Sabtu, April 29, 2017

RUMAH YANG ROSAK PERLU DIPERBAIKI BUKAN DIROBOHKAN KATA ZAHID



SIPITANG, 29 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hubungan akrab kerajaan Sabah dan kerajaan Persekutuan tidak mampu diganggu-gugat oleh mana-mana pihak termasuk kuman politik .

Beliau yakin mana-mana pihak sama ada individu atau tokoh tidak akan mampu merosakkan atau memutuskan hubungan yang cukup rapat itu yang telah terjalin sejak sekian lama.

"Rugilah jika ada orang, individu atau tokoh atau 'kuman politik' yang cuba untuk merosakkan hubungan yang cukup baik ini.

"Yakinlah, saya ingin menegaskan, sebagai orang yang membantu Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), tidak ada orang yang boleh memutuskan hubungan yang baik ini yang sudah sekian lama terjalin.

"Tidak ada sesiapa yang boleh memutuskannya. Usahalah bagaimana, kecuali dengan izin Allah Taala," katanya ketika berucap merasmikan Festival Antarabangsa Gasing dan Tamu Besar (GATA) Sipitang 2017 di sini, hari ini.






Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Festival Antarabangsa GATA 2017 Sipitang Datuk Sapawi Ahmad.

Justeru, Ahmad Zahid berkata hubungan akrab kerajaan pusat dan kerajaan Sabah perlu terus diperkukuh bagi memastikan pentadbiran kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) sekarang terus kuat dan kukuh.

Katanya hanya kerajaan yang kuat dan kukuh sahaja yang mampu menjamin kemakmuran rakyat serta pertumbuhan ekonomi yang baik sekali gus membawa kemakmuran kepada negara dan rakyat secara keseluruhannya.






Ahmad Zahid berkata Malaysia mengamalkan demokrasi dan membenarkan perbezaan pendapat namun perbezaan berkenaan perlu menjurus ke arah yang positif dan sekiranya perbezaan itu menjadi 'parasit' sehingga boleh merosakkan maka ia mesti ditolak.

Sesuatu yang baik seharusnya dipertahankan ibarat sebuah rumah apabila bahagian bumbung, lantai atau dindingnya rosak tidak seharusnya rumah berkenaan dirobohkan sebaliknya perlu perbaiki bahagian yang rosak sahaja.

Merobohkan rumah itu amat mudah namun untuk membangunkannya semula amat payah, katanya.

Ahmad Zahid berkata untuk menukar kerajaan bukannya mudah sepertimana menukar baju yang juga perlukan ketelitian dari saiz dan ukuran, namun menegaskan 'baju' yang dipakai di Sabah sekarang sesuai dengan ukuran rakyat Sabah.

"Payungan politik yang kukuh dan baik itu akan dapat memberikan perlindungan kepada rakyat keseluruhannya kerana rakyat perlukan perlindungan yang terbaik daripada kerajaan yang terbaik," jelas beliau.

Timbalan perdana menteri mengajak rakyat agar belajar daripada kesilapan lalu supaya tidak membuat keputusan apabila berada dalam keadaan marah atau sedih kerana terbukti sebelum ini bahawa keputusan yang dibuat dalam keadaan demikian adalah salah.

-- BERNAMA

PEGAWAI KEMENTERIAN PELANCONGAN GILA KE?

KUALA LUMPUR: Kesian kawan saya punya portal MHOnline baru nak bertapak, tapi tak dapat sokongan dari kerajaan. Kawan saya beri permohonan minta iklan kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz.

Maka Nazri yang kenali partner kawan saya itu forward surat itu kepada KSU Kementerian. Minggu lepas kawan saya terima panggilan dari kementerian suruh datang ke ofis untuk buat presentation pada petang semalam.

Seronok kawan saya bila terima panggilan tersebut. Bukannya banyak dia minta. Ada banyak pakej. paling tinggi RM18,000 setahun iklan untuk portalnya bersamaan RM49.30 satu hari. Paling murah berbanding dengan portal lain.

 Pagi semalam kawan saya hubungi pegawai berkenaan untuk sahkan jadi tak presentation pada petang semalam. Kawan saya terkejut apabila pegawainya beritahu presentation tak jadi kerana kementerian tiada peruntukan. Dia tanya siapa buat keputusan. Dia cakap pengarah pengiklanan digital, Encik Zalizam Zakaria.

Encik Zalizam gila ke? Minggu lepas suruh panggil presentation, semalam tak payah panggil pula. Kalau dah tahu tiada peruntukan tak payah call suruh buat presentation. Buat kawan saya marah saja. Kementerian pelancongan sanggup beli iklan berjuta juta untuk agensi luar negara tapi nak bantu syarikat kecil Bumiputera RM49,30 satu hari pun tiada duit.

Mungkin komisen Zalizam untuk RM18,000 kecil sangat berbanding komisen yang dia dapat dari agensi luar negara. Kalau beginilah sikap pegawai kementerian tidak bantu syarikat Bumiputera tak payah jadi pegawai kerajaan. Nazri patut tukar pegawai seperti ini ke bahagian lain atau panggil SPRM siasat benarkah beliau ada terima komisen dari agensi luar yang dia beri iklan berjuta juta.