Rabu, April 20, 2011

SEKEPING GAMBAR MENCERITAKAN SEGALA


Lihat gambar di atas. pelbagai tafsiran boleh dibuat mengenai gambar itu. Ia dirakam awal minggu ini ketika Menteri besar, Datuk Seri Ahmad said menghadiri majlis rasmi di Jerteh.

ADUN Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga bekas Menteri besar Terengganu turut hadiri majlis itu. Barangkali inilah majlis pertama yang dihadiri oleh beliau ketika Ahmad Said menjadi Menteri besar mengadakan lawatan rasmi ke Besut.

Baguslah Idris merendah diri. Sekurang-kurangnya dia sudah akui bahawa sekarang Ahmad said yang jadi MB Terengganu. Sebagai ADUN di daerah Besut dia kena sambut kedatangan MB baru ke daerah tersebut. Bukannya rugi apa-apa bila ular menyusur akal.

Sebaliknya orang besut yang untung kerana MB sudah umumkan lalauan baru dari Kuala Besut ke Pasir Putih. Ia akan ditender pada bulan Jun ini walaupun jalan sejauh 1.5 km itu belum lagi tahu kos pembinaannya. siapa kata Ahmad Said menzalimi orang Besut? Malah lawatan terdahulu Ahmad said telah menyelamatkan pembinaan Jerteh Souq.

PENDAFTARAN PENGUNDI BARU FOKUS MESYUARAT UMNO


Soal pendaftaran pengundi baru khusus di kalangan anggota Umno sendiri dan pendaftaran pengundi muda dijangka menjadi fokus utama apabila 191 bahagian Umno mula mengadakan mesyuarat tahunan pada 1 Mei hingga 15 Jun ini.

"Umno bahagian diharap dapat meneliti senarai keahlian mereka bagi memastikan anggota yang telah berusia 21 tahun dan layak mengundi diingatkan untuk segera mendaftar sebagai pengundi.

"Keahlian Umno dibuka kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas, jadi kita harap cawangan dan bahagian meneliti senarai keahlian mereka dan bagi yang telah mencapai umur 21 tahun, arahkan mereka untuk daftar sebagai pengundi," kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada Bernama.

Beliau juga mahu lebih banyak program untuk mendekati rakyat dan penerangan tentang gagasan 1Malaysia dilakukan di peringkat bahagian.

Tengku Adnan juga berkata seluruh anggota Umno diharap dapat memahami proses baru pemilihan pucuk pimpinan parti bagi memastikan proses pemilihan yang dianggar akan diadakan pada 2012 dapat berjalan lancar.

Katanya Umno akan menggunakan kaedah terbaik untuk memberi penjelasan kepada seluruh anggotanya mengenai proses pemilihan yang akan diadakan mengikut pindaan perlembagaan parti 2009.

"Oleh kerana tahun ini tidak ada pemilihan parti, jadi kita anggap ia akan dilaksanakan pada 2012 dan saya sangat berharap semua anggota parti sudah faham pindaan yang dibuat termasuk mengenai pemilihan," katanya.

Mengenai cadangan untuk mengadakan pemilihan olok-olok di peringkat cawangan dan bahagian pada tahun ini sebagai persediaan ke arah pemilihan sebenar, Tengku Adnan berkata setakat ini ia masih belum dilaksanakan.

"Namun daripada apa yang saya dapat lihat mereka faham (pindaan perlembagaan parti) kerana kita telah memberi penerangan di Janda Baik bagaimana untuk melaksanakan pindaan ini," katanya.

Tengku Adnan turut meluahkan keyakinan bahawa kekecohan yang berlaku dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun lepas tidak akan berlaku pada Umno.

"Kita berbeza daripada PKR atau parti pembangkang lain kerana kita merupakan parti yang tersusun yang asasnya sudah ada, jadi kita ikut sahaja," katanya.

Perhimpunan Agung Khas Umno pada Oktober 2009 telah meluluskan tujuh pindaan perlembagaan parti termasuk untuk meningkatkan bilangan perwakilan yang akan memilih pucuk pimpinan tertinggi parti dengan di peringkat bahagian daripada 2,500 perwakilan kepada 146,500 perwakilan.

Pindaan itu antara lain bertujuan menghapuskan sistem kuota ahli, membenarkan ketua-ketua sayap menerima keahlian baru bagi mempercepatkan proses keahlian Umno terutama di kalangan golongan muda serta memberikan taraf perwakilan secara automatik kepada Setiausaha Bahagian bagi menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan.

Pada Disember tahun lepas Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pemilihan Umno peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi yang dijadualkan tahun ini ditangguhkan selama 18 bulan bagi membolehkan Umno memberi tumpuan kepada proses pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan Model Politik Baru iaitu bagi memastikan kelangsungan Umno sebagai parti yang menerajui pemerintahan negara.