Khamis, Oktober 25, 2018
7 NOVEMBER TENTUKAN NASIB SHAFIE APDAL
KOTA KINABALU, 25 Okt (Bernama) -- Prosiding penghujahan lisan tindakan undang-undang oleh bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri baharu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berakhir selepas peguam kedua-dua pihak berhujah selama lebih empat jam.
Sepanjang tempoh berkenaan, anggota keselamatan berada di posisi masing-masing manakala penyokong kedua-dua pihak dengan sabar menunggu perkembangan terkini prosiding itu yang bermula pada 2.30 petang dan berakhir 6.30 petang tadi di perkarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.
Bercakap kepada pemberita, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, seramai 120 anggota polis telah ditugaskan mengawal pintu masuk dan jalan utama ke mahkamah, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) dan Istana Negeri bagi memastikan tiada sebarang situasi tidak diingini berlaku.
"Untuk prosiding di mahkamah pada hari ini, keadaan keselamatan terkawal. Mereka (penyokong) hanya berkumpul di (luar) mahkamah sahaja. Bagaimanapun, anggota polis turut ditempatkan di beberapa kawasan yang penting diberikan kawalan seperti PPNS dan Istana Negeri.
"Setakat ini (keadaan) terkawal... tiada pergaduhan dan tiada insiden tidak diingini berlaku," katanya.
Sementara itu, Omar berkata, pihaknya akan mengatur penugasan polis bagi memperketat kawalan keselamatan di premis terbabit pada 7 Nov ini, iaitu tarikh ditetapkan Mahkamah Tinggi bagi membuat keputusan kes saman Musa mencabar pelantikan Mohd Shafie sebagai ketua menteri Sabah baharu.
Pada 5 Jun lepas, Mohd Shafie mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman Musa atas alasan Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga itu tidak mempunyai alasan munasabah untuk mencabar pelantikannya sebagai Ketua Menteri pada 12 Mei.
Saman pemula tidak memerlukan kes dibicarakan dan peguam daripada kedua-dua pihak akan memfailkan penghujahan bertulis dan afidavit untuk mengukuhkan kes mereka manakala bagi writ saman, perbicaraan perlu dijalankan dengan memanggil saksi untuk memberi keterangan.
Pada mulanya, Musa telah memfailkan saman pada 17 Mei, tetapi kemudian membatalkannya dan pada Jun, beliau memfailkan saman pemula memohon pengisytiharan mahkamah, antara lain bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah, yang dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Dalam saman pemula itu, Musa menamakan Juhar selaku defendan pertama manakala penggantinya Mohd Shafie selaku defendan kedua dan menuntut pengisytiharan bahawa pelantikan Mohd Shafie pada 12 Mei adalah tidak sah.
Musa mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei lalu selepas memperoleh majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 tetapi hilang majoriti apabila beberapa wakil rakyat daripada partinya (UMNO) dan parti komponen Barisan Nasional (UPKO) menyertai Parti Warisan Sabah yang diketuai Mohd Shafie.
-- BERNAMA
RUU SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PARLIMEN 2019 AKAN KEMBALIKAN AUTONOMI PARLIMEN
KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) – Peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Parlimen tidak lagi diperlukan sebaik sahaja reformasi Parlimen dilaksanakan.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming berkata ini adalah antara perubahan dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen 2019, yang bertujuan mengembalikan autonomi Parlimen, dijangka dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat tahun depan.
Beliau berkata reformasi itu juga, antara lain, menyaksikan Parlimen akan mempunyai bajetnya sendiri dan menguruskan perbelanjaannya sendiri termasuk gaji staf dan Anggota Parlimen.
“(Di bawah undang-undang baharu itu) Parlimen tidak menjawab kepada Jabatan Perdana Menteri seperti amalan sekarang. Ia akan menjadi badan tertinggi dan bebas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Undang-undang yang dicadangkan itu juga akan menjadikan speaker Dewan Rakyat sebagai ketua institusi itu, dengan itu memansuhkan peranan menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Parlimen..

Langgan:
Catatan (Atom)