Ahad, September 19, 2010

KU NAN, KJ DAN NAZRI PEMIMPIN UMNO ANTI-PERKASA


Khairy menulis di dalam Twitternya bahawa beliau “berpendapat akhbar tertentu itu perlu diingatkan siapa pemiliknya”. Kenyataan ini berdasarkan kepada akhbar milik Umno itu menyiarkan satu halaman penuh artikel-artikel yang mempertahankan NGO itu termasuk memuatkan bancian yang kononnya menunjukkan kebanyakan orang Melayu menyokong PERKASA.

“Saya penyokong pembaharuan supaya akhbar lebih bebas dan bertanggungjawab tetapi dalam paradigma hari ini, saya tidak boleh menerima bentuk editorial akhbar tertentu,” tulisnya. Meskipun Khairy tidak menyebut sebarang nama, tetapi kenyataannya jelas ditujukan kepada Utusan.

1. Siapa yang menentang PERKASA daripada UMNO? Setakat ini hanya 3 orang penentang tegar PERKASA daripada pemimpin UMNO iaitu Tengku Adnan, KJ dan Nazri Aziz. Adakah 3 orang ini sudah menunjukkan bahawa UMNO secara keseluruhannya menentang PERKASA. Bagaimana dengan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO? Naib-Naib Presiden UMNO, MKT, Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang lain?

2. Berikut adalah petikan RESPON DS Najib sendiri dalam wawancara dengan CNBC terhadap PERKASA:-

NAJIB: Mereka tidak menentang kami. Mereka lebih berbicara mengenai hak Bumiputra. Sebenarnya, kami tidak menarik balik sebarang hak daripada Bumiputra tetapi kami memperkatakan biar kita lakukan dengan cara berbeza. Biar kita dapat hasil yang lebih baik. Biar kita capai sebuah masyarakat yang lebih saksama. Tetapi pada masa sama, berlaku adil kepada penduduk bukan Bumiputra. Kerana kami mahu membina 1Malaysia.

Kesimpulannya : Komen Najib kepada PERKASA masih positif

3. KJ perlu menoleh seketika sejarah penubuhan Utusan Melayu 1939 dan melihat perjuangannya.

4. SAID ZAHARI, bekas pengarang Utusan Melayu menulis bahawa, ``Utusan Melayu'' didukung oleh orang-orang yang berjiwa besar, orang-orang perjuangan yang tidak pernah takut dan gentar. Baik di kiri atau di kanan, mereka adalah anak-anak Utusan Melayu yang berani, penuh dedikasi dan mempunyai perasaan yang amat mendalam terhadap Utusan Melayu. Utusan Melayu lahir dengan semangat yang dibangunkan oleh kemiskinan dan keinsafan. Sesungguhnya Utusan Melayu adalah pusaka bangsa yang termulia yang terus mengharapkan kesetiaan, kejujuran, kemahiran, dedikasi dan ada kalanya pengorbanan yang besar dari pewarisnya sepertimana yang telah diberikan oleh orang-orang yang terdahulu.''

Dalam Utusan Melayu, wartawan tidak sekadar wartawan tetapi mereka adalah juga pejuang. Kebenaran ini tertegak sampai sekarang, keberaniannya tetap terserlah dan terus menempa satu demi satu sejarah dan terus menimbulkan kontroversi di luar dan di dalam parti. Ini jelas terlihat dari Yusoff Ishak, Samad Ismail, Said Zahari, Melan Abdullah, Mazlan Nordin, Zainuddin Maidin, Johan Jaffar dan di era Khalid Mohd.

Kalau sampai masanya Utusan Melayu tidak lagi menjadi kontroversi, maka itulah masanya Utusan Melayu telah kehilangan jati diri. Kerana jati dirinyalah maka Utusan Melayu terus menghantui mereka yang memusuhinya.

Saya rasa sebab itulah Utusan Melayu masih menyokong PERKASA walaupun ada 2-3 kerat pemimpin UMNO yang 'jaki' dengan PERKASA.

Amir Hamzah
Batu Pahat (dipetik dari segalanya mungkin.blogspot.com)

SATU RENUNGAN

AWANG SELAMAT JAWAB NAZRI


Utusan pernah dikritik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz sebelum ini. Awang melihatnya sebagai perkara biasa. Perbezaan pendapat bukan suatu masalah lalu Awang memilih untuk berdiam.

Namun Awang terpanggil menjawab tindakan terbaru Nazri yang lantang mempersoalkan Utusan berhubung isu Perkasa.

Seperti biasa, melalui portal berita pro-pembangkang, Malaysian Insider, Nazri sampai ke tahap menuduh Utusan mempunyai agenda untuk membawa balik Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

‘‘Saya tidak boleh faham Utusan. Siapa ketua mereka — Najib atau Dr. Mahathir?,’’ kata beliau dalam laporan bertajuk Nazri persoal agenda Utusan perlekeh dasar Najib.

