Selasa, Jun 02, 2015

MUSLI TERTINGGAL MEWAWANCARA PAIRIN

Nama Buku: Dari Stephens Ke Musa: Cabaran 13 Ketua Menteri Sabah
Nama Penulis: Musli Oli
Nama Penerbit: Rontog Publication
Harga: RM70.00
Tebal: 226 halaman

Membaca buku terbaharu Musli Oli, Dari Stephens Ke Musa: Cabaran 13 Ketua Menteri Sabah , ia agak menarik kerana penuh dengan fakta. Namun demikian bukan semua Ketua Menteri yang diulasnya. Ada yang tertinggal seperti zaman YongTeck Lee, Bernard Dompok dan Chong Kah Kiat.

Jika semua kepimpinan 13 Ketua Menteri diulas secara ilmiah dalam buku ini, maka buku ini akan menjadi lebih lengkap. Bagaimanapun usaha Musli menulis buku ini memang wajar diberi pujian kerana beliau  membuat kajian dalam waktu yang terbatas.
Buku setebal 226 muka surat ini bermula dengan pertelingkahan Presiden Usno, Datu Mustapha Datu Harun dengan Presiden UNKO, Donald Stephens. Mustapha memilih jawatan Yang Dipertuan Negeri apabila Sabah membentuk Malaysia pada  16 September 1963.Sebaliknya Donald (Fuad Stephens) memilih jawatan Ketua Menteri Sabah.
Mustapha tersalah tafsir. Beliau ingatkan jawatan Yang Dipertuan Negeri ada kuasa eksekutif. Sebaliknya Fuad yang ada kuasa eksekutif tidak pernah memaklumkan keputusan kerajaan kepada Mustapha. Maka marahlah Mustapha kepada Fuad. Apabila Fuad menyedari Usno dan Sabah Chinese Association (SCA) mahu membuat undi tidak percaya kepadanya, maka Fuad meletakkan jawatan. Jawatan Ketua Menteri beralih kepada Peter Lo, orang Cina pertama menjadi Ketua Menteri Sabah dan Fuad dilantik menteri pusat oleh Tunku Abdul Rahman.
Buku ini mendedahkan bahawa Fuad Stephens pada mulanya menentang gagasan Malaysia tetapi ubah pendirian apabila dipujuk Ketua Menteri Singapura, Lee Kuan Yew. Lee Kuan Yew berkata selepas Tunku Abdul Rahman berundur, beliau akan menjadi Perdana Menteri Malaysia dan beliau akan lantik Fuad sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Tawaran Lee Kuan Yew ini menyebabkan Fuad menyokong Sabah menyertai Malaysia.
Menurut bekas pegawai kerajaan Sabah, Datuk Karim Ghani, majoriti rakyat Sabah tidak mahu masuk Malaysia tetapi beliau membuang kertas menolak Malaysia dalam tong sampah . Maka Suruhanjaya Cobbold membuat keputusan Singapura, Sabah dan Sarawak bersama Malaya bersetuju membentuk Malaysia.
Buku ini juga berhujah bahwa Sabah dan Sarawak adalah satu negara yang membentuk Malaysia bersama Malaya. Oleh itu Sabah tidak setaraf Selangor, Melaka, Johor dari segi perlembagaan.  Namun demikian pucuk pimpinan negara seolah-olah melayan Sabah dan Sarawak setaraf dengan 11 buah negeri di Malaya. Ini yang menimbulkan kemarahan rakyat Sabah dan Sarawak.
Selepas pilihanraya umum 1967, Perikatan Sabah yang terdiri dari Usno dan SCA memenangi pilihanraya negeri. Mustapha dilantik Ketua Menteri yang baharu. Akhirnya beliau dijatuhkan oleh Kuala Lumpur pada tahun 1976 kerana enggan menandatangani perjanjian Petronas yang memberi royalti minyak kepada Sabah lima peratus. Ghafar Baba meminta Haris Salleh menubuhkan Berjaya dan Haris Salleh bergabung dengan Fuad Stephens menjatuhkan Usno. Selepas Fuad terbunuh dalam nahas kapal terbang, Haris Salleh menjadi Ketua Menteri Sabah yang baharu.
