Isnin, Januari 25, 2010

KING GHAZ NYARIS-NYARIS JADI TPM


UTUSAN Malaysia hari ini buat kesilapan apabila menulis bahawa Tun Ghazali Shafie pernah menangi jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1981. Beliau tidak pernah menang dalam pertandingan tersebut.

Beliau nyaris-nyaris jadi Timbalan Perdana Menteri apabila Tun Hussein Onn mahu melantiknya sebagai TPM yang baru pada tahun 1976 tetapi dibantah oleh tiga orang Naib Presiden UMNO ketika itu, Tun Ghafar Baba, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jika Hussein Onn bertegas dengan keputusannya itu, maka King Ghaz yang jadi TPM dan bukannya Dr. Mahathir. Atas alasan King Ghaz bukan Naib Presiden UMNO maka beliau tidak dilantik sebagai TPM yang baru pada tahun tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin mencadangkan agar kerajaan melantik seseorang untuk membuat memoir (bukan memoir tetapi biografi) bekas Menteri Dalam Negeri Allahyarham Tun Ghazali Shafie.

Beliau berkata Allahyarham merupakan seorang yang menyimpan banyak rahsia dan peristiwa yang penting dan ia wajar dirakamkan.

Katanya sebagai wira negara, Allahyarham adalah seorang pemimpin yang pernah melalui pelbagai detik mencabar negara.

"Allahyarham pernah melalui peringkat pasca kemerdekaan, pembentukan Malaysia, konfrantasi, ancaman komunis dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham di kediaman adik perempuannya di Damansara Utama di sini.

Najib berkata kerajaan merasa kehilangan yang amat besar dan Allahyarham patut dikenang selama-lamanya.

Perdana Menteri berkata beliau juga merasa sedih atas kehilangan seorang negarawan yang seangkatan ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein.

"Allahyarham seorang lelaki era 20-an yang merupakan seangkatan ayahanda saya yang sudah tiada lagi," katanya.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan pula mengingati Allahyarham sebagai pelopor pembentukan Rukun Negara.

"Sumbangan beliau amat besar dari segi perpaduan dan pembentukan Rukun Negara yang dipelopori oleh beliau sendiri," katanya.

Allahyarham juga, katanya seorang yang sangat penting dalam soal keselamatan negara.

"Kami penjawat awam amat berbangga beliau berkhidmat kepada negara melalui perkhidmatan awam," katanya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed pula berkata golongan pemimpin muda wajar mengambil iktibar daripada sumbangan Allahyarham kepada negara.

"Jasa Allahyarham tidak sahaja kepada pentadbiran tetapi juga banyak sumbangannya kepada pembentukan dasar-dasar negara di mana Allahyarham terlibat dalam perbincangan yang diadakan," katanya.

Ghazali, 88, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Subang Jaya pada 7.45 malam Ahad.

Jenazahnya kemudian ditempatkan di rumah adik perempuannya Datin Yuhanis Shafie di Damansara Utama sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Negara.

SYUKURLAH DAPAT KEMBALI SEMULA

Setelah tiga hari blog ini tidak dapat dibuka, syukurlah petang ini seorang rakan dapat membuka semula blog ini tetapi dengan mem0belakang.blogspot.com. Bukannya huruf besar O tetapi nombor 0 (KOSONG).

Saya tidak tahu siapa yang hacked blog saya ini. Tetapi ini semua dugaan bila kita menjadi penulis. Bila ada yang kena tegur, sudah tentu ada yang marahi saya. Maka jalan terbaik ialah menggodam blog saya. Maknanya blog saya ini ada kesan juga kepada orang-orang tertentu.

Saya tulis perkara yang benar. Jika tidak benar, bolehlah saman saya di mahkamah. Cara menggodam blog saya ini supaya orang tidak membacanya bukanlah jalan yang gentleman. Nampak sangat tidak gentleman orang berkenaan. Saya tidak mahu menuduh sesiapa. Saya ada sms kepada orang tertentu supaya membaca blog saya. Pagi esok saya dapati blog saya sudah digodam bila seorang rakan, Jamal Nasir Awang cuba membukanya pada pagi Ahad lalu. Ini semua satu pengalaman baru buat saya.

Oleh itu mem0belakang akan tetap menegur perkara yang tidak betul.