Rabu, Julai 17, 2013
PRK KUALA BESUT 4
KUALA BESUT: Nampaknya hari raya belum tiba, tetapi para penduduk Kuala Besut sudah berhari raya. Mereka gembira mendengar durian runtuh yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Inilah untungnya bila ada pilihanraya kecil. BN akan tabur pelbagai projek untuk memancing undi. Semalam dalam sidang media, Muhyiddin yang juga Pengarah PRK BN mengumumkan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersetuju dengan projek berjumlah RM250 juta untuk mendalamkan Sungai Besut. Menurutnya lagi, sebanyak RM500 ribu diperuntukkan untuk melantik perunding bagi membuat kajian projek tersebut, memandangkan sebelum ini dilaksanakan secara ad hoc yang menelan belanja antara RM10 hingga RM20 juta. Selain dari itu, beliau turut mengumumkan peruntukan menaik taraf Masjid Haji Ishak, Kampung Dengir sebanyak RM343,000 selepas solat tewarih di masjid tersebut malam tadi manakala di sebelah siang beliau menghadiri majlis pecah tanah pembinaan Sekolah Menengah Alor Peroi. Muhyiddin menolak dakwaan pembangkang bahawa semua projek yang diumumkan adalah bermotif politik. Katanya, ia sudah lama dirancang dan bukannya projek ad hock. Katanya lagi, kebetulan ia diumumkan pada musim pilihanraya kecil. Sabtu lalu kerajaan negeri Terengganu mengumumkan peruntukan bernilai lebih RM10 juta untuk membina pangsapuri empat tingkat merangkumi 72 unit di Kampung Lay Out. PAS mendakwa tapak tanah untuk buat pangsapuri empat tingkat itu dirampas dari tanah orang kampung tanpa dibayar pampasan. Sebaliknya Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menafikan ia tanah milik orang kampung. Katanya, tanah itu adalah tanah milik kerajaan. “Pada zaman PAS memerintah Terengganu (1999-2004), Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) memberi borang kepada orang ramai untuk dapatkan tanah lot tapi borang itu tidak pernah sampai ke Pejabat Tanah. Jadi bila BN menang pada tahun 2004, kerajaan batalkan permohonan itu kerana ia tidak ikut prosedur,” jelas beliau. Tanah kurnia PAS juga mendakwa wakil rakyat BN turut mendapat satu hektar tanah sedangkan rakyat nak dapat satu lot tanah pun susah. ADUN Hulu Besut, Nawi didakwa memiliki tanah PT6904 dalam kawasan Bukit Dendong, mukim Tembila, Besut. Tiga lagi menghadapi dakwaan sama: bekas ahli parlimen Besut, Datuk Abdullah Mohd Zin (PT6964), ADUN Jerteh, Mohamad Pehimi Yusof (PT6903) dan ahli parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh (PT6902). Nawi mengakui memiliki tanah itu tetapi beliau berkata rakyat pun dapat juga tanah kurnia manakala tiga wakil rakyat lagi membisu. Dua hari lepas. PAS menyerang secara langsung kegagalan calon BN ketika bertugas sebagai Jurutera Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Daerah Besut dari tahun 2008 – 2013. Kegagalan paling besar beliau selaku Jurutera JPS adalah membaik pulih Empangan Lowvier Kampung Nangka yang menyebabkan 1,000 ekar sawah padi kering kontang dan tidak boleh digunakan sejak dua tahun lalu. Akibatnya 400 keluarga petani atau kira-kira 2,000 penduduk hilang mata pencarian dan tidak boleh menanam padi sejak tiga musim lalu. “Saya meletakkan kesalahan ini di atas bahu Tengku Zaihan selaku pegawai yang bertanggungjawab,” kata Datuk Abu Bakar Chik yang pernah menjadi Exco Pertanian (1999-2004). Sehingga ini Tengku Zaihan belum menjawab tuduhan PAS itu. Ramai yang beranggapan, jika PAS menang dalam pilihan raya ini, faktor utamanya adalah calonnya iaitu Che Long berbanding dengan calon BN yang hanya sekolah rendah di Besut, manakala sekolah menengah dan universiti di luar Besut. Beliau juga kini tinggal di Putrajaya dan hanya berharap kepada bapanya seorang bekas guru agama Felda.(dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)
PRK KUALA BESUT 3
KUALA BESUT: Hari pembuangan undi pilihanraya kecil (PRK) Kuala Besut pada 24 Julai tinggal 9 hari lagi.Semakin hampir hari pembuangan undi, kempen kedua parti semakin rancak.
Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kecewa kerana Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak membenarkan RTM membuat liputan langsung ketika pengiraan undi berlangsung pada 24 Julai nanti.
“Saya tidak ada kuasa mengarahkan SPR kerana SPR adalah badan bebas,” kata beliau yang lebih terbuka sifatnya. Di zaman beliau menjadi Menteri Peneranganlah, beliau memperkenalkan siaran langsung sidang Dewan Rakyat di RTM.
Pengarah PRK PAS, Datuk Husam Musa mahu RTM beri liputan yang sama kepada calon PAS. Menjawab permintaan Husam, Shabery berkata tidak ada masalah kalau percakapan calon PAS ada nilai berita.
PRK Kuala Besut menjadi medan melaga-lagakan di antara Timbalan Pengarah PRK BN, Datuk Seri Idris Jusoh dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
“Kalau PAS menang, Idris yang untung,” kata Husam.
Idris menafikan hubungannya dengan Ahmad Said tidak baik. Dia kata dia selalu makan semeja. Idris sudah menerima takdir bahawa Ahmad sudah dipilih menjadi Menteri Besar buat penggal kedua.
Naib Presiden PAS, Sallehudin Ayub berkata PAS tidak berminat untuk melaga-lagakan di antara Idris dengan Ahmad. Katanya, PAS tidak berminat memainkan isu mereka berdua tidak sehaluan.
Ahmad menerima tamparan hebat apabila tidak dilantik mengetuai jentera PRK Kuala Besut. Jentera BN diketuai oleh Timbalan Pengerusi BN Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala Idris yang juga Ketua Umno Bahagian Besut dilantik timbalannya.
Pada hari penamaan calon, semua tokoh BN memakai baju berwarna biru termasuk Muhyiddin, Idris dan calon BN, Tengku Zaihan tetapi Ahmad Said pakai baju warna merah.
Hari ini akhbar melaporkan calon PAS, Azlan Yusof tidak dibenarkan buat kenyataan media kerana tersalah cakap dua hari lalu bahawa dia akan serahkan tugas wakil rakyat kepada orang lain.
Semua kenyataan mengenai calon akan dibuat melalui pengurus kempennya, Hanafiah Mat yang juga ADUN Chukai.
Menurut Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, calon cakap dialek Kelantan, itu yang media salah lapor. Apa yang dicakapnya tidak sama dengan apa yang dimaksudkannya.
Faktor calon tak pandai bercakap
Kalau calon sudah tak pandai bercakap, macam mana dia nak berhujah dalam Dewan Undangan Negeri. Faktor ini perlu diambil kira 17,000 pengundi yang akan buat penentuan sama ada mahu calon BN yang pandai bercakap (jurutera) atau calon PAS (kontraktor) yang mampu bercakap di kedai kopi sahaja.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menafikan PKR Terengganu memboikot calon PAS. Menurut Azmin, pada hari penamaan calon, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail terpaksa menghadiri kes mahkamah di Kuala Lumpur.
Pada mulanya memang PKR menuntut calonnya diberi peluang bertanding di Kuala Besut tetapi PAS kata ia adalah kerusi milik PAS dari dahulu lagi. Malah PAS pernah menang pada tahun 1969, 1974 dan 1999 maka sudah tentu PAS enggan beri laluan kepada PKR bertanding di situ.
Perbalahan di antara PAS-PKR menguntungkan BN. Sebab itu Tan Sri Anuar Musa berkata Kuala Besut tetap kubu kuat BN.
“Walaupun Kuala Besut bersempadan dengan Kelantan, tetapi pengaruh PAS di Kelantan tidak menular ke Kuala Besut,” katanya.
Terpulanglah kepada pengundi Kuala Besut untuk membuat penilaian siapa yang layak jadi wakil rakyat mereka. (dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)
PRK KUALA BESUT 2
KUALA BESUT: Seperti dijangka pada hari penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut semalam, calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Rahman akan ditentang calon PAS, Azlan@Endut bin Yusof.(gambar)
Kedua-dua mereka adalah calon tempatan. Calon PAS lebih dikenali masyarakat Kuala Besut kerana beliau yang mesra dengan nama Che Long mudah bergaul dengan orang ramai.
