Khamis, Oktober 25, 2018

RUU SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PARLIMEN 2019 AKAN KEMBALIKAN AUTONOMI PARLIMEN

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) – Peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Parlimen tidak lagi diperlukan sebaik sahaja reformasi Parlimen dilaksanakan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming berkata ini adalah antara perubahan dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen 2019, yang bertujuan mengembalikan autonomi Parlimen, dijangka dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat tahun depan.

Beliau berkata reformasi itu juga, antara lain, menyaksikan Parlimen akan mempunyai bajetnya sendiri dan menguruskan perbelanjaannya sendiri termasuk gaji staf dan Anggota Parlimen.

“(Di bawah undang-undang baharu itu) Parlimen tidak menjawab kepada Jabatan Perdana Menteri seperti amalan sekarang. Ia akan menjadi badan tertinggi dan bebas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Undang-undang yang dicadangkan itu juga akan menjadikan speaker Dewan Rakyat sebagai ketua institusi itu, dengan itu memansuhkan peranan menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Parlimen..