Nama Buku: Dari Stephens Ke Musa: Cabaran 13 Ketua Menteri
Sabah
Nama Penulis: Musli Oli
Nama Penerbit: Rontog Publication
Harga: RM70.00
Tebal: 226 halaman
Membaca buku terbaharu Musli Oli,
Dari Stephens Ke Musa: Cabaran 13 Ketua Menteri Sabah , ia agak menarik kerana
penuh dengan fakta. Namun demikian bukan semua Ketua Menteri yang diulasnya.
Ada yang tertinggal seperti zaman YongTeck Lee, Bernard Dompok dan Chong Kah Kiat.
Jika semua kepimpinan 13 Ketua
Menteri diulas secara ilmiah dalam buku ini, maka buku ini akan menjadi lebih
lengkap. Bagaimanapun usaha Musli menulis buku ini memang wajar diberi pujian
kerana beliau membuat kajian dalam waktu
yang terbatas.
Buku setebal 226 muka surat ini
bermula dengan pertelingkahan Presiden Usno, Datu Mustapha Datu Harun dengan
Presiden UNKO, Donald Stephens. Mustapha memilih jawatan Yang Dipertuan Negeri
apabila Sabah membentuk Malaysia pada 16
September 1963.Sebaliknya Donald (Fuad Stephens) memilih jawatan Ketua Menteri
Sabah.
Mustapha tersalah tafsir. Beliau
ingatkan jawatan Yang Dipertuan Negeri ada kuasa eksekutif. Sebaliknya Fuad
yang ada kuasa eksekutif tidak pernah memaklumkan keputusan kerajaan kepada
Mustapha. Maka marahlah Mustapha kepada Fuad. Apabila Fuad menyedari Usno dan
Sabah Chinese Association (SCA) mahu membuat undi tidak percaya kepadanya, maka
Fuad meletakkan jawatan. Jawatan Ketua Menteri beralih kepada Peter Lo, orang
Cina pertama menjadi Ketua Menteri Sabah dan Fuad dilantik menteri pusat oleh
Tunku Abdul Rahman.
Buku ini mendedahkan bahawa Fuad
Stephens pada mulanya menentang gagasan Malaysia tetapi ubah pendirian apabila
dipujuk Ketua Menteri Singapura, Lee Kuan Yew. Lee Kuan Yew berkata selepas
Tunku Abdul Rahman berundur, beliau akan menjadi Perdana Menteri Malaysia dan
beliau akan lantik Fuad sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Tawaran Lee
Kuan Yew ini menyebabkan Fuad menyokong Sabah menyertai Malaysia.
Menurut bekas pegawai kerajaan
Sabah, Datuk Karim Ghani, majoriti rakyat Sabah tidak mahu masuk Malaysia
tetapi beliau membuang kertas menolak Malaysia dalam tong sampah . Maka
Suruhanjaya Cobbold membuat keputusan Singapura, Sabah dan Sarawak bersama
Malaya bersetuju membentuk Malaysia.
Buku ini juga berhujah bahwa
Sabah dan Sarawak adalah satu negara yang membentuk Malaysia bersama Malaya.
Oleh itu Sabah tidak setaraf Selangor, Melaka, Johor dari segi
perlembagaan. Namun demikian pucuk
pimpinan negara seolah-olah melayan Sabah dan Sarawak setaraf dengan 11 buah
negeri di Malaya. Ini yang menimbulkan kemarahan rakyat Sabah dan Sarawak.
Selepas pilihanraya umum 1967,
Perikatan Sabah yang terdiri dari Usno dan SCA memenangi pilihanraya negeri.
Mustapha dilantik Ketua Menteri yang baharu. Akhirnya beliau dijatuhkan oleh
Kuala Lumpur pada tahun 1976 kerana enggan menandatangani perjanjian Petronas yang
memberi royalti minyak kepada Sabah lima peratus. Ghafar Baba meminta Haris
Salleh menubuhkan Berjaya dan Haris Salleh bergabung dengan Fuad Stephens menjatuhkan
Usno. Selepas Fuad terbunuh dalam nahas kapal terbang, Haris Salleh menjadi
Ketua Menteri Sabah yang baharu.