Walaupun beliau seorang yang pendiam tetapi beliau adalah seorang dermawan. Setiap kali masuk kedai kopi, dia akan bayar semua meja, tabiat yang diamalkannya sejak dahulu.
Calon BN kurang dikenali kerana bekerja di Putrajaya sebagai jurutera di Jabatan Parit dan Saliran (JPS) tetapi masyarakat Kuala Besut mengenali keluarganya yang ramai di situ sekitar 3,000 orang.
Faktor keluarga menjadi antara sandaran terbesar bagi Tengku Zaihan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ini.
Rata-rata penduduk yang ditemui sekitar Kuala Besut mengakui faktor keluarga Tengku Zaihan memberi kelebihan padanya dalam pilihan raya kecil 24 Julai ini.
Bapanya Che Ku Abdul Rahman amat kenali di kalangan penduduk tempatan kerana pernah mengajar agama di masjid sekitar kawasan itu bahkan mempunyai ramai anak murid.
Che Ku, yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Umno Besut dipetik sebagai berkata, keluarga besarnya yang dianggarkan seramai 3,000 itu akan memberi kelebihan kepada anaknya.
Hubungan keluarga
“Di kalangan ahli keluarga itu, ada yang terdiri daripada pembangkang, tetapi menyatakan persetujuan untuk menyokong BN kerana faktor keluarga,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.
Malah keluarga Tengku Zaihan juga mempunyai persatuan dan koperasi keluarga yang dikenali sebagai “Keluarga Tuan Fatimah Tuan Long”.
Che Long ketika menjawab isu ini berkata beliau juga mempunyai saudara mara yang ramai di Kuala Besut. Maka seramai 17,000 pengundi akan menentukan nasib mereka pada 24 Julai ini.
Berdasarkan hubungan keluarga, Tengku Zaihan sudah menang di atas kertas. Sebab itu Timbalan Pengarah PRK Kuala Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yakin BN akan menang dengan majoriti 4,000 undi.
Pada pilihanraya umum dua bulan lepas, calon BN, Dr Abdul Rahman Mokhtar menang dengan majoriti 2,434 undi mengalahkan calon PAS, Napisah Ismail calon wanita PAS yang pertama di Terengganu.
PRK itu diadakan ekoran kematian Abdul Rahman akibat kanser.
Pada hari penamanan calon semalam, nama Idris lebih menonjol dari Tengku Zaihan, calon BN. Seolah-olah Idris yang bertanding.
Pengarah PRK PAS, Datuk Husam Musa melaga-lagakan di antara Idris dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Husam mendakwa Idris masih berdendam dengan Ahmad Said kerana Ahmad merampas kerusi Menteri Besar dari tangan Idris. Idris menafikan dakwaan Husam yang mengatakan PAS sudah tiada modal sedangkan isu itu sudah lama selesai.
“Kalau PAS menang, Idris yang untung kerana kedudukan Ahmad sebagai MB tergugat,” kata Husam.
Pengundi di Besut beri kemenangan besar kepada BN pada pilihanraya umum lalu. Semua DUN, BN menang iaitu Kuala Besut, Kota Putera, Jertih dan Hulu Besut. Ini bermakna orang Besut tidak pernah ada hasrat untuk menjatuhkan Ahmad Said sebagai MB.
Jika tidak BN Terengganu kecundang seperti tahun 1999 apabila BN kalah keempat-empat kerusi DUN.
Media
Dalam pilihanraya, setiap calon kena berhati-hati bila bercakap dengan media. Jika tidak percakapan mereka akan diputarbelit oleh media apatah lagi jika calon itu calon parti pembangkang.
Semalam Che Long mengatakan bahawa beliau sibuk dengan perniagaannya di Kota Bharu, maka tugas wakil rakyat akan diserah kepada pegawai khasnya.
Secepat itu BN menyebarkan video temuramah Che Long kepada para pengundi Kuala Besut. Adakah wakil rakyat seperti Che Long yang rakyat Kuala Besut mahu?, tanya para pengkempen BN.
Idris mengatakan dahulu Che Long adalah ahli Umno di Gong Nering tetapi beliau telah dipecat dari Umno kerana beliau cenderung kepada PAS. Che Long menjawab dia masuk Umno masa dia belum akil baligh lagi.
