Rabu, Oktober 14, 2009

TIDAK RAMAI SEPERTI DAHULU


Semalam hari pertama persidangan UMNO. Sebelah pagi para perwakilan pemuda, wanita dan puteri mendaftar diri manakala di sebelah petang para perwakilan mendengar taklimat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. Sebelah malam pula Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan serentak persidangan pemuda, wanita dan puteri.

Saya teringat pada perhimpunan agung UMNO pada tahun 1997. Ketika itu saya adalah perwakilan pemuda Kemaman bersama Ahmad Said (kini Menteri Besar) dan Wan Ahmad Nizam Wan Hamid (kini Setiausaha Politik Menteri Besar). Saya dipilih mewakili 30 pemuda untuk mengikuti perhimpunan agung UMNO selama tiga hari pada keesokannya. Itulah kenangan paling manis dalam hidup saya dapat jadi perwakilan dalam persidangan pemuda dan perhimpunan agung UMNO sekaligus.

Saya seperti biasa turut pergi ke PWTC. Bersama seorang kawan, Burhanuddin Tan Sri Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Baha kami pergi ke PWTC pada jam 4.00 petang. Semalam tak ramai orang yang ada di PWTC. Begitu mudah kami lalu ikut gerai-gerai yang banyak di dalam PWTC itu. Ia tidak sama di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad jadi Presiden UMNO dahulu. Kalau dahulu dari hari pertama lagi kita nak masuk ke PWTC susah kerana ramai sangat orang tetapi semalam begitu mudah masuk ke sana. Apakah makna semuanya ini?Adakah kerana semalam hari pertama atau orang sudah tidak minat lagi menghadiri perhimpunan agung UMNO lagi?

Selepas itu kami ke tingkat empat di The Mall.Kami jumpa Pak Lah, seorang jurugambar bebas. Dahulu orang panggilnya Mat Blue kerana dia suka tayang blue filem kepada kawan-kawannya di Chow Kit. Dia pernah ditangkap polis kerana menayangkan blue filem. Sejak itu dia dipanggil Mat Blue. Kelebihan Pak Lah semua orang politik dia kenal. Bila suruh buat appointment untuk dapatkan iklan, susah pula.Kalau kenal orrang, tak perlu pergi ke ofis. Terus dapat call handphone orang politik yang didakwanya kenal. Itulah kelebihan Mat Blue. Semua orang dia kenal.

Selepas itu kami ke tingkat bawah jumpa Kisfi Zainal, bekas ahli jawatankuasa pemuda UMNO Bahagian Kemaman. Di hadapan meja kami kelihatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Sabri Alwi atau Mat Kerak dan Naib Ketuanya, Datuk Wan Hisham Wan Salleh. Wan Hisham adalah bekas Exco Kerajaan Terengganu dan abang kepada Datuk Wan Farid Wan salleh, Ketua UMNO Bahagian yang kalah dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu tahun lepas.

Mat Kerak ni memang kaya sekarang tapi kuat tipu orang. Nak tahu kisah dia tipu orang Cina, subkontraktor yang buat projek sekolahnya, kena tanya bekas Naib Ketua UMNO bahagian Kemaman, Md Rahim Husin. Saya pun pernah kena tipu masa pilihanraya kecil Kuala Terengganu. Saya sms Wan Farid minta sponsor bilik untuk WATAN sepanjang pilihanraya kecil tersebut.

Wan Farid suruh saya hubungi Mat Kerak.Bila saya hubungi Mat Kerak, dia kata bilik sudah habis. Dia suruh saya cari rumah sewa. Saya dapat sebuah rumah di Durian Burung kepunyaan dua pupu saya, Mohd.Kamal Mohd. Shah dengan harga RM3,000. Mat Kerak suruh saya runding dengan Kamal supaya turunkan harga hingga RM2,800.Kamal setuju.Pada hari penamaan calon, wartawan kami, aruah Jalil Yusuf pergi temui Mat Kerak untuk ambil duit.Dia kata dia tak terima pun arahan dari Wan farid. Saya sms Wan Farid, Wan Farid tak jawab. Saya call Wan Farid, Wan Farid tak angkat pasal nak tahu mengenai sewa rumah itu.Begitu juga saya sms Mat Kerak,Mat Kerak tak jawab. Saya call Mat Kerak, Mat Kerak tak angkat handphonenya. Ada juga penipu macam Mat Kerak.

