Jumaat, Mac 30, 2018

MAHZIR KHALID PENGETUA SEKOLAH TERMUDA

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) -- Dilantik sebagai pengetua sekolah paling muda di negara ini pada usia 29 tahun merupakan antara fakta menarik yang terkandung dalam buku 'Mahdzir Khalid: Kita Semua Serupa' yang dilancarkan hari ini.

Buku tulisan Zinitulniza Abdul Kadir ini turut mencatatkan jatuh bangun Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid seawal penglibatannya dalam politik sehinggalah bergelar menteri Kabinet.

Majlis pelancaran buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu disempurnakan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Turut hadir Mahdzir sendiri, Pengerusi ITBM Datuk Budiman Ahmad Zohdi dan Pengarah Urusan merangkap Pegawai Eksekutif ITBM Mohd Khair Ngadiron.

Dalam ucapannya, Mohd Khair berkata buku itu turut menyelitkan kisah Mahdzir yang pernah digugurkan sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri pada 1995, dua jam sebelum penamaan calon, dan tempatnya digantikan dengan calon lain.