Khamis, Februari 27, 2014

MAHKAMAH TOLAK SAMAN MPK TERHADAP PAS

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman fitnah RM5 juta oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) terhadap PAS berhubung perkataan berbaur fitnah dalam isu Zoo Bukit Takal di Terengganu. Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop, dalam keputusannya, menegaskan MPK gagal membuktikan elemen fitnah dalam kes itu. Peguam Noorazmir Zakaria, mewakili PAS, memberitahu media bahawa hakim berkata MPK gagal membuktikan bahawa kenyataan fitnah itu diterbitkan PAS terhadap majlis itu. "Mahkamah menolak saman itu dengan kos RM30,000," katanya. Peguam Azwan Abdul Wahab mewakili MPK. Pada 22 Mac tahun lepas, MPK memfailkan saman terhadap PAS dengan menuntut ganti rugi RM5 juta daripada parti itu yang didakwanya mengedarkan risalah mengandungi kata-kata berbaur fitnah dan palsu dalam isu Zoo Bukit Takal. Pada 23 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan PAS untuk mengetepikan perintah penghakiman ingkar yang dikenakan terhadap parti itu. MPK memfailkan permohonan penghakiman ingkar terhadap PAS setelah parti itu gagal hadir di mahkamah dua kali meskipun diperintah berbuat demikian. -- BERNAMA

Rabu, Februari 26, 2014

JANGAN TERPEDAYA DENGAN GELAGAT ANWAR

KOTA KINABALU, 26 Feb (Bernama) -- Timbalan Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggesa pengundi agar tidak terpedaya dengan gelagat politik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang berusaha menawan hati mereka menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bulan depan. Sambil mengingatkan pengundi mengenai janji yang tidak ditepati oleh Anwar, beliau berkata pemilih tidak harus mudah tertipu dengan propaganda yang diuar-uar pembangkang kali ini. Salleh berkata Anwar berjanji untuk bersara daripada politik dan menjadi pensyarah jika pakatan pembangkang gagal menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum pada Mei lepas. "Mereka gagal ke Putrajaya namun Anwar enggan bersara seperti yang dijanjikan. Malah beliau kini mahu menjadi menteri besar Selangor, tidak termasuk cubaannya merampas Putrajaya (pada 16 Sept 2008). Rakyat sudah muak dengan janji tidak ditepati," katanya menerusi entri dalam blognya www.sskeruak.blogspot.com. Pilihan raya kecil DUN Kajang ditetapkan pada 23 Mac ini dengan penamaan calon pada 11 Mac, selepas penyandang yang juga daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Lee Chin Cheh meletak jawatan pada 27 Jan lepas. Salleh yang juga Speaker DUN Sabah turut menempelak DAP kerana melontar pelbagai tohmahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi mendapat sokongan politik. "Selepas pilihan raya umum pada Mei 2013, DAP menuduh BN menang pilihan raya menerusi penipuan dengan mendakwa berlaku insiden terputus bekalan elektrik ketika proses pengiraan undi dan 40,000 rakyat Bangladesh mengundi di beberapa kawasan," katanya. Menurut Salleh, kempen 'Blackout 505' hanya satu sandiwara yang dibuat oleh pembangkang termasuk DAP bagi merasionalkan kekalahan mereka dalam pilihan raya itu. -- BERNAMA NAM MGN NM

Selasa, Februari 25, 2014

GHAZALI CADANG KERAJAAN GUBAL AKTA BARU ELAK HINA ISLAM

AKTA-ISLAM HULU TERENGGANU, 25 Feb (Bernama) -- Kerajaan perlu mewujudkan satu akta baharu bagi mengekang tindakan pihak tertentu menghina agama Islam melalui laman sosial. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas Negeri Ghazali Taib berkata perkara itu perlu dibincangkan di Parlimen untuk menggubal akta berkenaan bagi membendung tindakan itu. "Kita berharap kepimpinan peringkat tertinggi negara dapat memikirkan kaedah bagi menangani perkara itu daripada terus berleluasa," katanya ketika mengulas tindakan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara di sini yang mencabar dan menghina kesucian agama Islam melalui laman sosial. Ghazali yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil kesal dengan apa yang berlaku sehingga ada yang sanggup menggunakan teknologi maklumat dan menyelitkannya dengan unsur negatif sedemikian. Sementara itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu kawasan tadahan air di Ajil bagi mengelak kejadian banjir yang sering melanda kawasan itu terutama di musim tengkujuh. "Ajil yang terletak di kawasan Hulu Terengganu memang menerima hujan yang banyak setiap tahun. Jadi saya cadangkan supaya satu kawasan tadahan air diwujudkan di situ kerana saya bimbang banjir akan terus berlaku sekiranya kawasan yang sedang dibangunkan itu tidak mempunyai sistem saliran air yang baik," katanya kepada pemberita selepas majlis pengagihan bantuan banjir bagi kawasan itu. Di majlis itu, 355 keluarga yang terlibat dengan banjir masing-masing menerima bantuan RM500 setiap keluarga melibatkan peruntukan keseluruhan RM177,500. -- BERNAMA

