Rabu, Julai 17, 2013
PRK KUALA BESUT 2
KUALA BESUT: Seperti dijangka pada hari penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Kuala Besut semalam, calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Rahman akan ditentang calon PAS, Azlan@Endut bin Yusof.(gambar)
Kedua-dua mereka adalah calon tempatan. Calon PAS lebih dikenali masyarakat Kuala Besut kerana beliau yang mesra dengan nama Che Long mudah bergaul dengan orang ramai.
Walaupun beliau seorang yang pendiam tetapi beliau adalah seorang dermawan. Setiap kali masuk kedai kopi, dia akan bayar semua meja, tabiat yang diamalkannya sejak dahulu.
Calon BN kurang dikenali kerana bekerja di Putrajaya sebagai jurutera di Jabatan Parit dan Saliran (JPS) tetapi masyarakat Kuala Besut mengenali keluarganya yang ramai di situ sekitar 3,000 orang.
Faktor keluarga menjadi antara sandaran terbesar bagi Tengku Zaihan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ini.
Rata-rata penduduk yang ditemui sekitar Kuala Besut mengakui faktor keluarga Tengku Zaihan memberi kelebihan padanya dalam pilihan raya kecil 24 Julai ini.
Bapanya Che Ku Abdul Rahman amat kenali di kalangan penduduk tempatan kerana pernah mengajar agama di masjid sekitar kawasan itu bahkan mempunyai ramai anak murid.
Che Ku, yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Umno Besut dipetik sebagai berkata, keluarga besarnya yang dianggarkan seramai 3,000 itu akan memberi kelebihan kepada anaknya.
Hubungan keluarga
“Di kalangan ahli keluarga itu, ada yang terdiri daripada pembangkang, tetapi menyatakan persetujuan untuk menyokong BN kerana faktor keluarga,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.
Malah keluarga Tengku Zaihan juga mempunyai persatuan dan koperasi keluarga yang dikenali sebagai “Keluarga Tuan Fatimah Tuan Long”.
Che Long ketika menjawab isu ini berkata beliau juga mempunyai saudara mara yang ramai di Kuala Besut. Maka seramai 17,000 pengundi akan menentukan nasib mereka pada 24 Julai ini.
Berdasarkan hubungan keluarga, Tengku Zaihan sudah menang di atas kertas. Sebab itu Timbalan Pengarah PRK Kuala Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yakin BN akan menang dengan majoriti 4,000 undi.
Pada pilihanraya umum dua bulan lepas, calon BN, Dr Abdul Rahman Mokhtar menang dengan majoriti 2,434 undi mengalahkan calon PAS, Napisah Ismail calon wanita PAS yang pertama di Terengganu.
PRK itu diadakan ekoran kematian Abdul Rahman akibat kanser.
Pada hari penamanan calon semalam, nama Idris lebih menonjol dari Tengku Zaihan, calon BN. Seolah-olah Idris yang bertanding.
Pengarah PRK PAS, Datuk Husam Musa melaga-lagakan di antara Idris dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Husam mendakwa Idris masih berdendam dengan Ahmad Said kerana Ahmad merampas kerusi Menteri Besar dari tangan Idris. Idris menafikan dakwaan Husam yang mengatakan PAS sudah tiada modal sedangkan isu itu sudah lama selesai.
“Kalau PAS menang, Idris yang untung kerana kedudukan Ahmad sebagai MB tergugat,” kata Husam.
Pengundi di Besut beri kemenangan besar kepada BN pada pilihanraya umum lalu. Semua DUN, BN menang iaitu Kuala Besut, Kota Putera, Jertih dan Hulu Besut. Ini bermakna orang Besut tidak pernah ada hasrat untuk menjatuhkan Ahmad Said sebagai MB.
Jika tidak BN Terengganu kecundang seperti tahun 1999 apabila BN kalah keempat-empat kerusi DUN.
Media
Dalam pilihanraya, setiap calon kena berhati-hati bila bercakap dengan media. Jika tidak percakapan mereka akan diputarbelit oleh media apatah lagi jika calon itu calon parti pembangkang.
Semalam Che Long mengatakan bahawa beliau sibuk dengan perniagaannya di Kota Bharu, maka tugas wakil rakyat akan diserah kepada pegawai khasnya.
Secepat itu BN menyebarkan video temuramah Che Long kepada para pengundi Kuala Besut. Adakah wakil rakyat seperti Che Long yang rakyat Kuala Besut mahu?, tanya para pengkempen BN.
Idris mengatakan dahulu Che Long adalah ahli Umno di Gong Nering tetapi beliau telah dipecat dari Umno kerana beliau cenderung kepada PAS. Che Long menjawab dia masuk Umno masa dia belum akil baligh lagi.
“Dahulu saya masuk Umno, kerana saya belum cerdik,” katanya sinis.
Soal Che Long pernah jadi ahli Umno tidak patut dijadikan isu kerana seolah-olah menaikkan imej Che Long yang pernah dipecat setaraf dengan bekas Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dipecat dari Umno.
Siapa yang menjadi pilihan rakyat Kuala Besut pada 24 Julai ini? Adakah Tengku Zaihan yang ada perancangan untuk memajukan Kuala Besut atau Che Long yang sudah sebati dengan masyarakat Kuala Besut? Tepuk dada tanya selera.
(dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)