Isnin, April 18, 2016

SOKONGAN PENGUNDI CINA MASIH JADI TANDA TANYA

KUCHING, 16 April (Bernama) -- Ketika menyusuri Tebingan Kuching yang berlatarbelakangkan Sungai Sarawak dan Bangunan Dewan Undangan Negeri, kelihatan sekumpulan lelaki sedang hangat membincangkan isu Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN) di sebuah gazebo.

Isu politik kini mendominasi perbualan penduduk Bumi Kenyalang, dan ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana sekarang adalah musim pilihan raya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan 7 Mei sebagai hari pengundian PRN Ke-11 yang meperlihatkan 82 kerusi akan dipertandingkan.

Individu yang paling menjadi sebutan pula ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem atau lebih mesra dengan panggilan Tok Nan dalam kalangan penduduk di negeri itu.

"Akhirnya, kita akan mengundi pada 7 Mei. Inilah masanya kita memilih YB, Yang Bekerja," kata pesara, Then Shiang Qin, 65, kepada rakan-rakannya.

"Betul, saya harap pengundi tidak akan tersalah pilih. Saya sendiri akan pilih Tok Nan sebab dia sudah banyak buat kerja. Sekolah-sekolah Cina juga banyak menerima berjuta-juta peruntukan kerajaan. Selain itu, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri meningkatkan taraf hidup masyarakat Cina," sambut tukang jahit, Jonathan Kiu, 55.

Kata-kata Kiu disambut kerani Kho Ju Boon, 45, yang menegaskan bahawa kesungguhan Adenan menangani pembalakan haram menunjukkan beliau seorang pemimpin yang berani dan sedia membawa pembaharuan.

"Saya suka Adenan kerana beliau mengiktiraf masyarakat Cina. Beliau banyak kali menegaskan bahawa Cina bukan pendatang. Adenan adalah ketua menteri untuk semua (penduduk Sarawak). Masyarakat Cina harus memberi Adenan satu peluang seperti dimintanya, lima tahun sudah cukup," katanya.

Adenan, 72, yang merupakan lulusan undang-undang dari University of Adelaide akan menerajui pilihan raya negeri itu buat pertama kali sejak mengambil alih pimpinan kerajaan negeri daripada Tun Abdul Taib Mahmud pada 2014.

Taib yang memegang jawatan Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun kini merupakan Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Rata-rata kalangan masyarakat Cina dilihat menyambut baik kata-kata Adenan yang menegaskan bahawa beliau adalah Ketua Menteri untuk semua rakyat Sarawak tanpa mengira kaum atau latar belakang. Ini terbukti dengan rating sokongan beliau yang semakin meningkat.

Dalam satu kajian yang dilakukan Majlis Profesor Negara pada Oktober 2015 mendapati rating popular Adenan meningkat kepada 85 peratus berbanding 71 peratus pada Januari tahun lepas.

Dalam tempoh dua tahun memegang jawatan itu, Adenan, anak kelahiran Kampung Bandashah, di sini, itu juga telah melakukan pelbagai perubahan termasuk membanteras pembalakan haram, memansuhkan cukai tanah, penghapusan tol, penurunan tarif elektrik, tuntutan hak dan autonomi negeri Sarawak, dan mewujudkan hubungan rapat dengan semua kaum termasuk masyarakat Cina.

Selain itu, beliau juga melaksanakan pelbagai 'langkah mesra masyarakat Cina' di negeri ini termasuk pengiktirafan sijil UEC dan menambah jumlah peruntukan untuk Sekolah Cina iaitu daripada RM3 juta pada tahun 2014 kepada RM4 juta (2015) dan RM5 juta (tahun ini).

Bagi ketua masyarakat Cina di Bahagian Kuching, Temenggong Lu Kim Yong, pengundi Cina harus memberi peluang kepada Adenan untuk terus memimpin Sarawak bagi meneruskan pelbagai pembaharuan dan agenda pembangunan khususnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

Beliau berkata persepsi 'tidak rugi apa-apa' dan memberikan undi simpati kepada pembangkang harus dikikis kerana hanya kepimpinan Adenan yang bakal membawa lebih banyak pembaharuan ke negeri Sarawak dan masyarakat Cina secara keseluruhan.

"Kita memerlukan satu pasukan yang baik dan kerajaan negeri yang kuat. Pasukan Adenan akan berjuang untuk semua komuniti di Sarawak. Kita memerlukan mandat yang kukuh daripada rakyat, kerajaan negeri akan mempunyai lebih banyak kuasa tawar-menawar dengan kerajaan persekutuan untuk pemerkasaan yang lebih baik dan peruntukan yang lebih banyak," katanya.

Mengulas mengenai hubungan yang terjalin di antara masyarakat Cina dan kepimpinan Adenan, penganalisis politik Dr Suffian Mansor berpendapat, Barisan Nasional (BN) perlu mencari jalan pintas untuk menarik lebih banyak sokongan pengundi Cina khasnya di kawasan tumpuan supaya kumpulan sasaran ini cenderung kepada parti tersebut.

Pensyarah Kanan Sejarah China Moden dan Sejarah Malaysia (Sarawak) Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata BN mungkin boleh melihat ruang dan peluang yang boleh ditawarkan kepada pengundi Cina dari aspek pendidikan dan bantuan berkaitan kos sara hidup.

"Ini harus dilakukan untuk menarik perhatian dan sokongan pengundi Cina dan pada masa yang sama mengalihkan tumpuan daripada apa yang ditawarkan kem pembangkang khasnya DAP.

"Apa yang saya lihat ketika ini, Adenan berjaya menambat pengundi Cina dari segi bantuan yang disalurkan kepada sekolah Cina dan pengiktirafan UEC untuk kemasukan ke agensi kerajaan negeri dan Unimas. Apa yang dilakukan Ketua Menteri baharu ini sangat dihargai masyarakat Cina," katanya.

Persoalannya, adakah apa yang dilakukan pentadbiran Adenan akan menarik semula sokongan dan kepercayaan pengundi Cina kembali ke pangkuan BN Sarawak sekaligus menepis tsunami pengundi Cina yang berlaku pada pilihan raya lepas.

Ramai yang tertanya-tanya sama ada sentimen positif ini akan diterjemahkan di atas kertas undi dan adakah faktor Adenan yang diuar-uarkan bakal menawan hati pengundi Cina?

Laungan semboyan dari Adenan dan BN Sarawak telah dibunyikan namun kini terpulang kepada masyarakat Cina untuk membuat pilihan demi masa depan mereka.

-- BERNAMA