Awang hanya senyum sambil geleng kepala. Tafsiran Nazri begitu liar dan hairan mengapa seorang menteri boleh berfikir sebegitu.

Untuk pengetahuan Nazri, ingin ditegaskan bahawa Awang dan Utusan adalah penyokong Perdana Menteri. Jika hilang jawatan di Utusan sekalipun, Awang tetap akan menyokong Najib. Tiada keraguan.

Maka tidak timbul sama sekali kononnya ada agenda untuk menjadikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Budak sekolah pun tahu hakikat itu.

Awang boleh faham mengapa Nazri melemparkan tuduhan itu kerana beliau sememangnya anti — Dr. Mahathir. Itulah yang menjadikan beliau tidak objektif. Awang bukan seperti Nazri yang sanggup biadap dengan negarawan yang banyak berjasa. Sebab itu, Awang tidak hairan mengapa akhbar Cina ghairah memperlekehkan Dr. Mahathir. Ini kerana ada pemimpin Melayu sendiri yang membuka laluan.

Kalau suatu hari nanti, Nazri bersara, insya Allah, Awang akan menghormati beliau sebagai seorang veteran dan tokoh berjasa, walaupun jasanya tidak sebesar negarawan-negarawan kita.

Nazri juga menghentam Presiden Perkasa, Ibrahim Ali seolah-olah Ibrahim musuh Umno. Nazri lupa, ketika Umno diserang bertubi-tubi terutama selepas PRU12 dan pemimpin Umno difitnah habis-habisan, siapakah pemimpin NGO yang lantang mempertahankan Umno jika bukan Ibrahim.

Beliau berada di banyak pelosok tanah air berceramah melawan kerakusan pembangkang bagi membela Umno dan BN. Awang tidak ingat apa yang Nazri lakukan? Apakah beliau seberani Ibrahim dalam menghadapi pembangkang?

Dengar cerita daripada beberapa pemimpin Umno, Nazri sudah banyak berlembut dengan pembangkang yang motifnya, mungkin beliau tidak mahu dijadikan sasaran kritikan atau mahu ambil jalan selamat. Menurut cerita lagi, kerana strateginya itu, kini Nazri disenangi oleh ramai pemimpin pembangkang. Kalau benar andaian itu, Awang juga boleh bertanya siapa sebenarnya ketua Nazri. Najib atau Anwar Ibrahim atau mungkin Kit Siang?

Mengenai Perkasa, Nazri harus menerima hakikat Perkasa hanyalah sebuah NGO. Orang Melayu tahu membezakan antara parti politik dan NGO.

Awang sesungguhnya tidak berminat berhujah panjang dengan Nazri. Beliau berjawatan menteri, lagi pandai dan bijaksana. Biarlah orang ramai dan pembaca yang menilai. Awang takut menjadi orang yang riak. Jika Awang dilihat silap perhitungan dan terlanjur kata, Awang sedia menerima apa sahaja hukuman. Tiada penyesalan.

(dipetik dari mingguan malaysia)

NAZRI PERSOAL UTUSAN MALAYSIA


Datuk Seri Nazri Aziz mempersoalkan tindakan Utusan Malaysia seolah-olah memperlekehkan gagasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sambil berkata, sama ada akhbar milik Umno itu berkonspirasi mahu ‘menggantikan’ beliau dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Nazri memberitahu The Malaysian Insider bahawa arah aliran laporan Utusan Malaysia dan editorialnnya sejak kebelakangan ini menunjukkan akhbar harian itu terbitan Kumpulan Utusan sudah lupa siapa ketua mereka yang sebenarnya.

“Saya tidak boleh faham Utusan. Siapa ketua mereka - Najib atau Dr Mahathir?

“Saya kadangkala tertanya-tanya jika mereka ada agenda untuk membawa balik Dr Mahathir untuk menggantikan Najib,” kata beliau ketika dihubungi malam tadi.

Dr Mahathir bersara pada Oktober 2003 dan digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bersara awal April 2009.

Nazri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini berkata, dengan memainkan kenyataan-kenyataan Dr Mahathir menyokong pertubuhan hak Melayu Perkasa pimpinan Datuk Ibrahim Ali, ia dengan jelas memperkecilkan konsep 1 Malaysia dibawa oleh Najib.

“Mereka seharusnya mempromosikan konsep 1 Malaysia dan bukannya memperlekehkan program beliau. Saya lihat begitu... mereka menyokong Dr Mahathir,” katanya.

Jelas beliau ekoran perspektif laporan mereka, Utusan Malaysia mahu memberikan lebih banyak liputan kepada pendirian Dr Mahathir berbanding Najib.

“Mereka kelihatan mempunyai agenda sendiri. Adakah mereka mempunyai agenda untuk membawa balik Dr Mahathir untuk menggantikan Najib?” kata beliau.

