KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Bekas jurutera kimia Maslinda Supandi hanya belanja RM5,000 semasa mengembara berbasikal secara solo ke South Island, New Zealand selama tiga bulan pada Mac 2016, dan RM10,000 dari China ke Itali bermula Ogos 2016 sehingga Mac 2018.
Bagi Maslinda, 31, atau lebih dikenali sebagai V, wang dan keselesaan bukan penghalang baginya untuk mengembara, dan sentiasa mengawal perbelanjaannya setiap hari, "dan lebih banyak saya berjimat, lagi jauh saya boleh pergi dan itu satu bonus bagi saya," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Graduan Universiti Teknologi Malaysia itu turut mengorbankan kerjaya sebagai jurutera kimia di sebuah syarikat antarabangsa pada November 2015, serta keselesaan hidupnya untuk mengembara menggunakan basikal.
Anak kelahiran Klang itu kini telah mengembara ke 20 negara dengan mengayuh basikal berseorangan setelah pengembaraannya secara backpacker atau beg galas sejak 2012 menggunakan pengangkutan awam tidak memenuhi cita rasa pengembaraannya.
Sebelum memulakan pengembaraannya berbasikal secara solo, Maslinda bekerja secara sukarela selama dua bulan dengan sebuah bengkel basikal, The Basikal di Bangsar untuk mempelajari selok-belok ilmu basikal, termasuk membuka dan memasang basikal sebagai persediaan untuk pengembaraannya.
"Basikal yang saya guna sepanjang pengembaraan direka khas oleh saya semasa bekerja di kedai basikal menggunakan bahagian basikal terpakai," katanya.
Maslinda berkata semasa pengembaraan, beliau hanya membawa tiga pasang baju, iaitu baju tidur, baju untuk mengayuh basikal dan baju berjalan bagi meringankan bebanan yang perlu dibawanya semasa berkayuh.
"Saya seorang yang sangat sederhana dan saya boleh beli baju dari kedai terpakai (bundle) jika saya sudah bosan dengan baju yang dipakai. Itu satu cara saya berjimat. Memandangkan cuaca di negara-negara yang saya lawati tidak membuatkan saya berpeluh, saya boleh menggunakan baju yang sama untuk berkayuh dalam beberapa hari."
"Barangan asas yang saya perlukan hanya sabun dan berus gigi termasuk air dalam 1.5 liter untuk saya mandi dan ke tandas. Bila saya ke bandar besar, baru saya akan gunakan tandas awam untuk mandi termasuk mencuci rambut," katanya.
Beliau berkata kadangkala penduduk tempatan menjemputnya bermalam di rumah mereka dan ini adalah antara kemewahan yang beliau hargai semasa pengembaraannya, yang selalu terpaksa bermalam dengan memasang khemah.
"Semasa mengembara, saya menukar diet kepada vegetarian untuk mudah mencari makanan," kata anak ketiga daripada empat beradik itu.
Maslinda juga pernah mengambil upah menjaga kanak-kanak semasa mengembara di Turki dan bekerja di sebuah kafe di Georgia yang membuatnya lebih merasai kehidupan sebenar di tempat yang dilawati.?
"Di Georgia saya tinggal selama dua bulan kerana tempat itu ada banyak sejarah yang membuatkan saya tertarik untuk tinggal lebih lama. Saya hendak tahu apa yang mereka makan, apa yang dilakukan semasa hujung minggu, saya hendak merasai sendiri hidup seperti orang tempatan. Keadaan cuaca yang bersalji ketika itu juga tidak mengizinkan saya untuk meneruskan perjalanan saya," katanya.
Beliau tidak menafikan berhadapan dengan gangguan terutama daripada pemandu lori dan penunggang motosikal semasa berbasikal yang menjadi cabaran yang perlu dilaluinya.
"Adakalanya gangguan berbentuk kata-kata boleh mendatangkan fobia kepada saya namun itu perkara biasa kerana di Malaysia pun ada gangguan seperti itu. Cabaran lain dan antara yang berat adalah mengatasi kesunyian apabila berseorangan di tempat yang asing bagi saya," katanya.
Bagi beliau pengorbanan terbesar yang perlu dilakukannya adalah melepaskan masa berharga bersama keluarga serta rakan, terutama ibunya yang berusia 60-an.
"Walaupun kita dikelilingi oleh ramai orang tapi kita merasa keseorangan terutama di tempat yang komunikasi kita terbatas. Bila sunyi saya akan baca semula mesej yang dihantar oleh kaum keluarga dan rakan-rakan, dan masa itu memang kita akan hargai keluarga dan kawan kita," katanya.
Maslinda berkata bagi menampung kos pengembaraan semasa di luar negara, beliau menjual kalendar hasil daripada gambar yang diambil dan catatan sepanjang pengembaraan beliau menerusi media sosial, selain menjual poskad dari negara yang jarang dilawati seperti Kyrgystan.
"Setiap kali saya lawati tempat yang agak jarang dilawati saya akan promosi poskad negara itu dalam Instagram saya dan ramai juga yang berminat untuk membeli. Kalendar saya juga dah masuk siri kedua dan mendapat sambutan yang baik oleh pengikut saya. Alhamdulillah mereka menyokong pengembara seperti saya," katanya.
-- BERNAMA