Selama sembilan tahun Haris menjadi diktator baharu dan ditumbangkan oleh Joseph Pairin Kitingan yang baru sahaja menubukan Parti Bersatu Sabah (PBS). Apabila PBS keluar dari BN pada tahun 1990, Umno memasuki Sabah.
Pada pilihanraya umum 1994, Umno kalah dalam PRU tersebut kepada PBS. Apabila dua ADUN PBS melompat menyertai Umno maka tumbanglah kerajaan PBS. Sakaran Dandai dilantik Ketua Menteri Sabah yang baharu dalam sistem penggiliran Ketua Menteri setiap dua tahun sekali.
Apabila Said Keruak meletakkan jawatan Yang Diper=tuan Negeri, Sakaran dilantik sebagai TYT yang baharu. Osu Sukam diarah terbang segera ke Sabah untuk angkat sumpah sebagai Ketua Menteri menggantikan Sakaran. Bila dia tiba di  lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu, beliau diarah jangan pergi ke istana kerana Salleh Said Keruak telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri yang baharu.
Genap dua tahun ADUN Umno menjadi Ketua Menteri, giliran ADUN SAPP pula, Yong Teck Lee menjadi Ketua Menteri selama dua tahun. Tamat Yong Teck Lee, giliran Bernard Dompok dari UPKO pula menjadi Ketua menteri sehingga PRU 1999. Bernard kalah dalam PRU itu maka jawatan ketua menteri menjadi milik Osu Sukam dari Umno.
Genap dua tahun tiba giliran Presiden LDP, Chong Kah Kiat menjadi Ketua Menteri pada tahun 2001.  Seterusnya giliran Musa Aman menjadi Ketua menteri Sabah yang ke 14 mulai April 2003. Di atas kebijaksanaan Musa, beliau berjaya memansuhkan sistem penggiliran Ketua Menteri Sabah. Beliau kini kekal sebagai Ketua Menteri Sabah selama 12 tahun.
Buku ini lebih menarik jika Musli dapat mewawancara Shafie Apdal, Naib Presiden Umno dua penggal tentang kepimpinan Musa. Mereka dikatakan bermusuh. Malah Musa turut dicalonkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada tahun 2013 tetapi beliau beri laluan kepada Shapie Apdal. Musa juga dikatakan memainkan peranan memujuk Pairin dan PBS menyertai semula BN. Jika Musli dapat mewawancara Pairin sudah tentu buku ini lebih bermakna.
13 orang Ketua Menteri ada cabaran masing-masing. Tetapi perlantikan Musa sebagai Ketua Menteri membuktikan bahawa apabila jutawan berada di tampuk kuasa, beliau tidak ada niat untuk merompak duit rakyat. Maka beliau selaku Pengarah Yayasan Sabah di zaman Sakaran Dandai berani membatalkan NBT yang mahu mengambilalih kawasan pembalakan Yayasan Sabah. Jika dia bersetuju, maka dia menjual Yayasan Sabah kepada syarikat swasta sedangkan Yayasan Sabah adalah hak milik rakyat Sabah.
Sekali lagi beliau membatalkan projek tambak laut bernilai RM3 bilion yang diluluskan di zaman Chong Kah Kiat semata-mata mahu menyelamatkan alam sekitar pantai Tanjung Aru. Inilah untungnya apabila jutawan menjadi Ketua Menteri kerana dia sudah kaya tak perlu merompak wang rakyat.