Selama sembilan tahun Haris
menjadi diktator baharu dan ditumbangkan oleh Joseph Pairin Kitingan yang baru
sahaja menubukan Parti Bersatu Sabah (PBS). Apabila PBS keluar dari BN pada
tahun 1990, Umno memasuki Sabah.
Pada pilihanraya umum 1994, Umno
kalah dalam PRU tersebut kepada PBS. Apabila dua ADUN PBS melompat menyertai
Umno maka tumbanglah kerajaan PBS. Sakaran Dandai dilantik Ketua Menteri Sabah
yang baharu dalam sistem penggiliran Ketua Menteri setiap dua tahun sekali.
Apabila Said Keruak meletakkan
jawatan Yang Diper=tuan Negeri, Sakaran dilantik sebagai TYT yang baharu. Osu
Sukam diarah terbang segera ke Sabah untuk angkat sumpah sebagai Ketua Menteri
menggantikan Sakaran. Bila dia tiba di
lapangan terbang antarabangsa Kota Kinabalu, beliau diarah jangan pergi
ke istana kerana Salleh Said Keruak telah mengangkat sumpah sebagai Ketua
Menteri yang baharu.
Genap dua tahun ADUN Umno menjadi
Ketua Menteri, giliran ADUN SAPP pula, Yong Teck Lee menjadi Ketua Menteri
selama dua tahun. Tamat Yong Teck Lee, giliran Bernard Dompok dari UPKO pula
menjadi Ketua menteri sehingga PRU 1999. Bernard kalah dalam PRU itu maka
jawatan ketua menteri menjadi milik Osu Sukam dari Umno.
Genap dua tahun tiba giliran
Presiden LDP, Chong Kah Kiat menjadi Ketua Menteri pada tahun 2001. Seterusnya giliran Musa Aman menjadi Ketua
menteri Sabah yang ke 14 mulai April 2003. Di atas kebijaksanaan Musa, beliau
berjaya memansuhkan sistem penggiliran Ketua Menteri Sabah. Beliau kini kekal
sebagai Ketua Menteri Sabah selama 12 tahun.
Buku ini lebih menarik jika Musli
dapat mewawancara Shafie Apdal, Naib Presiden Umno dua penggal tentang
kepimpinan Musa. Mereka dikatakan bermusuh. Malah Musa turut dicalonkan untuk
bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada tahun 2013 tetapi beliau beri laluan
kepada Shapie Apdal. Musa juga dikatakan memainkan peranan memujuk Pairin dan
PBS menyertai semula BN. Jika Musli dapat mewawancara Pairin sudah tentu buku
ini lebih bermakna.
13 orang Ketua Menteri ada
cabaran masing-masing. Tetapi perlantikan Musa sebagai Ketua Menteri
membuktikan bahawa apabila jutawan berada di tampuk kuasa, beliau tidak ada
niat untuk merompak duit rakyat. Maka beliau selaku Pengarah Yayasan Sabah di
zaman Sakaran Dandai berani membatalkan NBT yang mahu mengambilalih kawasan
pembalakan Yayasan Sabah. Jika dia bersetuju, maka dia menjual Yayasan Sabah
kepada syarikat swasta sedangkan Yayasan Sabah adalah hak milik rakyat Sabah.
Sekali lagi beliau membatalkan
projek tambak laut bernilai RM3 bilion yang diluluskan di zaman Chong Kah Kiat
semata-mata mahu menyelamatkan alam sekitar pantai Tanjung Aru. Inilah
untungnya apabila jutawan menjadi Ketua Menteri kerana dia sudah kaya tak perlu
merompak wang rakyat.
Buku ini wajar dibaca oleh semua
rakyat Malaysia yang mahu memahami sejarah penubuhan Malaysia. Tanpa Sabah dan
Sarawak, Malaya tetap kekal sebagai Malaya. Apabila Tunku Abdul Rahman
membentuk Malaysia beliau berpandangan jauh kerana Sabah dan Sarawak yang
menyelamatkan BN pada PRU 2013. Jika Malaya masih ada (tak ada Malaysia) Pakatan Rakyat sudah memerintah Malaya hari
ini.