Khamis, April 04, 2019

MAT HASSAN BERHENTI MB TINGGALKAN RIZAB RM764 JUTA



REMBAU 1 April - Datuk Seri Mohamad Hasan mempersoalkan kenapa banyak projek di Negeri Sembilan dibatalkan, sedangkan beliau meninggalkan rizab yang besar berjumlah RM764 juta ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan negeri.

Bekas Menteri Besar itu berkata, yang paling mengecewakan apabila perancangannya sebelum ini untuk memodenkan negeri ini bagi tempoh 30 tahun dari 2015 hingga 2045 tidak diteruskan kerajaan sedia ada.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau itu berkata, antara projek yang terbengkalai ialah pembinaan jalan pintasan Kuala Pilah dan kereta api Port Dickson-Seremban, manakala pembinaan tiga masjid di Jempol, Seremban dan Tampin yang diluluskan kerajaan BN sebelum ini dibatalkan.

“Projek kerajaan dibatalkan untuk menjimatkan kewa­ngan tetapi nampaknya kerajaan masih tak ada wang. Saya pergi ke Pekan Saga baru-baru ini ada beberapa wanita warga emas hampir menangis kerana bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dipotong atau dihentikan empat hingga lima bulan.

“Saya hairan, mengapa keadaan ini berlaku kerana dalam belanjawan yang dibentangkan tahun lalu menunjukkan rizab yang saya tinggalkan begitu tinggi sebanyak RM764 juta.

“Ini yang saya tak faham dan ramai amat kecewa. Ini menunjukkan bahawa memang kerajaan Pakatan Harapan tak ada harapan, tak boleh diharap,” katanya ketika berucap semasa berkempen di Kampung Sendayan di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau sejak 2004 menegaskan bahawa perpaduan yang wujud antara orang Melayu dan kaum lain boleh menjadi kunci kepada kejayaan negara.


“Sudah terbukti apabila Melayu bersatu, kita boleh mendapatkan kemerdekaan, negara stabil dan kita berjaya memajukan negara. Sebab itu apabila saya mahu satukan orang Melayu adakah kami dianggap rasis? Jangan main sentimen perkauman, semua akan rugi kalau negara terjerumus dalam masalah perkauman yang tak terkawal,” katanya.