Bagaimanapun wakil rakyat dari Perak ini menegaskan, kemungkinan ini sangat tipis memandangkan akhbar harian dari Kumpulan Utusan ini adalah milik Umno yang presidennya ialah Najib.

Najib yang dipilih sebagai Presiden Umno akhir Mac 2009 dan kemudian sebagai Perdana Menteri yang keenam memperkenalkan konsep 1 Malaysia.

“Dan sudah tentu, 1 Malaysia adalah agenda Najib, maka akhbar dimiliki Umno seharusnya menyokong Najib dengan mempromosikan konsep 1 Malaysia.

“Tetapi, saya tidak tahu... saya tidak terlibat dalam soal ini secara langsung.

“Macam di Harakah, mereka mempromosikan program PAS, Suara Keadilan mempromosikan PKR, The Star mempromosikan MCA tetapi akhbar Umno Utusan tidak menyokong ketua sendiri,” katanya.

Nazri mengulas laporan Utusan Malaysia semalam yang secara terbuka menyokong dasar Perkasa dan pendirian-pendirian memihak pertubuhan bukan kerajaan meskipun Umno mengumumkan tidak menyokong dan mahu menjauhkan diri daripada Perkasa.

Umno, komponen dominan dalam Barisan Nasional juga mengambil pendirian yang sama pada mesyuaratnya minggu lalu atas alasan tidak mahu Perkasa menghakis sokongan kepada perikatan 13 anggota itu.

Utusan Malaysia membawa laporan meluas menyokong Perkasa semalam - antara komen pelbagai pihak termasuk orang ramai serta rencana di halaman editorial.

Rencana itu bertajuk “Kenapa memusuhi Perkasa” manakala tinjauan orang membawa tajuk “Majoriti orang Melayu menyokong Perkasa”.

Edisi Ahad, Mingguan Malaysia juga menyatakan pendiriannya mempertahankan Perkasa.

Ahad lalu, Dr Mahathir mengulangi sokongan kepada Perkasa dengan memberi amaran, Umno boleh kalah teruk dalam pilihan raya umum ke-13 jika parti dominan BN memutuskan untuk menyisihkan pertubuhan hak Melayu tersebut.

“Mereka (Umno) sudah pun berpecah, dan langkah menjauhkan diri daripada Perkasa akan menyebabkan Umno semakin berpecah,” katanya.

Sehubungan itu kata Dr Mahathir, Umno tidak seharusnya menjauhkan diri daripada Perkasa kerana tindakan sedemikian hanya akan menyebabkan mereka kehilangan lebih banyak undi berbanding prestasi dua tahun lalu.

Nazri berpendapat bahawa laporan tinjauan itu hanya berdasarkan temu bual terpilih dengan minoriti Melayu sambil menegaskan, ia tidak semetinya menggambarkan pandangan akar umbi.

“Bagi saya, mereka tidak mewakili perasaan orang Melayu di akar umbi kerana orang Melayu yang menyokong PAS akan terus menyokong PAS tanpa mengira apa yang diperkatakan oleh Utusan dan begitu juga pengikut PKR yang akan menyokong (penasihat PKR Datuk Seri) Anwar (Ibrahim)... mereka tidak kisah apa yang Utusan kata, dan begitu juga yang membabitkan lain,” katanya lagi.

Nazri memberikan contoh persekitaran di bahagian Parlimen Padang Rengas, Perak dengan berkata, Perkasa tidak dapat mengocak pengundi-pengundi Melayu di kawasannya.

“Saya ketua Umno Padang Rengas... di akar umbi, tiada cakap-cakap mengenai Perkasa dan di bahagian saya, tiada mereka yang menyertai Perkasa.

“Begitu di bahagian jiran Kuala Kangsar, Sungai Siput, Lenggong, Bukit Gantang... Perkasa tiada impak langsung,” katanya.

Nazri menambah, Perkasa hanya dijadikan popular oleh Utusan Malaysia.

“Mereka tiada impak di kawasan luar bandar dan anda mahu tahu mengapa? Ini kerana pemimpin-pemimpin Perkasa adalah ahli Umno yang telah ditolak sebelum ini.

“Ahli Umno yang memegang jawatan dalam bahagian tidak akan menyokong Perkasa,” katanya.

“Lihat pada Ibrahim Ali, yang beliau sendiri adalah pemimpin ditolak oleh Umno. Timbalan beliau juga tewas dalam pemilihan bahagian dan begitu juga ketua pemudanya,” kata beliau lagi.

Ibrahim yang menubuhkan Perkasa dua tahun lalu telah dipecat Umno pada 2004.

Pada 2008, Ibrahim bertanding di Pasir Mas sebagai wakil Bebas atas tiket PAS tetapi memutuskan hubungan dengan komponen Pakatan Rakyat selepas memenangi kerusi Parlimen itu.
(dipetik dari themalaysianinsider.com)