“Dahulu saya masuk Umno, kerana saya belum cerdik,” katanya sinis.
Soal Che Long pernah jadi ahli Umno tidak patut dijadikan isu kerana seolah-olah menaikkan imej Che Long yang pernah dipecat setaraf dengan bekas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dipecat dari Umno.
Siapa yang menjadi pilihan rakyat Kuala Besut pada 24 Julai ini? Adakah Tengku Zaihan yang ada perancangan untuk memajukan Kuala Besut atau Che Long yang sudah sebati dengan masyarakat Kuala Besut? Tepuk dada tanya selera.
(dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)
PRK KUALA BESUT 1
KUALA BESUT: Siapa yang akan lawan siapa pada pilihanraya kecil Kuala Besut pada 24 Julai ini sudah diketahui umum malam tadi. Petang semalam, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengumumkan Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, sebagai calonnya manakala Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang mengumumkan di sebelah malam calonnya, Haji Azlan@Endut bin Yusof,48. Walaupun DAP mencadangkan supaya PAS memboikot pilihanraya kecil Kuala Besut, PAS tidak mengindahkan cadangan itu kerana ini peluang bagi PAS untuk menambah kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu. Kini DUN Terengganu mempunyai 16 ADUN BN manakala PAS mempunyai 15 ADUN. Jika PAS menang, maka DUN Terengganu akan tergantung kerana mempunyai kerusi yang sama banyak 16-16 dengan BN. Oleh itu pilihanraya kecil Kuala Besut amat penting bagi PAS. Tambahan pula PAS pernah menang pada pilihanraya umum 1969, 1974 dan 1999 di kawasan tersebut.Ini memberi semangat kepada PAS untuk merampas kerusi Kuala Besut. Yang menariknya, kedua-dua calon adalah anak tempatan. Tengku Zaihan anak kelahiran Kampung Nail dan pernah menjadi jurutera JPS Daerah Besut manakala Haji Azlan pula anak kelahiran Kampung Baharu seorang kontraktor yang juga Bendahari PAS Bahagian Besut Kalau dahulu BN meletakkan doktor (Dr Abdul Rahman Mokhtar), kini BN meletakkan seorang jurutera pula. Ini menggambarkan kehendak Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang sentiasa mengalu-alukan golongan profesional sebagai wakil rakyat BN. Khabarnya Idris telah mencalonkan nama Tengku Zaihan sebagai calon BN pada pilihanraya umum lalu tetapi Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mahu Dr Abdul Rahman dikekalkan sebagai calon walaupun beliau baru menjalani pembedahan jantung. Sudah tentu berdasarkan kelulusan, calon PAS yang lulus SPM tidak setaraf dengan calon BN. Tetapi dalam politik, rakyat tidak pandang kelulusan tinggi jika calonnya tidak mesra rakyat. Pada tahun 2008, calon BN,Dr Abdul Rahman mengalahkan Nik Zawawi Nik Salleh(PAS) dengan majoriti 2,631 undi. Pada pilihanraya umum lalu, Dr Abdul Rahman menang lagi tetapi dengan majoriti yang menurun 197 undi iaitu sebanyak 2,434 undi mengalahkan calon wanita dari PAS, Napisah Ismail. Oleh itu peluang PAS untuk menang dalam pilihanraya kecil ini agak tipis kecuali PAS meletakkan calon profesional yang setaraf dengan calon BN. Tetapi untuk menang dengan majoriti 4,000 undi seperti yang diramalkan Idris Jusoh agak samar. Pemerhati politik yakin BN tetap menang tetapi dengan majoriti yang kurang dari 2,434 undi kerana jentera Pakatan Rakyat akan berkempen habis-habisan untuk pastikan PAS dan BN dapat kerusi yang sama banyak dalam DUN Terengganu. PAS perlu kerja kuat untuk menang, Ia pernah menang di Kuala Besut pada tahun 1999. Akan tetapi PAS kena ingat PAS menang pada tahun 1999 kerana orang Umno sendiri yang mengundi PAS. Ketika itu orang Umno protes kerana Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad masih bertanding walaupun sudah 25 tahun menjadi Menteri Besar. Terpulanglah kepada para pengundi Kuala Besut untuk memilih jurutera atau kontraktor sebagai wakil rakyatnya. 17,683 orang pengundi akan memberi jawapan pada 24 ( dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)
Langgan:
Catatan (Atom)