Nampaknya banyak kes SPRM yang dibawa ke mahkamah kalah sejak akhir-akhir ini. Kes Datuk Ramli Yusof, bekas Pengarah Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia tersungkur bila peguamnya, Datuk Muhammad Shafee berjaya membuktikan bahawa Ramli tidak bersalah.
Semalam Tan Sri Kasitah Gaddam, bekas Menteri Tanah dan Koperasi terlepas. Kalau begini gayanya orang besar yang didakwa oleh SPRM terlepas, maknanya orang tidak akan hormati SPRM lagi. Sebaliknya bila orang kecil didakwa di mahkamah, tersangkut pula.
Oleh itu Pesuruhjaya PSRM, Datuk Ahmad Said Hamdan perlu melihat hal ini secara serius. Kalau perlu semua pendakwa SPRM hendaklah dilatih supaya semua kes yang dibawa ke mahkamah biarlah tersangkut supaya orang segan dan gerun kepada SPRM.
Sejak kebelakangan ini SPRM begitu serius menyiasat sebarang aduan. Yang peliknya orang ramai pertikai bila asyik menyiasat wakil rakyat pembangkang sedangkan aduan terhadap wakil rakyat BN tidak disiasat. Orang ramai mula menyamakan SPRM dengan BPR yang tiada taring dan jadi alat kepada BN. Bila ADUN Kemasik, Ir Rosli ditahan SPRM, Datuk Seri Najib berkata ia bukti SPRM bukan alat kepada BN. Jika Ir Rosli ambil peguam terkenal seperti Datuk Muhammad Shafee, saya yakin beliau akan terlepas juga.
Oleh itu sebelum mendakwa seseorang SPRM kena pastikan mereka punya kekuatan untuk menangi kes. Jika tidak, buang masa saja bawa kes itu ke mahkamah. Kita harap SPRM tidak jadi seperti BPR yang hilang wibawanya. Kita lihat dulu kes Datuk Dr. jeffrey Kitingan. Bila dia bersama PBS dan merancang membawa Sabah keluar dari Malaysia, beliau didakwa oleh BPR ketika menjadi Pengarah Yayasan Sabah. Sebaliknya bila dia menyertai parti komponen BN dan dilantik timbalan menteri, kesnya ditarik balik. Kini beliau bersama PKR dan kesnya sudah selamat. Jadi di mana letaknya kewibawaan BPR? Oleh itu SPRM jangan jadi seperti BPR yang membuat pendakwaan terpilih.