Ahad, Julai 10, 2016

NGOR BIADAP KATA ISMAIL SABRI

BERA, 9 Julai (Bernama) -- Tindakan Anggota Parlimen Taiping, Perak, Nga Kor Ming memuat naik status dalam akaun Facebook (FB) miliknya menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri disifatkan sebagai tindakan biadab dan sengaja mencari publisiti murahan.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perbuatan itu juga menyinggung perasaan umat Islam dan tidak menghormati amalan tradisi yang telah diamalkan masyarakat Melayu sejak turun temurun.

"Ini merupakan perbuatan biadab dan kurang ajar. Ia tidak patut berlaku kerana pemberian duit raya ini bukan satu perkara baru, tetapi untuk mengembirakan kanak-kanak.

"Sebab itu ia diberi kepada golongan itu dan bukannya kepada orang dewasa dan perkara ini juga
diamalkan masyarakat Cina yang memberi ang pau semasa Tahun Baru Cina," katanya.

"Budaya ini sama saja baik kaum Melayu, dan Cina, malah kaum India sendiri pun semasa Depavali kita beri bantuan kepada golongan memerlukan untuk meringankan bebanan mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri 2016 Parlimen Bera di sini hari ini.

Majlis yang diadakan bermula pukul 9 pagi dan berakhir 2 petang itu dihadiri hampir 20,000 orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menuntut Kor Ming agar segera meminta maaf kerana tindakannya yang tidak bertanggungjawab mempersendakan Aidilfitri dengan menyamakan sedekah duit raya sebagai rasuah dan 'dedak'.

Di MANJUNG, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pula menyifatkan tindakan Kor Ming sebagai tidak matang.

Zambry berkata sebagai seorang anggota Parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri yang berpengalaman dan berpendidikan, beliau tidak sepatutnya menulis sesuatu perkara yang boleh mencetuskan kontroversi apatah lagi ketika umat Islam menyambut Aidilfitri.

"Bagi umat Islam ia amat sensitif apabila kita meletakkan sesuatu yang tidak kena pada tempatnya," katanya kepada pemberita pada Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2016 dan majlis meraikan perkahwinan anak beliau, Shifa dengan Wan Muhammad Ihsan Wan Sabri di perkarangan Dewan Merdeka.

Dalam pada itu, Zambry berkata dialog karikatur berkenaan merupakan satu bentuk penghinaan yang mana mereka telah menghina tradisi berkurun masyarakat Melayu di negara ini.

"Begitu juga dengan masyarakat Cina, adakah pemberian angpau itu dianggap dedak?, ini adalah perbuatan menghina yang tidak wajar dilakukan," katanya.

Di IPOH, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap Kor Ming bagi mengelak perbuatan itu menjadi ikutan individu lain yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata mainan politik pemimpin DAP itu amat berbahaya kerana ia melambangkan sikap ekstremis serta akan menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

"Saya meminta pihak berkuasa jangan menunggu lama untuk menahan (Kor Ming) dan menyiasat perkara ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta pihak berkuasa supaya memperketatkan kawalan di sempadan bagi mencegah penyeludupan senjata api dan bahan letupan daripada masuk ke negara ini.

Selain itu, beliau turut menggesa golongan belia yang terjebak dengan kumpulan militan Daesh di luar negara supaya pulang ke pangkal jalan dengan segera.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon menyifatkan tindakan Kor Ming itu sebagai melampau, angkuh dan tidak sensitif serta menimbulkan kemarahan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata sebagai anggota Parlimen yang berpengalaman, beliau sepatutnya faham mengenai suasana dan sensitiviti rakyat negara ini sebelum memuat naik mesej sebegitu di media sosial.

"Saya harap beliau akan insaf dan berhenti mengganggu keharmonian negara dengan entri-entri seperti itu dalam Facebooknya," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara yang akan menyertai pertandingan matematik, debat, konvensyen di Hong Kong, Switzerland, Jepun dan Jerman.

-- BERNAMA

SARAWAK REPORT PERDAYAKAN ORANG RAMAI DAKWA SALLEH

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Sarawak Report gagal menyedari hakikat bahawa Laporan Ketua Audit Negara merupakan salah satu komponen yang digunakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menyiapkan laporan akhir badan itu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MBD).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Laporan Ketua Audit Negara itu tidak lengkap kerana ia hanya menangani satu aspek 1MDB.

Malah, dalam kiriman blognya, katanya, laporan lengkap adalah daripada PAC kerana ia bukan sahaja mengambil kira Laporan Ketua Audit Negara tetapi semua maklumat lain yang dikumpulkan.

Beliau berkata, dalam hal ini, Sarawak Report boleh diberi faedah kesangsian kerana mereka diberi maklumat yang silap atau tidak menyedari fakta yang sangat penting ini.

"Sekiranya mereka sedar perkara ini, maka Sarawak Report bersalah memperdayakan orang ramai kerana apa yang dimaklumkan kepada awam telah menyimpang jauh daripada kebenaran," katanya.


Salleh berkata laporan Sarawak Report juga berkompromi tentang integriti ahli-ahli PAC termasuk beberapa ahli daripada pembangkang.

"Adakah Sarawak Report mempersoalkan kejujuran ahli-ahli PAC," tanya beliau.

Sarawak Report membuat sindiran bahawa PAC dan ahli-ahlinya termasuk daripada pembangkang tidak jujur dan cuba menyembunyikan apa yang mereka temui dalam siasatan.

Khamis lepas, laman pembocor maklumat berpangkalan di London itu mendedahkan sekali lagi apa yang didakwa sebagai petikan penting daripada siasatan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB yang telah diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

-- BERNAMA