Sabtu, Februari 17, 2018

TERENGGANU MINTA UNESCO IKTIRAF KEUNIKAN WARISAN CINA

KUALA TERENGGANU, 16 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu akan menghantar permohonan kepada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk mengiktiraf keunikan budaya dan warisan masyarakat Cina di negeri itu khususnya di Kampung Cina.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata masyarakat Cina di Terengganu tidaklah ramai iaitu seramai 28,300 orang sahaja namun mereka ini sangat hebat dan berbeza daripada masyarakat Cina di negeri lain.

"Ada antara generasi Cina Terengganu dahulu yang boleh membaca tulisan jawi, memasak masakan Melayu, selesa memakai kebaya dan baju kurung, malah mahir bercakap dalam loghat Terengganu...jadi kita berharap warisan kebudayaan ini akan mendapat pengiktirafan UNESCO," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di sini, hari ini. Turut hadir isteri menteri besar Toh Puan Seri Halina Zakaria, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Mohd Zubir Embong, Pengerusi MCA Terengganu Datuk Toh Chin Yaw dan Pegawai Penyelaras DUN Bandar, Toh Sheng Cheng.

Katanya kerajaan negeri pernah menghantar permohonan untuk menjadikan Kampung Cina sebagai Tapak Warisan Dunia namun ditolak UNESCO kerana banyak bangunan di kawasan itu telah diubah suai selain beberapa transformasi maju yang berlaku di kawasan sekitarnya.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga akan meneruskan pembangunan di sekitar Kampung Cina, Pasar Besar Kedai Payang, Dataran Shahbandar dan Pulau Warisan sebagai pemangkin kepada sektor pelancongan negeri.

"Pada malam esok juga akan terdapat tayangan telemovie bertajuk Kebaya Mek Hwa (di TV3) yang memaparkan Kampung Cina sebagai lokasi penggambarannya serta keunikan budaya hidup masyarakat Cina di kawasan itu.

"Ia diharap mampu menarik kedatangan pelancong ke Kampung Cina kerana hanya di sini sahaja terdapat keistimewaan dan keunikan tersebut," katanya.

-- BERNAMA