mail yang dihantar orang ramai ke akhbar tersebut dan setelah sebulan membuat risikan, wartawannya berjaya menyelinap masuk di antara puluhan VIP yang mengunjungi restoran terbabit yang beroperasi dari jam 10 pagi hingga 11 malam.


Apa nak jadi dengan wartawan sekarang? Untuk melariskan Harian Metro, setiap hari berita sensasi dijadikan bahan muka depan. Kalau benar ia adalah berita palsu, ia amat menyedihkan kerana ia melanggar etika kewartawanan. Yang lebih menyedihkan ia dilakukan oleh sebuah akhbar yang diterbitkan oleh sebuah syarikat gergasi. Jika benar Harian Metro menyiarkan berita palsu, maka KDN perlu menggantung penerbvitan akhbar ini.