Khamis, Februari 20, 2014
ANAK MAHATHIR ORANG KE SEMBILAN TERKAYA DI MALAYSIA
 KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Robert Kuok, hartawan Malaysia yang
berpangkalan di Hong Kong, kekal lelaki paling kaya di Malaysia dengan kekayaan
RM54.48 bilion berbanding RM46.1 bilion tahun lepas, diikuti ahli perniagaan
T. Ananda Krishnan dan tokoh perbankan Public Bank Tan Sri Teh Hong Piow.
 Ananda, mengekalkan posisi kedua sejak 2004 dengan aset yang dimilikinya
menerusi Usaha Tegas Sdn Bhd bernilai RM33.19 bilion, peningkatan sebanyak 0.88
peratus daripada RM32.90 bilion tahun lepas.
 Teh, kekal di tempat ketiga sejak tiga tahun lepas, dengan aset bernilai
RM18.07 bilion, lapor Malaysian Business, majalah Perniagaan utama dalam
terbitan 16 Feb. 
 Ia melaporkan gabungan kekayaan 40 individu paling kaya itu meningkat kepada
RM217.82 bilion pada 18 Jan 2014 atau 11.73 peratus daripada RM194.86 bilion
tahun lalu.
 Semasa majalah itu mula menyenaraikan kekayaan 40 individu paling Malaysia
pada 2002, gabungan jumlah aset mereka sebanyak RM41.7 bilion, dengan Robert
Kouk Hock Nien berada di tempat teratas.
 Majalah itu berkata tempat keempat dalam senarai itu ialah Tan Sri Quek
Leng Chan melalui Hong Leong Group dan Guoco Group, dengan kekayaan bernilai
RM14.11 bilion tahun ini.
 Tempat ke-5 ialah Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Group yang melompat dari
kedudukan keenam tahun lepas, mengatasi Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang
jatuh ke tempat keenam.
 Kekayaan Lee tahun ini berjumlah RM13.12 bilion, naik daripada RM10.56
bilion tahun lalu.   
 Syed Mokhtar berada di tempat keenam walaupun kekayaan beliau meningkat
sebanyak 4.43 peratus kepada RM11.07 bilion daripada RM10.6 bilion pada tahun
lepas.
 Ketua Genting Group Tan Sri Lim Kok Thay dan ibunya, Puan Sri Lee Kim Hua,
mengekalkan kedudukan mereka, masing-masing di tempat ketujuh dan kelapan.
 Kekayaan Lim meningkat 16.18 peratus kepada RM9.43 bilion manakala Lee
meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada RM7.47 bilion. 
 Datuk Mokhzani Mahathir melalui SapuraKenchana Petroleum berada di tempat
kesembilan dengan aset bernilai RM4.22 bilion.
 Tokoh perbankan Tan Sri Azman Hashim melalui Arab-Malaysian Corporation
menduduki tempat ke-10 dengan aset bernilai RM4.11 bilion tahun ini.
 Malaysian Business berkata antara fakta menarik ialah sejak 2002, 81
usahawan menyertai senarai 40 individu terkaya di Malaysia dan 15 berjaya kekal
di atas secara berterusan.
 Keseluruhannya, peningkatan kukuh kekayaan mereka boleh dikaitkan
dengan sumbangan prestasi pasaran dan harga inflasi, dengan kekayaan mereka
sebahagian besarnya berasaskan kepada pegangan masing-masing.
 Ia juga menggambarkan prestasi syarikat-syarikat mereka dan pertumbuhan
ekonomi Malaysia yang positif dalam tempoh 12 tahun.
 Tahun ini terdapat 33 jutawan dalam senarai harta mencecah angka bilion,
lebih dua daripada tahun lepas dan 29 daripada 40 dalam senarai merekodkan 
lebih tinggi daripada tahun lepas.   
 Daripada jumlah itu, 20 individu mencatatkan pertumbuhan lebih daripada 10
peratus.
 Dua individu kembali memasuki senarai tahun ini, Datuk Tony Tiah dari TA
Enterprise di tempat ke-38 dengan aset bernilai RM589.14 juta, manakala Tan Sri
Rozali Ismail dari Puncak Niaga Holdings memasuki senarai 40 Teratas dengan
RM543.74 juta.
 Seperti tahun-tahun sebelumnya, kekayaan 40 Teratas dinilai berdasarkan
nilai pegangan mereka dalam syarikat tersenarai pada 18 Jan 2014.
 Malaysian Business majalah perniagaan utama di negara ini diterbitkan oleh
Berita Publishing Sdn Bhd. 
 
 SENARAI 20 INDIVIDU TERKAYA MALAYSIA 2013
 
 
Senarai
Sekarang     Nama   Kekayaan (JUTA RM)   Syarikat 
1.    Robert Kuok Hock Nien      54,480.00            Kerry Group/Kuok Group
2     T Ananda Krishnan          33,193.88            Usaha Tegas
3     Tan Sri Teh Hong Piow      18,066.20            Public Bank
4     Tan Sri Quek Leng Chan     14,110.81            Hong Leong Group
5     Tan Sri Lee Shin Cheng     13,115.37        IOI Group
6     Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary 11,070.00        Al-Bukhary Foundation
7     Tan Sri Lim Kok Thay        9,434.18            Genting Group
8     Puan Sri Lee Kim Hua        7,467.00            Genting Group
9     Datuk Mokhzani Mahathir      4,222.26           SapuraKencana Petroluem
10    Tan Sri Azman Hashim        4,108.45            Arab-Malaysian Corp
11    Tan Sri Tiong Hiew King     3,790.00            Rimbunan Hijau
12    Ong Beng Sheng          3,530.00            Hotel Properties Ltd
13    Tan Sri Yeoh Tiong Lay       3,220.83            YTL Group
14    Tan Sri Lau Cho Kun        3,120.67            Hap Seng Consolidated
15    Tan Sri Shahril Shamsuddin   2,506.03            Sapura Group
16    Datuk Shahriman Shamsuddin   2,468.65            Sapura Group
17    Tan Sri Jeffrey Cheah Fook Ling 2,153.15         Sunway Group
18    Datuk Lee Yeow Chor          2,033.81            IOI Group
19    Lee Yeow Seng             2,006.13            IOI Group
20    Tan Sri Vincent Tan          1,924.12            Berjaya Group
 
 -- BERNAMA
 AMY WGM TOM SLR
