Sabtu, Oktober 16, 2010

BUKAN BAJET PILIHANRAYA


Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap semua lapisan masyarakat, sekali gus mampu meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

Sambil menegaskan ia bukan bajet pilihan raya, Timbalan Perdana Menteri berkata, Bajet 2011 itu juga merupakan satu lonjakan ke arah mentransformasi Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, Bajet 2011 itu turut melakar harapan baru bagi rakyat apabila pelaksanaannya kali ini mengambil kira input serta cadangan daripada mereka.

''Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri atas pembentangan Bajet 2011 yang bagi saya cukup istimewa serta bakal memberi kesan yang maksimum kepada rakyat.

''Saya yakin semua pihak yang mendengar bajet kali ini akan berpuas hati kerana seperti mana yang disebut oleh Perdana Menteri, Bajet 2011 adalah bajet rakyat hasil maklum balas yang diterima oleh kerajaan daripada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi reaksi terhadap bajet 2011 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam.

Ringkasnya Muhyiddin berkata, pengumuman Perdana Menteri melalui Bajet 2011 bukan sahaja melibatkan rakyat bandar dan luar bandar malah ia turut mencakupi sektor-sektor utama yang akhir berperanan menyediakan landasan jelas ke arah menjadikan Malaysia negara maju.

"Saya amat menyanjungi segala usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri ini. Selain berusaha memberi yang terbaik untuk rakyat kesediannya memberi respons terhadap cadangan rakyat juga amat memberangsangkan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan pembangkang bahawa Bajet kali ini bajet pilihan raya Muhyiddin berkata:

''Ini bukan bajet pilihan raya tetapi apa yang penting melalui pengumuman Perdana Menteri itu semua peringkat rakyat jelata tahu bahawa mereka akan memperoleh nikmat dan faedahnya."

Beliau berkata, Bajet 2011 bukan disebabkan tujuan tertentu tetapi semata-mata memastikan rakyat dapat hidup selesa pada masa akan datang.

Sementara itu ditanya mengenai pembangunan projek-projek berimpak tinggi Muhyiddin berkata, maklumat mengenai projek-projek yang akan dilaksanakan, termasuk projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) akan diumumkan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.

Mengenai projek pembangunan Warisan Merdeka, iaitu pembangunan menara 100 tingkat yang tertinggi di Malaysia, Muhyiddin berkata, ia dijangka akan dibina di sekitar Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

Projek itu yang bakal menjadi satu lagi mercu tanda kebanggaan negara menjelang 2020 bernilai RM5 bilion dan menaranya dijangka siap pada 2015.