Khamis, Ogos 13, 2009

ASRI RABANI DAN DHARMALA N.S MENINGGAL


Semalam negara kehilangan sasterawan Dharmala N.S, hari ini negara kehilangan seorang penyanyi nasyid terkenal, Asri Ibrahim pula.

Penyanyi utama Kumpulan Rabbani, Asri Ibrahim yang meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 pagi ini telah rebah sebelum beliau memulakan persembahan pada pelancaran program Syahadah musim kelima di Angkasapuri di sini.

Allahyarham kemudian dikejarkan ke Hospital Pantai selepas tidak sedarkan diri. Sementara itu
sasterawan dan budayawan tanah air, Abdul Muluk Daud atau lebih dikenali sebagai Dharmala NS, 62, meninggal dunia di Hospital Selayang semalam akibat serangan sakit jantung.

Menurut isterinya, Adiah Mat Lana, 54, suaminya meninggal dunia pada pukul 8.41 pagi selepas dimasukkan ke Hospital Selayang pada Selasa lalu setelah mengadu sakit dada.

''Arwah baru sahaja selesai bersahur kerana berniat untuk berpuasa sunat,'' jelasnya.

Anak lelaki Allahyarham, Idham Khalil, 27, pula berkata, dia tidak menyangka yang bapanya ketika itu diserang sakit jantung.
''Setelah mendapati sakit dadanya itu tidak hilang, kami mengambil keputusan untuk menghantar arwah ke Hospital Selayang.

''Di Hospital Selayang beliau terus dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU) sehingga menghembuskan nafas terakhir pagi ini,'' katanya.

Tambah Idham lagi, malam sebelum mengadu sakit dada itu, ayahnya tidak boleh tidur malah sempat mengemaskini blog peribadinya.

''Malam itu arwah kelihatan bertenaga malah sempat mengemas kini blognya sehingga pukul 4 pagi sebelum bersahur bersama ahli keluarga,'' tambahnya ketika ditemui di Masjid Sri Gombak di sini.

Selepas dimandikan di Masjid Sri Gombak, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Bachang Mantin, Petaling di Jelebu, Negeri Sembilan untuk dikebumikan.

Turut menziarahi jenazah di Masjid Sri Gombak ialah wakil kepada Undang Luak Rembau, Kamaruzzaman Salleh; Presiden Persatuan Penulis Nasional (Pena), Baharuddin Zainal (Baha Zain) serta Ahli Jawatankuasa Pena, Dr. Ibrahim Ghaffar.

Semasa hayatnya, Allahyarham aktif dalam penulisan novel, cerpen, sajak serta penulisan skrip drama televisyen dan filem.

Saya mengenali Dharmala pada tahun 1976 ketika beliau berceramah dalam satu kursus penulisan di Seremban. Ketika itu saya belajar di tingkatan lima di MRSM Seremban. Kami pernah bekerja sebumbung di WATAN pada tahun 1988. Ketika itu saya adalah Penolong Editor akhbar WATAN dan beliau adalah sub editor akhbar yang sama.

Beliau pernah bekerja dengan ahli parlimen DAP dan satu-satunya Melayu yang menyertai DAP. Tetapi akhirnya beliau meninggalkan parti itu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.




UMNO AKAN PECAT AHLI SABOTAJ PARTI


UMNO akan memecat mana-mana pemimpin atau ahlinya yang mensabotaj jentera parti dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, 25 Ogos ini.


Sehubungan itu Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan memantau secara serius perjalanan jentera Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil itu dan tidak akan berkompromi dalam soal kesetiaan kepada parti.


Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang menegaskan, mana-mana ahli UMNO di Permatang Pauh atau di mana-mana tempat di Pulau Pinang yang mensabotaj parti dalam pilihan raya akan dipecat dalam tempoh 60 hari.


''Saya tidak main-main dalam hal ini dan saya harap semua faham mesej ini," katanya pada sidang akhbar sebelum mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua peti undi BN untuk Pilihan Raya Kecil DUN Permatang Pasir di Permatang Pauh semalam.


Ahmad Zahid berkata, perpaduan parti perlu menjadi keutamaan dan segala persengketaan terutamanya yang bersifat peribadi perlu diketepikan bagi memastikan jentera parti betul-betul mantap.


Katanya, semua pemimpin sama ada yang sudah lama atau baru mesti mempamerkan kesungguhan dan diberi peranan masing-masing bagi melicinkan jentera pilihan raya.


''Kita perlu ingat, sebelum kita hendak mempengaruhi pengundi lain, kita mesti mempengaruhi ahli-ahli UMNO terlebih dahulu," katanya.

PENDAKWA SPRM TIDAK CEKAP?


Nampaknya banyak kes SPRM yang dibawa ke mahkamah kalah sejak akhir-akhir ini. Kes Datuk Ramli Yusof, bekas Pengarah Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia tersungkur bila peguamnya, Datuk Muhammad Shafee berjaya membuktikan bahawa Ramli tidak bersalah.


Semalam Tan Sri Kasitah Gaddam, bekas Menteri Tanah dan Koperasi terlepas. Kalau begini gayanya orang besar yang didakwa oleh SPRM terlepas, maknanya orang tidak akan hormati SPRM lagi. Sebaliknya bila orang kecil didakwa di mahkamah, tersangkut pula.


Oleh itu Pesuruhjaya PSRM, Datuk Ahmad Said Hamdan perlu melihat hal ini secara serius. Kalau perlu semua pendakwa SPRM hendaklah dilatih supaya semua kes yang dibawa ke mahkamah biarlah tersangkut supaya orang segan dan gerun kepada SPRM.


Sejak kebelakangan ini SPRM begitu serius menyiasat sebarang aduan. Yang peliknya orang ramai pertikai bila asyik menyiasat wakil rakyat pembangkang sedangkan aduan terhadap wakil rakyat BN tidak disiasat. Orang ramai mula menyamakan SPRM dengan BPR yang tiada taring dan jadi alat kepada BN. Bila ADUN Kemasik, Ir Rosli ditahan SPRM, Datuk Seri Najib berkata ia bukti SPRM bukan alat kepada BN. Jika Ir Rosli ambil peguam terkenal seperti Datuk Muhammad Shafee, saya yakin beliau akan terlepas juga.


Oleh itu sebelum mendakwa seseorang SPRM kena pastikan mereka punya kekuatan untuk menangi kes. Jika tidak, buang masa saja bawa kes itu ke mahkamah. Kita harap SPRM tidak jadi seperti BPR yang hilang wibawanya. Kita lihat dulu kes Datuk Dr. jeffrey Kitingan. Bila dia bersama PBS dan merancang membawa Sabah keluar dari Malaysia, beliau didakwa oleh BPR ketika menjadi Pengarah Yayasan Sabah. Sebaliknya bila dia menyertai parti komponen BN dan dilantik timbalan menteri, kesnya ditarik balik. Kini beliau bersama PKR dan kesnya sudah selamat. Jadi di mana letaknya kewibawaan BPR? Oleh itu SPRM jangan jadi seperti BPR yang membuat pendakwaan terpilih.