Khamis, Februari 20, 2014

ANAK MAHATHIR ORANG KE SEMBILAN TERKAYA DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Robert Kuok, hartawan Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong, kekal lelaki paling kaya di Malaysia dengan kekayaan RM54.48 bilion berbanding RM46.1 bilion tahun lepas, diikuti ahli perniagaan T. Ananda Krishnan dan tokoh perbankan Public Bank Tan Sri Teh Hong Piow. Ananda, mengekalkan posisi kedua sejak 2004 dengan aset yang dimilikinya menerusi Usaha Tegas Sdn Bhd bernilai RM33.19 bilion, peningkatan sebanyak 0.88 peratus daripada RM32.90 bilion tahun lepas. Teh, kekal di tempat ketiga sejak tiga tahun lepas, dengan aset bernilai RM18.07 bilion, lapor Malaysian Business, majalah Perniagaan utama dalam terbitan 16 Feb. Ia melaporkan gabungan kekayaan 40 individu paling kaya itu meningkat kepada RM217.82 bilion pada 18 Jan 2014 atau 11.73 peratus daripada RM194.86 bilion tahun lalu. Semasa majalah itu mula menyenaraikan kekayaan 40 individu paling Malaysia pada 2002, gabungan jumlah aset mereka sebanyak RM41.7 bilion, dengan Robert Kouk Hock Nien berada di tempat teratas. Majalah itu berkata tempat keempat dalam senarai itu ialah Tan Sri Quek Leng Chan melalui Hong Leong Group dan Guoco Group, dengan kekayaan bernilai RM14.11 bilion tahun ini. Tempat ke-5 ialah Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Group yang melompat dari kedudukan keenam tahun lepas, mengatasi Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang jatuh ke tempat keenam. Kekayaan Lee tahun ini berjumlah RM13.12 bilion, naik daripada RM10.56 bilion tahun lalu. Syed Mokhtar berada di tempat keenam walaupun kekayaan beliau meningkat sebanyak 4.43 peratus kepada RM11.07 bilion daripada RM10.6 bilion pada tahun lepas. Ketua Genting Group Tan Sri Lim Kok Thay dan ibunya, Puan Sri Lee Kim Hua, mengekalkan kedudukan mereka, masing-masing di tempat ketujuh dan kelapan. Kekayaan Lim meningkat 16.18 peratus kepada RM9.43 bilion manakala Lee meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada RM7.47 bilion. Datuk Mokhzani Mahathir melalui SapuraKenchana Petroleum berada di tempat kesembilan dengan aset bernilai RM4.22 bilion. Tokoh perbankan Tan Sri Azman Hashim melalui Arab-Malaysian Corporation menduduki tempat ke-10 dengan aset bernilai RM4.11 bilion tahun ini. Malaysian Business berkata antara fakta menarik ialah sejak 2002, 81 usahawan menyertai senarai 40 individu terkaya di Malaysia dan 15 berjaya kekal di atas secara berterusan. Keseluruhannya, peningkatan kukuh kekayaan mereka boleh dikaitkan dengan sumbangan prestasi pasaran dan harga inflasi, dengan kekayaan mereka sebahagian besarnya berasaskan kepada pegangan masing-masing. Ia juga menggambarkan prestasi syarikat-syarikat mereka dan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif dalam tempoh 12 tahun. Tahun ini terdapat 33 jutawan dalam senarai harta mencecah angka bilion, lebih dua daripada tahun lepas dan 29 daripada 40 dalam senarai merekodkan lebih tinggi daripada tahun lepas. Daripada jumlah itu, 20 individu mencatatkan pertumbuhan lebih daripada 10 peratus. Dua individu kembali memasuki senarai tahun ini, Datuk Tony Tiah dari TA Enterprise di tempat ke-38 dengan aset bernilai RM589.14 juta, manakala Tan Sri Rozali Ismail dari Puncak Niaga Holdings memasuki senarai 40 Teratas dengan RM543.74 juta. Seperti tahun-tahun sebelumnya, kekayaan 40 Teratas dinilai berdasarkan nilai pegangan mereka dalam syarikat tersenarai pada 18 Jan 2014. Malaysian Business majalah perniagaan utama di negara ini diterbitkan oleh Berita Publishing Sdn Bhd. SENARAI 20 INDIVIDU TERKAYA MALAYSIA 2013 Senarai Sekarang Nama Kekayaan (JUTA RM) Syarikat 1. Robert Kuok Hock Nien 54,480.00 Kerry Group/Kuok Group 2 T Ananda Krishnan 33,193.88 Usaha Tegas 3 Tan Sri Teh Hong Piow 18,066.20 Public Bank 4 Tan Sri Quek Leng Chan 14,110.81 Hong Leong Group 5 Tan Sri Lee Shin Cheng 13,115.37 IOI Group 6 Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary 11,070.00 Al-Bukhary Foundation 7 Tan Sri Lim Kok Thay 9,434.18 Genting Group 8 Puan Sri Lee Kim Hua 7,467.00 Genting Group 9 Datuk Mokhzani Mahathir 4,222.26 SapuraKencana Petroluem 10 Tan Sri Azman Hashim 4,108.45 Arab-Malaysian Corp 11 Tan Sri Tiong Hiew King 3,790.00 Rimbunan Hijau 12 Ong Beng Sheng 3,530.00 Hotel Properties Ltd 13 Tan Sri Yeoh Tiong Lay 3,220.83 YTL Group 14 Tan Sri Lau Cho Kun 3,120.67 Hap Seng Consolidated 15 Tan Sri Shahril Shamsuddin 2,506.03 Sapura Group 16 Datuk Shahriman Shamsuddin 2,468.65 Sapura Group 17 Tan Sri Jeffrey Cheah Fook Ling 2,153.15 Sunway Group 18 Datuk Lee Yeow Chor 2,033.81 IOI Group 19 Lee Yeow Seng 2,006.13 IOI Group 20 Tan Sri Vincent Tan 1,924.12 Berjaya Group -- BERNAMA AMY WGM TOM SLR