Saya dapat tahu Mat Kerak dan Wan Hisham ambil semua bilik di hotel Primula dan jual pula bilik itu dengan harga yang lebih mahal kepada sesiapa yang mahu menginap di situ sepanjang pilihanraya kecil tersebut.Patutlah Wan Farid kalah dalam pilihanraya itu gara-gara tindakan timbalan dan ketua bahagiannya yang merosakkan nama baik beliau.

Semalam hari pertama persidangan, Muhyiddin menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Timbalan Presiden UMNO merasmikan persidangan serentak tiga sayapUMNO tersebut. Hari ini pemuda, wanita dan puteri bersidang. Sudah tentu ucapan sulung Khairy, Shahrizat dan Rosnah akan menjadi tumpuan para perwakilan.




SHAHRIZAT BAKAL PRESIDEN UMNO?


Kaum wanita sememangnya wajar diberi peluang menerajui parti-parti politik di negara ini kerana sifat semulajadi mereka yang sentiasa amanah dan bersungguh-sungguh ketika bekerja, kata Pengerusi Yayasan Suara Wanita Malaysia, Tan Sri Zaleha Ismail.

Beliau berkata, kaum wanita berpotensi menjadi pemimpin baik dalam parti politik kerana memiliki banyak kelebihan berbanding lelaki.

Menurutnya, antara kelebihan wanita mereka sentiasa melakukan kerja sepenuh hati apabila diamanahkan dan jarang sekali terlibat dalam gejala rasuah.

“Saya menyokong penuh gesaan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mahu parti-parti politik di negara ini ditunjangi wanita dalam menghayati polisi kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Pengalaman saya selama 40 tahun dalam politik mendapati wanita berpotensi menjadi pemimpin yang baik kerana memiliki sifat kesungguhan, penyabar dan cekal menghadapi cabaran,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Shahrizat bahawa sudah tiba masanya bagi parti-parti politik di negara ini ditunjangi oleh kaum wanita dalam menghayati polisi kerajaan BN.

Shahrizat memberitahu, perspektif golongan wanita mesti dibawa ke dalam parti induk UMNO dan urusan kerajaan.

Beliau berkata, rakyat Malaysia masih lagi masyarakat yang ‘patriarchal’ iaitu mengutamakan golongan lelaki berbanding wanita.

Ini kerana, katanya, walaupun jumlah keseluruhan keahlian Wanita UMNO sebanyak 1.35 juta orang, namun di peringkat cawangan dan bahagian mungkin tidak ada penyertaan golongan wanita.

Mengulas lanjut Zaleha yang juga bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat berkata, kekurangan wanita memegang jawatan penting dalam parti politik mengakibatkan ketidakseimbangan dalam kepimpinan di negara ini.

“Sekarang ini, kepimpinan dalam parti-parti politik sama ada BN atau pembangkang di negara ini jelas tidak seimbang.

“Ini kerana jumlah pemimpin wanita menerajui parti politik amat sedikit berbanding lelaki sedangkan mereka merupakan ahli yang paling ramai dalam parti,” katanya.

Zaleha mencadangkan agar setiap parti politik menyediakan sekurang-kurangnya 30 peratus kuota bagi jawatan dalam parti kepada wanita.

Beliau berkata, lebih ramai wanita perlu dilantik menjadi ketua cawangan dan bahagian parti serta menteri dalam kerajaan.

Tambahnya, pemimpin wanita mampu menarik sokongan rakyat terhadap kerajaan kerana 52 peratus daripada pengundi di negara ini merupakan kaum hawa.