Sabtu, Jun 06, 2009

MAAFKAN SAYA, TOK HIM


Pagi ini sepatutnya saya berada di Kota Bharu, Kelantan membuat liputan Konvensyen Pembangunan Pasir Mas. Manusia cuma merancang tetapi Allah yang menentukannya. Hasrat hati saya untuk membuat liputan majlis Datuk Ibrahim Ali (Tok Him) tetapi tidak kesampaian.

Sesampainya di Hentian Putra, Kuala Lumpur Khamis lalu dari Kuala Terengganu pada jam 5.15 petang, saya mahu beli tiket bas ke Kota Bahru sebanyak dua keping pada malam esoknya (Jumaat) tetapi semua kaunter sudah kehabisan tiket bas. Maka saya buat keputusan terpaksa bawa kereta ke Kota Bharu yang memang saya tak suka memandu jauh begitu.

Dari petang Khamis sampai tengah hari semalam, saya cuba hubungi jurugambar, Pak Lah untuk bertolak awal pagi semalam tetapi dia tutup handphonenya sejak petang Khamis lagi. Lepas solat Jumaat semalam, saya pergi ke kedai anaknya di Sentul mencari Pak Lah. Anaknya beri nombor telefon rumahnya di Taman Samudera, Gombak. Baru saya dapat bercakap dengan Pak Lah dan beritahunya kena bertolak sekarang juga kerana tiket bas ke Kota Bharu sudah habis untuk perjalanan malam tadi.

Tepat jam 4 petang semalam kami berdua bergerak ke Kota Bharu melalui Bentong-Gua Musang. Kami singgah di rumah penulis buku politik terkenal di Janda Baik, Syed Hussein Al Atas memberitahunya saya tak dapat hadir esoknya majlis perkhawinan cucunya (hari ini lah) kerana terpaksa ke Kota Bharu. Pak Habib tiada di rumah dan saya callnya. Dia ada di Kuala Lumpur dan dia kata terima kasih kerana kami sudi singgah walaupun tak dapat hadir majlis itu.

Jam 6.30 petang kami singgah di rumah sepupu saya, Adik Ti di Benta.Kebetulan suaminya, Hatta seorang peniaga sate. Mereka ajak kami makan sate terlebih dahulu di kedainya. Jam 8.30 malam baru kami bertolak ke Kota Bharu dari Benta.

Jam 9.30 malam kami tiba di Kuala Lipis dan batu tanda perjalanan menunjukkan Gua Musang lebih kurang 100 kilometer lagi, tiba-tiba semua kenderaan di hadapan kami bergerak perlahan. Bila kami tanya orang kampung di tepi jalan, mereka kata ada kemalangan tidak jauh dari situ yang menyebabkan jalam jem yang menyebabkan jalan ke Gua Musang ditutup. Semua kenderaan diarah berpatah balik ke Bentong dan jika mahu ke Kota Bharu kena melalui LPT ke Kuantan dan ikut Kuala Terengganu.

Kami sampai di Bentong pada jam 12 malam. Kalau kami mahu ke Kota Bharu ikut Kuantan-Kuala Terengganu. maknanya kami akan sampai di Kota Bharu pada jam 9 pagi. Tetapi kami kena bergilir pandu kereta. Sepanjang malam kami tidak tidur dan bila sampai di Kota Bharu, kami tak boleh buat liputan ambil berita kerana letih memandu dan tidak tidur sepanjang malam dan Pak Lah pula tak dapat ambil gambar. Jadi kami buat keputusan balik ke Kuala Lumpur dan kami tiba di Kuala Lumpur pada jam 1.15 pagi.

Pagi tadi jam 9, staf Tok Him, Nazri call saya tanya kami ada di mana. Saya jawab kami tersadai di Kuala Lipis kerana jalan tutup akibat kemalangan besar di antara Kuala Lipis-Gua Musang. Anehnya bila saya baca surat khabar hari ini tidak ada pula berita kemalangan itu sedangkan semua kenderaan ke Kota Bhrau terputus sejak jam 5 petang semalam lagi.

Sepatutnya bila jalan ditutup pada jam 5 petang, pihak polis Kuala Lipis hendaklah segera memaklumkan kepada polis Bentong. Dan polis Bentong pula memaklumkan kepada pihak tol Karak. Maka jurutol boleh beritahu semua pemandu yang mahu ke Kota Bhrau lalu ikut jalan Kuantan-Kuala Terengganu dan mereka tidak perlu memandu sampai ke Kuala Lipis dan berpatah balik ke Bentong. Nampaknya di zaman canggih ada handphone dan sms, pihak polis masih lagi tidak cekap memaklumkan jalan ditutup kepada pihak tol Karak.

Oleh itu saya memohon maaf kepada Tok Him kerana tidak dapat buat liputan majlis konvesyen Datuk pada hari ini. Saya yakin konvesyen ini memang hangat kerana ia akan menentukan masa depan Datuk sama ada mahu menyertai semula UMNO atau kekal sebagai ahli parlimen Bebas.Saya yakin majlis Datuk hari ini tetap mendapat liputan semua media tempatan.