Selasa, September 25, 2018

POLIS SABAH SEDANG SIASAT PENULIS BLOG DAKWA TIMBALAN MENTERI ADA HUBUNGAN SULIT

KOTA KINABALU, 25 Sept (Bernama) -- Polis Sabah sedang menyiasat penulis sebuah blog yang mendakwa seorang timbalan menteri persekutuan mempunyai hubungan sulit dengan pegawai khasnya.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata siasatan itu dijalankn susulan dua laporan polis yang diterima, masing-masing daripada Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Isnaraissah Munirah Majilis dan isteri kepada pegawai khasnya.

Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan ini selesai, katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara perbarisan dan amanat Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan di sini hari ini.

Difahamkan, Isnaraissah Munirah yang juga Anggota Parlimen Kota Belud dan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan), mengetahui tentang artikel itu menerusi pautan yang dihantar kepadanya oleh seorang kawan melalui aplikasi WhatsApp.

ISNARAISSAH NAFI HUBUNGAN SULIT DENGAN PEGAWAI KHASNYA



KOTA KINABALU, 24 Sept (Bernama) – Seorang timbalan menteri persekutuan membuat laporan polis untuk menggesa pihak berkuasa menyiasat penulis sebuah blog yang mendakwa berlaku hubungan sulit antara Anggota Parlimen Kota Belud itu dengan pegawai khas beliau.

Isnaraissah Munirah Majilis, timbalan menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, membuat laporan polis itu semalam di Subang Jaya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, beliau menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan terhadapnya seperti yang terkandung dalam catatan penulis blog itu pada Sabtu lepas.

"Saya membuat laporan ini untuk membersihkan nama saya dan keluarga. Saya juga mahu penulis portal ini disiasat,” jelas beliau.

Munirah, yang juga Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah (Warisan), mendapat tahu tentang artikel itu menerusi pautan yang dihantar kepadanya oleh seorang kawan melalui aplikasi WhatsApp.

Mengenai akaun Facebook beliau, Anggota Parlimen itu menegaskan beliau tidak terlibat dalam sebarang hubungan sulit seperti yang didakwa oleh penulis blog itu.

"Artikel oleh penulis blog itu berniat jahat dengan tujuan merosakkan nama baik saya sebagai seorang wakil rakyat,” katanya.

-- BERNAMA