Buku ini wajar dibaca oleh semua rakyat Malaysia yang mahu memahami sejarah penubuhan Malaysia. Tanpa Sabah dan Sarawak, Malaya tetap kekal sebagai Malaya. Apabila Tunku Abdul Rahman membentuk Malaysia beliau berpandangan jauh kerana Sabah dan Sarawak yang menyelamatkan BN pada PRU 2013. Jika Malaya masih ada (tak ada Malaysia)  Pakatan Rakyat sudah memerintah Malaya hari ini.

NAJIB PILIHAN SIAPA?

Selama 22 tahun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1981 hingga 2003. Sepanjang 22 tahun berkuasa Dr Mahathir mempunyai empat orang timbalan, Musa Hitam, Ghafar Baba, Anwar Ibrahim dan Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah).
Dr Mahathir berharap Anwar akan menggantikannya tetapi recession 1998 menyebabkan Anwar disingkir dari menjadi penggantinya.Anwar terpengaruh dengan formula IMF tetapi Dr Mahathir ada formulanya sendiri apabila George Soros menyerang Ringgit Malaysia (RM).  Dr Mahathir menambat RM yang mana akhirnya formula Dr Mahathir diterima dunia.
 Dr Mahathir melantik Pak Lah sebagai pengganti Anwar. Bosan dengan sikap orang Melayu tidak berubah, maka Dr Mahathir melepaskan jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri kepada Pak Lah pada tahun 2003.
Pak Lah bercadang melantik Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri (TPM). Tetapi Dr Mahathir mahu Najib Razak dilantik sebagai TPM. Dua kali Dr Mahathir menyebut nama Najib. Malah Dr Mahathir mengugut Pak Lah jika Pak Lah tak lantik Najib sebagai TPM, beliau akan memboikot majlis perpisahan yang diadakan untuk bekas PM itu.
Maka terpaksa Pak Lah melantik Najib sebagai TPM sedangkan beliau sudah ada pilihannya sendiri, Muhyiddin. Muhyiddin yang kecewa dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Di zaman Pak Lah kementerian itu diberi nafas baru dan diberi peruntukan yang besar.
Pada PRU yang pertama diketuai Pak Lah pada tahun 2008, BN menang besar. Terengganu yang kalah pada tahun 1999 dapat dirampas semula. Tetapi Pak Lah dikuasai oleh menantunya, Khairy Jamaluddin yang menyebabkan ramai orang kecewa mengadu kepada Dr Mahathir.
Dr Mahathir mengkritik Pak Lah secara terbuka kononnya Pak Lah PM yang suka tidur.  Malah menantu Pak Lah jadi sasaran kritikan Dr Mahathir. Kemuncak perselisihan Dr Mahathir-Pak Lah, Dr Mahathir isytihar keluar dari Umno kerana beliau tidak dapat lagi menerima kepimpinan Pak Lah.
Siapa yang lantik Pak Lah dahulu sebagai TPM kalau bukan Dr Mahathir? Maknanya orang pilihan beliau sendiri yang gagal menjalankan amanah sebagai PM. Serangan berterusan Dr Mahathir terhadap Pak Lah menyebabkan BN gagal mendapat majoriti dua pertiga pada PRU 2008.
Maka Pak Lah didesak berundur oleh Muhyiddin dan Najib menjadi PM baharu pada tahun 2009. Najib gagal mendapat majoriti dua pertiga juga pada PRU sulungnya pada tahun 2013. Tetapi najib tidak didesak berundur kerana prestasi Umno semain baik dapat merampas Kedah dari tangan PAS. Malah Umno ada 88 kerusi berbanding di zaman Pak Lah.
Enam tahun Najib mengemudi negara, baharulah Dr Mahathir menyerang Najib dengan isu 1MDB, Altantunya dan GST. Isu ini disepakmula oleh PKR dan kini Dr Mahathir memonopoli isu tersebut secara  berterusan. Dr Mahathir turut kesal kerana dia yang mahu Pak Lah lantik Najib sebagai TPM. Jika Muhyiddin jadi PM hari ini, mungkin Dr Mahathir tidak menyerang kepimpinan Muhyiddin.
Najib sudah keras kepala kata Dr Mahathir. Kalau Pak Lah diserang kerana menantunya campur tangan dalam pentadbiran Pak Lah, Dr Mahathir menyerang Najib kerana isterinya Rosmah Mansor terlalu over seolah-olah menjadi PM pula.
Ini yang menimbulkan kemarahan rakyat kerana Rosmah dilihat terlalu menonjolkan kemewahan. Malah majlis perkahwinan anaknya dilihat sebagai majlis yang terhebat di abad ini. Dr Mahathir menegur sepanjang dia menjadi PM dia tidak pernah membuat majlis perkahwinan anaknya besar-besaran.
Najib sudah enam tahun menjadi PM Malaysia. Salah siapa? Salah Dr Mahathir kerana dia yang mahu Pak Lah lantik Najib sedangkan Pak Lah mahu Muhyiddin ketika itu. Takdirnya hari ini Muhyiddin jadi PM, isu 1MDB tidak kedengaran.

Apa punca sebenar kemarahan Dr Mahathir terhadap Najib? Menurut sumber, Dr Mahathir cuba menghalang Najib menandatangani TPPA pada bulan September ini. Najib menerima TPPA dan baik dengan Obama dan Amerika Syarikat manakala Dr Mahathir dilihat anti Barat.  Dr Mahathir tidak bersetuju Malaysia menandatangani TPPA yang dianggapnya sebagai penjajahan baru. Oleh itu Dr Mahathir terus mendesak Najib meletakkan jawatan sebagai PM. Dr Mahathir tidak mahu melihat Malaysia jadi boneka Amerika Syraikat.
Akan tetapi Dr Mahathir tidak gentleman. Beliau menyerang Najib tetapi anaknya Mukhriz masih kekal sebagai MB Kedah. Jika Dr Mahathir anak jantan, beliau sepatutnya suruh Mukhriz meletakkan jawatan sebagai MB Kedah kerana Mukhriz juga tidak wajar bersekongkol dengan kepimpinan Najib.
Dalam hal ini Pak Lah lebih gentleman dari Dr Mahathir. Selepas Najib angkat sumpah sebagai PM keenam pada tahun 2009, Pak Lah dikatakan setiap minggu menemui Najib memujuk Najib melantik menantunya sebagai menteri kerana Khairy baru menenag jawatan Ketua Pemuda tetapi Najib tidak tunduk kepada permintaan Pak Lah. Pak Lah tidak merajuk dan tidak menyerang Najib.
Sebaliknya bila Najib enggan buat jambatan bengkok Dr Mahathir, Dr Mahathir mula menyerang Najib secara terbuka. Kritikan Dr Mahathir kepada kerajaan Pak Lah menyebabkan Pak Lah gagal mendapat majoriti dua pertiga pada PRU 2008. Jika dalam PRU 2013 BN tewas di bawah kepimpinan Najib, maka Dr Mahathirlah punca kekalahan BN itu.
 Raja Mendaliar seorang mamak menjatuhkan kerajaan Melaka maka seorang lagi mamak, Dr Mahathir yang menjadi Raja Mendaliar baharu yang menjatuhkan kerajaan BN pada tahun 2018. Itulah peranan mamak dalam menjatuhkan kerajaan Melaka dan Malaysia.