Jumaat, Mac 11, 2016

PERTUKARAN KETUA PUTERI TERENGGANU PERKARA BIASA

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Ketua Puteri UMNO Terengganu, Rozita Ismail akan ditukar dan pelantikan baharu akan diumumkan kemudian, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata mesyuarat pengurusan pergerakan itu pada Isnin lepas telah memutuskan untuk menukar Rozita.

"Bagaimanapun bila ambil kira apa yang berlaku di Terengganu, jadi saya ambil keputusan untuk menangguhkan pelantikan tersebut. Tukar tetap tukar tapi saya tangguhkan dulu sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak," katanya kepada Bernama di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada surat perlantikan Ketua Puteri UMNO Bahagian Besut, Erniesalwani Saidi sebagai Ketua Puteri UMNO Terengganu baharu yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp.

Mas Ermieyati berkata pertukaran pucuk pimpinan Puteri UMNO negeri adalah perkara biasa dan sudah berlaku sejak zaman kepimpinan terdahulu.

"Diharap mereka akan terus berjiwa besar dan istiqamah dalam perjuangan," katanya.

Sementara itu, di Terengganu, Rozita, yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu, berkata beliau dimaklumkan mengenai pertukaran tersebut menerusi panggilan telefon daripada setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Pusat hari ini.

Namun, katanya beliau belum menerima sebarang notis berhubung perkembangan penangguhan pertukaran itu.

"Saya akur dan menerima sebarang keputusan dengan rasa hormat dan saya percaya ia telah ditimbang secara adil dan saksama walau apapun jua sebabnya," katanya ketika dihubungi.

-- BERNAMA